Munafik ( الْمُنَافِقِ )
Umat Islam sejak dari zaman Rasulullah saw hingga ke hari ini tidak terlepas daripada angkara dakyah dan propaganda orang-orang munafik yang amat busuk hati mereka terhadap kebenaran dan kejayaan Islam. Orang munafik sentiasa memusuhi Allah dan Rasul-Nya serta umat Islam di mana-mana sahaja sepanjang masa. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan, ragu-ragu dan menghancurkan umat Islam dengan berbagai cara supaya sikap, pemikiran dan ideologi mereka agar dapat dijiwai dan diamalkan oleh umat Islam secara sepenuhnya, sehingga menyalahi segala aspek ajaran dan hukum Allah.
Secara umumnya perkataan munafik dalam istilah agama ialah seseorang yang memperlihatkan keimanan pada zahirnya, tetapi menyembunyikan kekafiran di dalam hati. Menurut Imam Nawawi, apabila orang beriman mempunyai atau menyerupai sifat-sifat munafik, maka ia disebut nifak iaitu melahirkan sesuatu yang menyalahi keadaan hatinya. Justeru itu, jika seseorang mulim yang mempunyai sifat nifak sedangkan ia tidak menyedarinya, maka kemungkinan berlakulah pencampur antara kekafiran dan keimanan di dalam hati dan jiwanya jika tidak diiringi dengan penyesalan dan memohon keampunan Allah.
Firman Allah swt:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا٠يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar,nescaya Allah memperbaiki (diterima-Nya) bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.Al-Ahzab”.: 70-71
Landasan hidup orang munafik adalah kekafiran, rasa pengecut dengan menyembunyikan. Apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman mereka berpura-pura beriman, tetapi ternyata dalam hati dan jiwa mereka penuh dusta dan palsu semata-mata.
Pada hakikatnya orang-orang munafik lebih merosak dan lebih jahat daripada orang kafir walaupun mereka sama-sama hidup dalam kekafiran. Orang munafik amat licik dan dapat menipu dan menyesatkan orang-orang beriman. Mereka mempunyai ideologi dan matlamat yang tersendiri untuk memperdayakan umat Islam agar menyimpang daripada segala kebenaran.
Untuk mengenal tanda-tanda orang munafik dapat diketahui daripada keterangan al-Quran dan Sunnah dan bukannya dari hasil penilaian atau ditentukan oleh pemikiran akal manusia yang mungkin sebahagian daripada tanda-tanda itu nampak dalam pergaulan atau akhlaknya. Dalam al-Quran Allah swt menyebut kalimat al-nifak sebanyak 37 kali dalam berbagai-bagai surah. Oleh itu, kaum muslimin hendaklah sentiasa berhati-hati dan waspada menghadapi mereka serta berusaha menyingkirkan segala macam tipu daya mereka yang merosakkan martabat dan sahsiah umat Islam.
Ulama ahli Sunnah waljamaah telah membahagikan tanda-tanda munafik atau nifak kepada dua jenis iaitu:
Pertama:
Nifak i’tiqadi, iaitu dalam bentuk keimanan. Nifak jenis ini menyebabkan mereka keluar dari agama kerana dalam hatinya mendustai Allah, Rasul,kitab dan sebagainya. Meskipun pada zahirnya ia nampak mengakui kebenaranya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran dengan firman-Nya:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ ءَامَنَّا بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الأَخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ -8- يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ -9- فِي قُلُوبِهِم مَّرَضُُ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذّابٌ أَلِيمُ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ -10
“Di antara manusia ada yang mengatakan:’kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian’, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman (8). Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar (9). Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta (10)”. al-Baqarah:8-10
Kedua:
Nifak amali, iaitu dalam bentuk perbuatan yang menyalahi ajaran al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulama.
Rasulullah saw bersabda:
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Dari Abu Hurairah, bahwa Nabi SAW bersabda, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga: jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari/mungkir, dan jika diberi amanah (dipercayai) ia berkhianat" HR Muslim
Perbuatan ini telah bertakhta dalam jiwa masyarakat Islam tanpa disedari.Dengan demikian setiap individu muslim wajib mengekang diri agar selamat daripada bahang nifak. Umar al-Khatab ra pernah berwasiat kepada Umat Islam dengan kata:
“Perhitungkan dirimu sebelum kamu diperhitungkan dan timbanglah dirimu sebelum kamu ditimbangkan serta bersiap-siaplah untuk hari pembalasan yang besar (hari kiamat)
No comments:
Post a Comment