Thursday, 21 September 2017

Larangan bersujud seperti anjing

Larangan bersujud seperti anjing

حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيٍّ الْجَهْضَمِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اعْتَدِلُوا فِي السُّجُودِ وَلَا يَسْجُدْ أَحَدُكُمْ وَهُوَ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ كَالْكَلْبِ

Telah menceritakan kepada kami Nashr bin Ali Al Jahdlami berkata, telah menceritakan kepada kami Abdul A'la berkata, telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah dari Anas bin Malik bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Seimbanglah kalian ketika sujud, dan janganlah salah seorang dari kalian sujud dengan membentangkan kedua sikunya sebagaimana anjing. " HR Ibnu Majah,882.

Hadith ini merupakan dalil larangan menghamparkan dua lengan pada waktu sujud, iaitu meletakkan dua lengan di tanah (tempat sujud). Orang yang solat dilarang melakukan perbuatan seperti ini diwaktu sujud, kerana keadaan itu adalah keadaan atau sifat orang yang malas,bermain-main dan tidak serious dalam solat. Justeru kerana orang yang sedang solat dituntut berada dalam keadaan paling bersemangat dan menghindarkan diri dari semua keadaan yang menimbulkan kemalasan dalam semua rukun-rukun solat. Disamping itu juga, keadaan itu menyerupai perbuatan anjing. Ianya adalah suatu yang tidak selayaknya bagi manusia yang telah dimuliakan dan diutamakan oleh Allah swt berbanding binatang, lebih-lebih lagi dalam keadaan solat.
Rasulullah saw mengajarkan untuk mengangkat dua lengan (ketika sujud), sedangkan yang diletakkan di tanah adalah dua tapak tangannya.

Allah swt telah memuliakan anak Adam dengan menciptakan mereka dalam rupa terbaik dan paling sempurna. Allah swt berfirman:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rizki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. al-Isra`:70

Juga firman-Nya:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. at-Tîn:4

Penciptaan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya itu bermaksud mereka boleh berjalan tegak di atas dua kakinya, boleh makan dengan dua tangannya, sementara itu Allah swt bezakan penciptaan makhluk lain seperti binatang umpamanya, mereka berjalan dengan empat kaki dan makan dengan mulut. Allah swt. juga memberikan pendengaran, penglihatan dan hati. Dengan ketiga organ tersebut, manusia boleh memahami segala sesuatu, membezakan antara urusan duniawi dan ukhrawi, boleh mengetahui manfaatnya, kekhususannya dan bahayanya.


Sewajarnya, seorang yang bergelar manusia menyedari kemuliaan ini, yang hanya diberikan kepada manusia oleh Allah swt. Oleh kerana itu manusia perlu pandai menjaga dirinya agar tidak meniru gaya-gaya binatang yang lebih rendah dibandingkan manusia. Terutama sekali di waktu melaksanakan ibadah solat yang merupakan suatu keadaan yang termulia seorang hamba.

No comments:

Post a Comment