Saturday, 4 March 2017

Hukum mencukur sebahagian kepala (الْقَزَعِ)

Hukum mencukur sebahagian kepala (الْقَزَعِ)

Hadith Riwayat Muslim
Syarh Sahih Muslim
Hadith Riwayat Abu Daud

Ulama bersepakat bahawa makruh hukumnya seseorang mencukur sebahagian kepalanya dan meninggalkan sebahagian yang lain baik bagi golongan lelaki mahupun wanita. Melainkan jika sebagai keperluan seperti untuk tujuan perubatan.

Perilaku ini dinamakan  الْقَزَعِ  iaitu perbuatan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain. Istilah الْقَزَعِ yang bermaksud sebahagian daripada awan, apabila seseorang mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain seperti rupa awan yang bertompok-tompok. Ini adalah berdasarkan keterangan Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim.

Tegahan berpandukan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar ra. Katanya:

أَنَ رسولِ صلى الله عليه نَهَى عَنْ الْقَزَعَ ، قَالَ: قُلْتُ لِنَافِعِ ٬ وَمَا الْقَزًع ُ؟ قَالَ: يُحْلَقُ بَعْضُ رَأْسِ الصَّبِيِّ وَيُتْرَكُ بَعْضٌ٠

Ertinya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang الْقَزَعِ. Ditanya kepada Nafi’, Apakah yang dimaksudkan الْقَزَعِ itu? Katanya, “Dicukur sebahagian kepala budak dan ditinggalkan sebahagian yang lain. HR Muslim

Hukum ini bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu “Umar ra.huma Katanya:

أَنَّ النَّبٍيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى صَبِيًّا قَدْ خُلِقَ بَعْضُ شَعْرِهِ وَتُرِكَ بَعْضُهُ، فَنَهَاهُم عَنْ ذَلٍكَ٬ وَقَالَ: إِحْلِقُوهُ كُلَّهُ، أَوِاتْرُكُوهُ كُلَّهُ

Ertinya: “Sesungguhnya Nabi saw. Melihat seorang budak(anak) yang sebahagian kepalanya telah dicukur, sedangkan sebahagian lainnya tidak. Maka Nabi saw. melarang mereka daripada melakukan sedemikian, dan bersabda,” Cukurlah kamu kesemuanya atau biarkan kesemuanya(tanpa dicukur). HR Abu Daud

Sebab tegahan mencukur sebahagian kepala

Pelbagai pendapat para ulama dalam menyatakan sebab tegahan daripada perbuatan tersebut, ini berdasarkan cara yang dilakukan:

1-      Mencukur di bahagian tepi dan meninggalkan bahagian tengah.
Hukumnya adalah makruh, kerana menyerupai golongan yang bodoh,ahli maksiat dan golongan penjahat atau tidak bermoral.
2-      Mencukur bahagian depan dan meninggalkan bahagian belakang.
Hukumnya makruh kerana perbuatan itu seperti menyeksa diri dan jiwa. Kerana perbuatan ini akan menarik perhatian orang dan menjadi tohmahan serta menjadi ejekan.Menjadikan rupa paras kelihatan hodoh.
3-      Mencukur bahagian tengah sahaja dan meninggalkan bahagian tepi.
Hukumnya makruh, kerana menyerupai perbuatan golongan ahli kitab dan kebanyakan golongan Yahudi,Nasrani termasuk golongan bawahannya.
4-      Mencukur di merata tempat di bahagian kepala.
   Hukumnya adalah makruh kerana ianya adalah perbuatan yang tidak adil terhadap diri sendiri, sedangkan Allah menyuruh agar berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri.



No comments:

Post a Comment