Saturday, 14 November 2015

Sudut Feqah: Hukum Memakai Azimat( التَّمِيمةُ- الــتمـائـم) dan Jampi-jampi (الـتـولــة)


Sumber Rujukan:
1-Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

Rasulullah SAW. melarang memakai azimat dan jampi  sepertimana beberapa hadis berikut:

1-Dari ‘Uqbah dan ‘Amir bahawa Rasulullah SAW. bersabda:

من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا أودع الله له

“Sesiapa menggantungkan ‘tamimah’, maka Allah tidak akan menyelamatkannya dan sesiapa menggantungkan “Wada’ah/wadi’ah’, Allah tidak akan memeliharanya”. HR Ahmad dan Hakim

Tamimah adalah secarik kain yang biasa digantungkan oleh orang Arab pada bahagian anggota tubuh anak mereka, dengan tujuan menurut mereka boleh mengusir penyakit ‘ain. Adat ini akhirnya dibatalkan dan dilarang oleh Islam dan Rasulullah mendoakan agar orang yang memakai tamimah tidak akan diselamatkan dan dilindungi Allah sebagaimana yang dimaksudkan ketika menggantungkannya.

Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, menurut anggapan orang- orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat.

2-
عن عمران بن حصين أن النبي صلى الله عليه وسلم أبصر على عضد رجل حلقة - قال : أراه من صفر - فقال : ويحك ، ما هذه ؟ قال : من الواهنة . قال : أما إنها لا تزيدك إلا وهنا ، انبذها عنك ، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا

“Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melihat rantai pada pergelangan tangan seorang lelaki.Kalau tidak salah, katanya, diperbuat dari tembaga kemudian baginda pun bertanya:

“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal daripada”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” HR. Imam Ahmad

Keterangan:

(الواهنة ) adalah sejenis penyakit urat yang boleh melumpuhkan bahu dan seluruh tangan. Ada pula yang mengatakan bahawa ia sejenis penyakit yang menyerang pergelangan tangan. Seseorang biasanya mengikatkan rantai pada tangannya dengan satu kepercayaan bahawa ia akan mengelakkan dirinya daripada rasa sakit. Inilah yang dilarang Rasulullah SAW. dan dianggap termasuk azimat.

3-Abu Daud meriwayatkan dari Isa bin Hamzah, katanya:

 دخلت على عبد الله بن حكيم وبه حمرة فقلت : ألا تعلق تميمة ؟ فقال : نعوذ بالله من ذلك ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " مَن تعلق شيئاً وكل إليه "  …

“Aku menjumpai Abdullah bin Hakim yang ketika terdapat bintik-bintik merah pada kulitnya. Aku pun bertanya: ‘Tidakkah kamu memakai penangkal? ‘ Dia menjawab: ‘Semoga kita dilindungi Allah daripada berbuat demikian. Rasulullah SAW. pernah bersabda: “sesiapa menggantungkan sesuatu (azimat) sekaligus memakainya, bererti telah berserah diri kepadanya”.

4-Dari Ibnu mas’ud RA. bahawa:

“Pada suatu hari dia masuk kerumahnya, lalu melihat pada leher isterinya ada sesuatu benda yang diikat. Melihat itu, dia terus menarik  dan memutuskan tali ikatan tersebut dan berkata: ‘ Sungguh keluarga Abdullah tidak boleh lagi mempersekutukan Allah dengan sesuatu selagi tiada keterangan  nas yang membolehkannya. Kemudian berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda:

عن عبدا لله بن مسعود رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله وسلم يقول: ( إن الرقى والتمائم والتولة شرك )

Sesungguhnya mantera, azimat dan taulah adalah perbuatan syirik’. Mereka bertanya: Wahai Abdullah! Kami tahu apa itu azimat dan mentera, tetapi apakah yang dimaksudkan dengan taulah? Dia menjawab: ‘ Ia adalah suatu benda karut yang dibuat oleh kaum perempuan untuk menarik kasih sayang suami terhadap dirinya”.

HR al-Hakim dan Ibnu Hibban serta dikatakan sahih oleh keduanya.

Keterangan :

1-(الرقى ) adalah jamak kepada kalimah (الرقية ) yang bermaksud memohon keselamatan dan pertolongan. Namun yang dimaksudkan disini adalah menyebut nama-nama berhala dan syaitan., bukannya membaca al-Quran atau zikir sepertimana yang di syariatkan.

2-( الــتمـائـم) adalah kata jamak kepada ( التَّمِيمةُ) iaitu azimat yang biasa dipakai oleh kaum perempuan pada leher anak mereka, dengan keyakinanm bahawa ia boleh menolak segala jenis penyakit termasuk penyakit ‘ain dan mendatangkan keselamatan

3-Taulah/tiwalah(التولة )-Sebahagian ulama berpendapat, bahawa ia adalah sehelai benang yang dibacakan jampi sihir, manakala sebahagian lagi berpendapat, bahawa ia adalah secarik kertas yang dimaksudkan supaya seorang perempuan dicintai oleh kaum lelaki atau sebaliknya.Adalah termasuk sihir yang dimaksudkan agar seorang perempuan mencintai seorang lelaki tertentu atau sebaliknya (jampi).

4-شرك )  ) bermaksud segala perbuatan tadi termasuk syirik. Dengan perkataan lain, ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam jurang kemusyrikan apabila menyakini bahawa apa yang dilakukannya itu boleh mendatangkan munafaat atau menolak mudarat. Menurut sebahagian ulama perbuatan tersebut boleh menjerumuskan kedalam syirik khafiy (syirik kecil) disebabakan tidak berserah diri dan berpegang kepada Allah SWT.

 

 

No comments:

Post a Comment