Friday, 8 June 2018

Keuzuran yang menegah sahnya puasa.

Keuzuran yang menegah sahnya puasa.

Maksud keuzuran yang menegah sahnya puasa ialah perkara-perkara yang menyebabkan puasa tidak sah atau terbatal. Oleh itu, bagi orang yang berlaku kepadanya perkara tersebut ia diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, malah jika berpuasa sekalipun puasanya tidak sah dan jika ia sedang berpuasa,puasanya akan terbatal.

Keuzuran-keuzuran yang dimaksudkan adalah:

1- Kedatangan haid atau nifas

Wanita yang sedang haid atau nifas tidak wajib berpuasa kenana puasanya tidak sah. Jika haid datang ketika ia sedang berpuasa, maka puasanya terbatal dengan sendirinya.

2- Gila

Orang gila tidak wajib berpuasa kerana puasanya tidak sah. Jika seseorang itu tidak gila pada awalnya, namun menjadi gila pada mana-mana waktu di siang hari, maka akan batallah puasanya pada hari tersebut.

3-Pengsan di sepanjang hari

Orang yang pengsan sehari penuh(yakni dari mula terbit fajar hingga terbenamnya matahari) maka puasanya pada hari itu terbatal sekalipun ia berniat pada malamnya dan pada siangnya ia tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun, jika ia tersedar pada mana-mana waktu pada siang hari, maka hilang keuzurannya dan ia wajib menahan diri(yakni berpuasa) pada waktu yang masih tinggal dan puasanya dikira sah.

Peringatan:

Orang yang tidak berpuasa Ramadhan kerana keuzuran-keuzuran di atas, ia wajib menggantinya pada bulan lain. Dikecualikan orang gila, ia tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa gila itu kerana ketika itu ia tidak dianggap mukalaf(kerana salah satu syarat mukalaf adalah berakal). Rujuk: al-Asybah wa al-Nazha'ir. Imam al-Suyuthi, 549.

Keadaannya sama seperti kanak-kanak yang belum baligh di mana mereka tidak dituntut menggantikan puasa yang mereka tinggalkan semasa sebelum balugh kerana mereka belum mukalaf.

Adakah mabuk membatalkan puasa?

Orang mabuk hukumnya sama seperti orang pengsan. Di mana jika seseorang berniat puasa lalu ia meminum ubat , kemudian hilang akalnya (yakni mabuk) pada siangnya dengan sebab ubat tersebut, maka jika ia sedar pada bila-bila waktu pada siang tersebut, sahlah puasanya. Jika tidak, batallah puasanya dan wajib atasnya untuk mengqada puasanya itu.

Adakah tidur sama dengan pengsan?

Tidur tidak membatalkan puasa sekalipun seseorang itu tidur sepanjang hari. Oleh itu, tidur tidak sama dengan pengsan. Pengsan sepanjang hari membatalkan puasa, namun tidur sepanjang hari tidaklah membatalkan puasa.

Perbezaan antara tidur dan pengsan ini adalah tidur tidak mengeluarkan seseorang daripada kelayakkannya untuk menerima perintah syarak, berbeza dengan pengsan di mana ia mengeluarkan seseorang daripada kelayakkanya untuk menerima perintah syarak dan kerana itu ia tidak wajib mengqada solat yang tertinggal selama mana ia telah pengsan itu (sama seperti wanita yang kedatangan haid dan nifas), sedangkan orang yang tidur tetap diwajibkan mengqada solat yang tertinggal semasa ia tidur.

No comments:

Post a Comment