Sunday, 12 July 2015

Sudut Feqah: Waktu Bersahur Dan Ragu Terhadap Terbit Fajar

Sumber rujukan:
1-Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
2-Nailul Authar oleh Asy-Syaukani
3-Fath al-Bari oleh Hafis Ibnu Hajar al-Asqolani

Waktu Bersahur

Waktu sahur bermula dari pertengahan malam hingga terbit fajar dan disunatkan mengakhirkannya selagi fajar belum lagi terbit.Dari Zaid bin Tsabit ra. katanya yang bermaksud:
"Kami makan sahur bersama Rasulullah SAW. Aku bertanya: "Berapakah kira-kira jarak di antara keduanya(makan sahur dengan berdiri untuk mengerjakan solat)? Beliau menjawab: 'Kira-kira dalam membaca lima puluh ayat'. HR: Bukhari dan Muslim

Dari 'Amar bin Maimun, katanya yang bermaksud:
"Sahabat Nabi SAW. merupakan orang-orang yang paling gemar menyegerakan berbuka puasa dan paling lambat ketika bersahur. HR Baihaqi dengan sanad yang sahih.

Dari Abu Zar al-Ghifari menerusi hadis marfu', bahawa:
"Umatku sentiasa dalam keadaan kebaikan, selagi mereka menyegarakan berbuka dan melambatkan bersahur." Dalam sanadnya terdapat Sulaiman bin Abu Utsman.Ia adalah seorang perawi yang tidak dikenali.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Fath al-Bari dengan lafaz yang bermaksud:"Orang Islam sentiasa dalam keadaan baik selama mereka mahu menyegerakan berbuka." jil 4 hlm 234.
 Peringatan: Hadis yang menegaskan bahawa mengakhirkan berbuka puasa sehingga kemunculan bintang di langit sepertimana amalan puak Syi'ah adalah salah. Hadis ini menyatakan bahawa jika mereka tetap  mengamalkan amalan sedemikian ,mereka selama-lamanya tidak akan memperolehi kebaikan(kerana bertentang dengan maksud hadis diatas-ianya merupakan amalan Nabi SAW.) Jadi berpeganglah dengan Sunnah Nabi SAW. dan jangan tertipu dengan mereka.Rujuk Fath al-Bari jil 4, hlm:234. Ia diriwayatkan oleh Ahmad dalam musnad, jil 5, hlm:172.

Ragu Terhadap Terbit Fajar

Sekiranya seseorang berasa ragu samaada fajar sudah terbit mahupun belum, maka dia tetap dibolehkan makan dan minum sehinggalah benar-benar yakin bahawa ia telah terbit fajar dan keraguannya tidak boleh dijadikan sebagai pegangan. Sebab, Allah SWT. melarang daripada makan dan minum hinggalah fajar benar-benar terbit, bukannya berlandaskan keraguan.Allah Ta'ala berfirman dalam surah al-Baqarah:187
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ

...dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam,...

     Pernah seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Abbas ra. "Aku bersahur namun jika aku ragu, akupun terus berimsak, iaitu terus berhentikan diri dari makan dan minum". Mendengar itu Ibnu Abbas pun berkata:"Makanlah selagi kamu masih ragu, hingga akhirnya kamu tidak ragu lagi! "

Abu Daud berkata:"Abu Abdullah mengeluarkan fatwa bahawa: seseorang yang ragu samaada fajar sudah terbit atau belum tetap dibolehkan makan sehingga benar-benar yakin bahawa fajar sudah terbit."
      Inilah mazhab Ibnu 'Abbas ra., Atha', al-Auza'i dan Ahmad, Menurut al-Nawawi, para sahabat al-Syafi'e bersepakat bahawa dibolehkan makan bagi seseorang yang meragukan akan terbitnya fajar

No comments:

Post a Comment