Friday, 4 September 2015

Sudut Feqah: Hadyu(Qurban Binatang Ternak yang dihadiahkan Kepada tanah suci)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

Dalam bahasa Arab, Hadyu ertinya sesuatu yang dihadiahkan(dikirim dan dipindahkan).
Dalam istilah syariat, Hadyu adalah haiwan ternak (unta,lembu dan kambing) yang dihadiahkan ke Tanah Haram(Tanah Suci) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.

Membawa al-Hadyu (haiwan qurban) adalah sunnah bagi orang yang hendak berihram haji atau umrah.

Dalil
Dalilnya berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hajj:36-37

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.

Bahagian-bahagian Hadyu
Al-Hadyu terbahagi kepada dua jenis:

Pertama: Sunat. Adalah hadyu bagi seseorang yang melakuakan haji secara Ifrad dan Umrah secara Ifrad.
Kedua: Wajib. Adalah terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

1-Diwajibkan ke atas orang yang melakukan haji secara Qiran
2-Diwajibkan ke atas orang yang melakukan haji secara Tamattu’
3-Diwajibkan ke atas seseorang yang meninggalkan salah satu daripada wajib haji, seperti melontar jumrah,tidak berihram dari miqat, menggabungkan antara malam dan siang ketika wuquf di Arafah, menginap di Muzdalifah atau Mina atau meninggalkan Tawaf wada’
4-Diwajibkan keatas seseorang yang melanggar salah satu daripada larangan ihram kecuali menjima’ isteri, misalnya memotong rambut dan berharum-harum.
5-Diwajibkan kerana menceroboh kesucian tanah suci, seperti menangkap binatang buruannya, atau memotong kayu-kayunya. Semua ini dihuraikan pada bahagian masing-masing(dalam bab Dam)
Haiwan-haiwan Hadyu dan yang lebih afdhal untuk diqurbankan

            Para ulama berijma’ bahawa haiwan hadyu adalah haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing. Terkadang dipakai istilah dam atau nusuk untuk menyebut hadyu.(Yang di maksud dengan dam atau nusuk adalah haiwan yang disembelih: yaitu kambing, kerana kaum muslimin berijma’ bahawa kambing sah sebagai fidyah mencukur rambut,memotong kuku, dan sejenisnya- rujuk: bab dam bagi haji atau umrah). Ulama juga berijma’ bahawa  yang afdhal ialah unta,kemudian, lembu, kemudian kambing.dan mengikut susunan haiwan ini.Sebab, unta lebih besar munafaatnya bagi fakir miskin, begitu juga lembu lebih munafaat berbanding kambing.Namun ulama berselisih pendapat mengenai manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang ingin berkorban, apakah memberikan sepertujuh unta, sepertujuh lembu atau seekor kambing? Pada zahirnya, apa yang perlu diambil kira adalah berdasarkan pertimbangan yang lebih banyak munafaatnya bagi fakitr miskin.
Syarat-syarat al-Hadyu
Terdapat beberapa syarat dalam melakukan ai-hadyu,iaitu:
1-Hendaklah haiwan tersebut sudah besar.Maka al-Jadza’ atau yang lebih besar daripadanya sudah dianggap memadai. Al-Jadza’ ialah kambing yang telah mencapai umur enam bulan dan gemuk badanya. Seekor unta dikatakan besar apabila telah berumur dua tahun;  kambing apabila telah berumur cukup setahun. Apabila haiwan-haiwan ini telah mencapai umur yang disebutkan tadi, maka ia boleh dijadikan haiwan qurban.
2-Hendaklah sihat dan tidak cacat. Oleh yang demikain, tidak dibolehkan berkorban dengan haiwan yang pincang, buta sebelah,berkurap atau kurus.

            Dari al-Hasan, bahawa menurut pendapat mereka, jika seseorang membeli unta atau haiwan qurban yang lain dan ketika itu telah pun memenuhi syarat, kemudian menjadi pincang, juling sebelah atau kurus kering sebelum hari qurban, maka hendaklah diteruskan untuk menyembelihnya, kerana yang demikian itu sudah dianggap memadai.(Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur).  Ibnu Abdul Barr berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Juraij, Habib al-Mua’lim dan lain-lain dari Atha’”, Katanya: “Setiap al-Hadyu yang sampai ketanah suci lu di sembelih, maka itu sudah memadai.” Rujuk al-Istizkar, jil: 12hlm: 286
Sunat memilih al-Hadyu

            Diriwayatkan oleh Malik dari Hisyam bin Urwah dari bapanya, bahawa bapanya pernah mengamanahkan kepada anak-anaknya dengan berkata: “Wahai anak-anakku! Jangan ada antara kamu yang memberikan haiwan qurban bagi Allah, sedang dia sendirinya  malu memberikan haiwan tersebut untuk orang yang dihurmatinya. Allah adalah yang paling terhormat antara yang berhormat, dan lebih layak untuk mendapat barang pilihan”.
Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur bahawa Ibnu Umar ra. berjalan sekitar Makkah sambil mengendarai seekor unta betina. Dia berkata’”Alangkah bagusnya unta ini!” Unta ini sangat disenanginya. Lantas dia pun turun dan memadai haiwan itu lalu menghadiahkan untuk dijadikan sebagi Qurban. Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah dengan lafaz; yang bermaksud“ Umar telah menghadiahkan seekor unta bertina”. Al-mushannaf, jil 4. Hlm

Waktu penyembelihan
            Para ulama berbeza pendapat mengenai waktu penyembelihan al-Hadyu. Menurut al-Syafei, waktu penyembelihan ialah pada hari-hari tasyriq. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW. yang bermaksud:
“Seluruh hari tasyrik merupakan waktu penyembelihan”. HR Ahmad(Musnad Ahmad)
Jika tidak sempat menyembelih pada waktu tersebut, maka al-hadyu wajib mesti disembelih secara qadha’. Menurut Malik dan Ahmad, waktu penyembelihan al-hadyu, samaada al-hadyu wajib mahupun al-hadyu sunat, ialah pada hari qurban. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi bagi al-hadyu tamattu’ dan qiran. Tetapi jika ia merupakan haiwan nazar, kifarat atau sunat, maka boleh disembelih pada bila-bila masa. Diceritakan dari Abu Salmah bin Abdur Rahman dan an-Nakha’i mengenai waktu penyembelihan adalah bermula dari hari qurban hingga akhir  bulah Zulhijjah.
Tempat penyembelihan al-Hadyu

            Al-Hadyu sama ada wajib mahupun sunat tidak boleh disembelih kecuali di tanah Suci. Seseorang yang berkenaan dibolehkan memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk menyembelih al-Hadyu tersebut . Dari Jabir ra., bahawa Rasulullah SAW. bersabda,yang bermaksud:
“Seluruh Mina merupakan tempat penyembelihan, seluruh Muzdalifah merupakan tempat wuquf, dan seluruh celah-celah bukit di Kota Makkah merupakan jalan dan tempat penyembelihan”. HR Abu Daud dan Ibnu Majah
Namun seseorang yang menunaikan haji diutamakan menyembelihnya di Mina, sedang  seseorang yang berumrah diutamakan menyembelihnya di Marwah.Sebab, kedua-dua tempat ini merupakan tempat bertahallul bagi setiap haji dan umrah.Dari Malik katanya yang bermaksud,
“Dia mendapat berita bahawa Nabi SAW. bersabda sewaktu berada di Mina: ‘Ini adalah tempat penyembelihan,dan seluruh Mina merupakan tempat penyembelihan’. Ketika berumrah, beliau bersabda: ‘Ini iaitu al-Marwah adalah tempat penyembelihan, dan seluruh celah-celah Makkah dan jalan-jalannya merupakan tempat penyembelihan’.Muwattha’ Malik
Tukang sembelih tidak boleh menerima upah kerana sembelihan al-Hadyu

            Tukang sembelih tidak dibolehkan menerima upah dari menyembelih al-Hadyu, tetapi tidak mengapa apabila seseorang bersedekah kepadanya.Hal ini bedasarkan keterangan Ali ra.,katanya yang bermaksud;
“Aku diperintahkan Rasulullah SAW. untuk menguruskan penyembelihan unta-untanya, mengagihkan kulit dan dagingnya dan aku diperintahkan agar tidak memberikan sesuatu pun daripadanya kepada tukang senbelih.Ulasnya lagi: ‘Kami memberinya imbalan dari harta kami sendiri’. Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama hadis
Hadis ini menegaskan bahawa dibolehkan mencari wakil sebagai pengganti diri seseorang yang berkorban untuk menguruskan penyembelihan qurban dan mengagihkan daging, kulit dan lemaknuya. Ia juga menegaskan bahawa tidak boleh sedikitpun diberikan kepada tukang sembelih sebagai upah, walaupun upahnya itu tetap harus dibayar berdasarkan katanya:’Kami memberinya imbalan dari harta kami sendiri.(diriwayatkaan oleh Bukhari). Diriwayatkan oleh al-Hasan bahawa dia pernah mengatakan: “Tidak mengapa apabila tukang sembelih itu diberi kulitnya. HR  dari Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair dan berkata: “Hadis ini tidak bermasaalah”. Al-Mushannaf oleh Ibnu Abu Syaibah, jil 4,hlm 298

Memakan daging al-Hadyu
Allah ta’ala berfirman dalam surah al-Hajj 28,

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
…Maka makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah pula orang yang malang lagi miskin.
Perintah ini pada zahirnya merangkumi al-Hadyu wajib dan al-Hadyu sunat. Dalam masaalah ini terjadi perbezaan pendapat di kalangan ulama. Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat bahawa dibolehkan memakan al-Hadyu dari denda tamattu’, denda qiran dan al-Hadyu sunat, namun tidak dibolehkan memakan al-Hadyu selain daripada itu.Malik berkata;”seseorang dibolehkan memakan daging al-Hadyu yang disembelih disebabkan batalnya atau rosaknya ibadah haji, al-Hadyu tamatthu’ dan al-Hadyu yang lain, kecuali bayaran fidyah kerana berbuat kerosakan, fidyah berburu, bayaran nazar untuk orang miskin, dan al-Hadyu sunat apabila mendapat kecelakan sebelum waktu penyembelihan.

            Menurut Syafie’, tidak dibolehkan memakan al-Hadyu wajib seperti bayaran dam kerana berburu,merosakan ibadah haji, al-Hadyu kerana tamatthu’ dan qiran serta nazar yang diakui sebagai kewajipannya. Bagaimanapun, al-Hadyu sunat boleh dimakan, dihadiahkan dan disedekahkan

 

No comments:

Post a Comment