Thursday, 17 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Tahallul


Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Kita harus mengetahui bahawa ada dua jenis Tahallul. Ada Tahallul besar dan ada pula tahallul kecil. Dalam tahallul kecil anda halal melakukan apa jua yang asalnya diharamkan, kecuali bergaul dengan wanita sebelum anda menyelesaikan tawaf ifadhah. Tawaf Ifadhah merupakan salah satu rukun haji yang wajib dilakukan dengan baik dan sempurna. Iaitu tujuh kali putaran. Jangan dilebihkan, kerana ini merupakan salah satu rukun haji.

Dalam tawaf  ifadhah terdapat beberapa perselisihan. Ada sebahagian yang melepaskan kain ihramnya sesudah melempar Jumrah ‘Aqabah, lalu mereka memakai pakaian biasa. Sebahagian lagi tidak mahu bertahallul dan menanggalkan ihramnya, dan ada pula Jamaah yang menutupi bahu yang sebelah dan membuka bahu sebelah  yang lain pula.

Pada mulanya kita melakukan tiga putaran pertama seperti berlari-lari anak dalam mengerjakan tiga tahap sa’i yang pertama. Pada tahap-tahap itu kelajuan jalannya dipercepatkan. Ini dinamakan istishhaban. Ertinya, mengikut jejak yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. serta para sahabatnya.

            Asal usul berlari-lari anak pada ketiga tahap pertama kononnya diriwayatkan kerana ramai di antara sahabat Rasulullah SAW. yang kurang sihat kerana perubahan cuaca. Lalu kaum kafir Quraisy mengejek mereka. Kata mereka, “Penyakit Yatsrib(Madinah) telah membuat kaum muslimin sakit dan kurang sihat. “setelah Rasulullah mendengar cemuhan itu, beliau ingin membuktikan kebohongan orang kafir Quraisy. Maka beliau memerintahkan para sahabatnya supaya membuka penutup bahunya sebelah dan mempercepatkan langkah dalam sa’i serta tawaf ifadhah pada tiga tahap pertama. Beliau bersabda kepada para sahabat yang bermaksud:

“Allah akan merahmati orang yang memperlihatkan dirinya dalam keadaan kuat terhadap musuh-musuhnya”.

Berlari-lari anak adalam tawaf qudum(datang) atau tawaf wada’(selamat tinggal) tidak digalakkan.

            Pada zaman dahulu ditempat mas’a(Sa’i) terdapat tempat sebuah pasar ramai orang yang  duduk-duduk disana melihat orang yang sedang melakukan sa’i. Anda di minta belari-lari anak kalau tempat di hadapan anda tidak padat. Namun kalau keadaannya padat, janganlah bertolak-tolakan dengan sesama muslimin yang sedang melakukan sa’i di sana. Berlari-lari anak biasanya dilakukan sekiranya keadaan mengizinkan di Mas’a.

Bertolak-tolakan antara sesama muslimin yang sedang menunaikan ibadah, apalagi kalau sampai menimbulkan ganguan pada mereka, tidak dibenarkan! Anda dituntut untuk tidak menimbulkan gangguan terhadap sesama saudara seIslam dan seiman.

            Sebenarnya hal-hal yang menimbulkan kesusahan, dan keletihan para jamaah haji dalam menunaikan ibadah haji adalah kerana sikap mereka sendiri. Ada segolongan Jamaah yang ingin menunaikan tawaf dari daerah yang sempit yang dekat dengan Kaabah. Mereka tidak mahu bertawaf didaerah yang kosong yang agak jauh dari Kaabah. Pada hal kalau setiap haji bertawaf dan bersa’i dengan baik, tertib dan sopan, tidak saling dahulu-mendahului atau tidak saling bertolakan, tentu semua akan berjalan dengan tenang, lancar dan tidak meletihkan.

 

No comments:

Post a Comment