Saturday, 7 April 2018

Hamba berjalan, Allah berlari (Hakikat dan Majaz)

Hamba berjalan, Allah berlari (Hakikat dan Majaz)

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ حَدَّثَنَا أَبُو زَيْدٍ سَعِيدُ بْنُ الرَّبِيعِ الْهَرَوِيُّ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْوِيهِ عَنْ رَبِّهِ قَالَ إِذَا تَقَرَّبَ الْعَبْدُ إِلَيَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِذَا تَقَرَّبَ مِنِّي ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا وَإِذَا أَتَانِي مَشْيًا أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Abdurrahim telah menceritakan kepada kami Abu Zaid Said bin Rabi' Al Harawi telah menceritakan kepada kami Syu'bah dari Qatadah dari Anas radliyallahu'anhu, dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang beliau riwayatkan dari Rabbnya (hadis qudsi), Allah berfirman: "Jika seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta, jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan maka Aku akan mendatanginya dengan berlari." HR Bukhari,7536,HR Muslim,2675.

Perlu diketahui bahawa bahasa Arab mengandungi konsep majaz dalam perbualannya. Majaz atau kata kiasan terdapat dalam semua bahasa di dunia. Lebih-lebih lagi bahasa Arab yang terkenal dengan ketinggian sastera dan kehalusan bahasanya.

Pengertian Hakikat dan Majaz

Definasi Hakikat:

Perkataan yang digunakan selari dengan makna asalnya.

Definasi Majaz:

Perkataan yang digunakan dengan maksud yang tidak selari dengan makna asalnya kerana terdapat tanda(qarinah) yang menghalang kehendak makna asalnya.

Contoh Hakikat:

Seekor singa sedang membaham seekor kancil di hutan.

Contoh Majaz:

Singa itu lantang berbicara di atas pentas.

Penjelasan Hakikat:

Singa dalam ayat ini mengandungi pengertian yang selari dengan makna asalnya yang kita ketahui,iaitu haiwan buas.

Penjelasan Majaz:

Singa dalam ayat ini mengandungi pengertian yang tidak selari dengan makna asalnya, tetapi merujuk kepada kelebihan sifat-sifatnya seperti ketegasan dan keberanian.

Perkataan "pentas" menjadi tanda (qarinah) yang menghalang kita daripada memahami makna asal bagi perkataan singa.

Sebagai teks berbahasa Arab, al-Qur'an dan Hadith ada mengandungi kata-kata yang mesti difahami secara majaz dan tidak boleh difahami secara hakikat. Hal ini demikian kerana kedua-duanya ialah teks berbahasa Arab yang berbicara kepada bangsa Arab dengan menggunakan kata-kata dan gaya yang mereka fahami. Gaya bahasa majaz merupakan sebahagian daripada konsep pertuturan bangsa Arab pada masa itu hingga ke hari ini.

Ibn al-Sayyid al-Bathliyusi berkata, "Ini pendapat yang benar ,yang tidak boleh selainnya. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.Ibrahim:4

Juga firmannya,

بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ

Dengan bahasa Arab yang jelas. Al-Syu'ara:195

Makna "Berlari"

Makna berlari dalam hadith di atas, umat melihatnya sebagai tidak boleh diberi makna secara hakikat. Jika makna perkataan ini diletak secara hakikat. Ia membawa makna pergerakan dan peralihan tempat. Sedangkan kedua-dua perkara ini mustahil bagi Allah yang tidak serupa dengan makhluk sedikitpun.

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الْأَنْعَامِ أَزْوَاجًا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat.as-Syura:11

Dan juga firman Allah,

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا

Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia ? Maryam:65

Justeru itu, ulama mentafsirkan perkataan tersebut sebagai majaz. Mereka berpendapat bahawa "berlari" ialah pemberian pahala,rahmat, taufiq dan pertolongan yang cepat. "Allah berlari" bermakna Allah memberi rahmat dan pahala dengan kadar segera kepada hamba yang melakukan ketaatan.

Antara ulama terdahulu yang menafsirkan sedemikian ialah Ibn Qutaybah dalam Ta'wil Mukhtalif al-Hadith, beliau berkata, " Ini gaya bahasa tamsil dan tasybih. Maksudnya, 'Siapa yang datang kepada-Ku dengan segera, maka aku akan memberi pahala kepadanya dengan segera, ' Lalu Allah menggambarkan kesegeraan itu dengan berjalan dan berlari'. Mukhtalif al-Hadith. Hlm 327.

Imam al-Baihaqi menukilkan kata-kata Abu Sulaiman al-Khaththabi dalam al-Asma'wa al-Shifat, "Ini ialah suatu perumpamaan. Maknanya,penerimaan dengan baik dan menggandakan balasan mengikut kadat amalan yang dilakukan oleh hamba yang hendak mendekati Allah. Ia digambarkan seolah-olah seperti orang yang mendekati orang lain sejengkal, lalu rakannya membalas dengan mendekatinya sehasta. Serta seolah-olah ia datang kepadanya dengan berjalan, lalu rakannya membalas dengan mendatanginya sambil berlari untuk menyambut dan menghargainya. Boleh juga maknanya dengan taufik dan memudahkan jalan untuk beramal. Al-Asma'wa ash-Shifat. 1/526.

Ibn Hibban dalam kitab Shahihnya berkata, "Sesiapa yang mendekati Tuhannya dengan melakukan ketaatan sekadar sehasta, maka keampunan lebih dekat kepadanya sekadar sedepa. Sesiapa yang mendatangi amalan-amalan ketaatan dengan cepat seperti berjalan, maka pelbagai rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah akan mendatanginya dengan cepat seperti berlari. Allah Lebih Tinggi dan Lebih Agung. Al-Ihsan fi Taqrib Shahih Ibni Hibban.

Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata, "Maknanya ialah sesiapa yang mendekati-Ku dengan ketaatan, maka Aku akan mendekatinya dengan rahmat, taufiq dan pertolongan. Jika ia menambah, maka aku akan menambah untuknya. Jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan dan cepat melakukan ketaatan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari, yakni Aku akan mencurahkan rahmat baginya sebelum ia melakukannya. Ia tidak perlu banyak berbuat untuk tiba di tujuan. Maknanya, balasan untuk amalan itu akan dilipatgandakan. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. 17/3

Golongan yang menolak "Majaz"

Pilihan sekumpulan ulama lain yang menetapkan makna hakikat perkataan ini yang disesuaikan dengan ketinggian zat Allah dan menolak memaknakan hadith-hadith seperti ini secara majaz.

Sikap ini merupakan pilihan utama ulama salafi seperti Ibn Baz, Saleh Fauzan dan lain-lain. Ali bin Abdullah as-Syibl berkata, "Sewajibnnya menetapkan semua ini secara hakikat yang layak bagi Allah Subhanahuwata'ala tanpa berlebih-lebihan dalam menggambarkan dan memperincikannya. Kami beriman dengan apa-apa yang telah diberitakan Allah tentang sifat-sifat Allah mengikut maksud yang dikehendaki oleh Allah. Juga kami beriman dengan berita daripada Rasulullah sesuai dengan berita kehendak Rasulullah.

No comments:

Post a Comment