Tuesday, 12 January 2016

Sudut Feqah: Nafaqah(أَلْنَّفَقَهُ) Usul Kepada Furu'(anak cucu)


Sumber Rujukan:
1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Bapa dan datuk keatas(usul keturunan) wajib memberikan nafkah kepada anaknya dan cucu ke bawah (furu’ keturunan)
            Oleh itu bapa bertanggungjawab memberikan semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, datuk (ayah kepada bapa) wajib mengambil tanggungjawab ini. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu’.

Dalilnya firman Allah Ta’ala dalam surah at-Tolaq, ayat:6

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.

Ayat ini menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa.

Dalil firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

            Dalam ayat di atas, anak telah disandarkan khusus kepada bapanya mengunakan huruf lam(ل ). Ini bermakna bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya. Begitu juga dalam masaalah bapa wajib memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya, ini menunjukkan kewajipan bapa memberikan nafkah kepada anaknya adalah lebih utama.

Dalil hadis pula ialah hadis Aisyah r.ha katanya:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang bakhil. la tidak pernah memberi aku harta yang mencukupi untuk aku  dan anakku, melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya.” Maka baginda bersabda, “Ambillah daripada hartanya sekadar untuk keperluanmu dan juga anakmu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment