Sunday, 1 November 2015

Sudut Feqah: Hukum Berubat Dengan Doktor Kafir


Sumber Rujukan:
1-Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

Dalam buku “Adab Syar’iyah” oleh Ibnu Muflih disebutkan bahawa Syeikh Taqiyyudin berkata: “Jika seorang Yahudi atau Nasrani memiliki kepakaran dalam ilmu kedoktoran dan amanah, boleh dilantik sebagai doktor, sebagaimana dibolehkan menyimpan harta dan berinteraksi perekonomian dengannya”. Firman Allah Ta’aala dalam surah Ali-Imran 75:

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُمْ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
Dalam kitab sahih Bukhari disebutkan bahawa Nabi SAW. tatkala hendak berhijrah ke Madinah pernah menyewa seorang musyrik sebagai penunjuk jalan, dan mempercayakan untuk menjaga keselamatan diri dan hartanya. Begitu pula kabilah Khuza’ah menjadi perisikan Rasulullah SAW. tanpa mengira mereka yang beragama Islam mahupun tidak. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW. menyuruh seseorang supaya berubat kepada al-Harith bin Kaldah, padahal dia adalah kafir.

Bagaimanapun jika memungkinkan berubat kepada doktor yang beragama Islam, maka tidak dibolehkan berubat dengan doktor bukan muslim. Demikian juga jika memungkinkan menitip harta atau bertransaksi dengan orang muslim adalah tidak dibolehkan berinteraksi dengan selain bukan muslim. Namun jika terpaksa untuk memberi amanah atau berubat kepada Ahli Kitab, maka itupun dibolehkan selagi orang Yahudi dan Nasrani tidak menjadi pemimpimn kepada orang Islam sebagaimana yang dilarang oleh syariat Islam. Jika dapat berdialog dengan mereka cara yang lebih baik, maka itu adalah perbuatan yang terpuji. Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-ankabut 46:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri."
Abu al-Khattab menceritakan dalam peristiwa Perjanjian al-Hudaibiyah bahawa Nabi SAW. mengutus seorang perisikan dari puak Khuza’ah dan beliau menerima lapuran yang dibuatnya. Kenyataan ini menjadi dalil bahawa dibolehkan menerima keterangan dan diagnosis doktor kafir berkaitan ciri-ciri penyakit dan cara penyembuhan, selagi tidak mencurigakan dan sifat kejujurannya tidak disangsikan.

No comments:

Post a Comment