Friday, 10 February 2017

Hukum berniat Zakat


Hukum berniat Zakat

Sumber rujukan:
Ahkam wa fatawa al-Zakah oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hukum berniat Zakat

Wajib berniat zakat ketika mengeluarkan zakat untuk membezakannya daripada kaffarah dan sedekah yang lain. Hal ini berdasarkan hadith yang mashyur.
إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu dengan niat”. HR al-Bukhari dan Muslim

            Sementara itu pemilik harta yang berwakil pula hendaklah berniat ketika menyerahkan kadar zakat tersebut kepada wakilnya dan wakil tidak wajib lagi berniat ketika mengagihkannya kepada golongan yang berhak.Adalah afdal sekiranya dia berniat ketika melakukan pembahagian tersebut. Sekiranya pemilik harta tidak berniat ketika menyerahkan zakat kepada wakilnya, maka niat wakil ketika melakukan pengagihan kepada penerima yang berhak tidak memadai.

Pemilik harta yang berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, niatnya itu memadai kerana pemerintah adalah wakil kepada golongan yang berhak. Oleh itu, berniat ketika menyerahkan harta zakat kepada pemerintah, seolah-olah berniat ketika menyerahkan harta tersebut kepada golongan yang berhak menerima.


Sementara pemilik harta yang tidak berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, maka niat oleh pemerintah sahaja tidak memadai. Justeru, harta yang diserahkan kepadanya tidak dikira zakat. Ini kerana pemerintah adalah pengganti kepada golongan yang berhak menerima dan bukan pengganti kepada pemilik harta, sebagaimana wakilnya. Oleh itu, niat pemerintah bagi pihak pemilik harta tidak diambil kira, sebagaimana niat wakil juga tidak memadai sekiranya pemilik harta tidak berniat ketika berwakil kepadanya.

No comments:

Post a Comment