Perlaksanaan Syariat Allah (Sempena Nuzul al-Quran)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Al-Baqarah:208
Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan secara wajib supaya beramal dengan seluruh hukum Islam. Manakala cara yang lain dikira dari langkah-langkah syaitan.
Allah Ta’ala berfirman,
وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (168) إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (169
“Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” Al-Baqarah: 168-169
Diantara langkah-langkah syaitan ialah beramal dengan sebahagian dari hukum Islam dan sebahagian lagi ditinggalkan kerana memilih perlaksanaan undang-undang ciptaan manusia.
.....أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ .....
Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Al-Baqarah:85
Syariat Islam mengandungi peruntukan undang-undang yang menyeluruh untuk manusia. Bermula daripada sebelum dilahirkan iaitu ketika masih berada di dalam kandungan ibu,sehinggalah sepanjang hidupnya di dunia dan memasuki alam selepas mati. Bermula dari alam barzakh sehingga ke alam akhirat. Syariat Islam juga mencangkupi segala aspek mengenai fitrah manusia, rohani dan jasmani, individu, rumahtangga dan masyarakat, kerajaan dan rakyat, dalam negeri dan antarabangsa, hubungan manusia dengan Tuhannya, dengan dirinya, dengan sesama manusia,,dan makhluk-makhluk yang lain. Para ulama membahagikan hukum syariat kepada empat bahagian:
1- Ibadat
2- Mua'malat
3- Munakahat
4-Jinayat, Termasuk dalam perkara:
a) Al-Murafa'at
b) Al-Dusturiyah
c) Al-Dauliyah
d) Al-U'qubat
Syariat Islam memperuntukkan hukum yang berkaitan dengan kenegaraan dan mewajibkan supaya ditegakkan kerajaan Islam yang memenuhi rukun dan syaratnya. Dan setiap kerajaan yang memerintah diwajibkan supaya melaksanakan syariatnya. Orang perseorangan atau ketua keluarga atau kumpulan yang bukan dari kalangan yang berkenaan di dalam negara tidak dibenarkan melaksanakannya; seperti melaksanakan undang-undang jenayah, qisas dan hudud, ta'zir, diat. Menguatkuasakan indang-undang hanyalah hak mutlak pemerintah negara.
Allah Ta’ala berfirman,
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Al-Maidah: 49
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? Al-Maidah: 50
Allah Ta’ala berfirman,
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penantang (orang yang tidak bersalah), karena (membela) orang-orang yang khianat, al-Nisa:105
Sebab ayat ini diturunkan adalah bagi tujuan melakukan keadilan ke atas satu kes mencuri yang dituduh secara fitnah terhadap seorang bukan Islam, iaitu penganut agama Yahudi di Madinah, di mana Allah mewajibkan kerajaan Islam berlaku adil terhadap seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Hubungan di antara kewajipan menegakkan negara Islam dan perlaksanaan syariatnya seumpama kepala dengan jasad, yang tidak boleh dipisahkan. Di disinilah juga terletaknya kehebatan Islam dan kejayaannya yang terbukti secara praktikal, bukannya secara teori semata-mata. Hasil dari itu lahirlah Tamadun Islam dalam segala bidang penghidupan. Apabila wujudnya keadilan dan keamanan, akan hiduplah semangat rakyat, di mana dengan itu mereka akan dapat menunaikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.
Telah terpahat didalam sejarah bahawa negara Islam pernah ditegakkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan disambung pula oleh Khulafa al-Rasyidin dan kerajaan Islam kemudian. Kita tidak menafikan pernah berlaku dalam sejarah Islam, kerajaan Islam yang zalim, pemimpin berakhlak buruk. Namun Islam yang menyeluruh telah ditegakkan dan Islam tetap didaulatkan.
Namun penjajah-penjajah barat yang pernah menjajah negara-negara Islam, mereka telah memusnahkan kedaulatan syariat Islam. Mereka mempunyai perancangan jahat bagi melemahkan kekuatan Umat Islam dan memusnahkannya. Sesungguhpun demikian pendekatan mereka begitu bijak dalam menjaga sensitiviti Umat Islam. Dalam mengatur strateginya mereka telah mengelakkan diri dari menyentuh perkara yang diketahui umum dalam hal fardhu ain dan fardhu kifayah yang berkaitan dengan amalan individu,keluarga dan masyarakat, seperti kegiatan ibadah fardhu ain; solat,puasa dalam bulan Ramadhan , haji dan lain-lain, juga seperti solat jenazah dalam hal fardhu kifayah.
Namun begitu, mereka telah mengurung perkara-perkara ini di bawah undang-undang yang bernama Islam. Kesemua ini bertujuan mencengkam dan memenjarakan lain-lain hukum Islam yang melibatkan persoalan politik, ekonomi, pendidikan yang pernah menghasilkan Tamadun Islam. Hukum-hukum yang berhubung dengan sistem pemerintahan, pentadbiran, kehakiman, muamalat, undang-undang janayah, perdagangan, undang-undang antarabangsa dan lain-lain telah dipinggirkan sama sekali. Sehingga sesetengah orang Islam tidak pernah mengetahui keberadaannya di dalam Islam.
Perhatikanlah perintah Allah Ta'ala berikut,
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. Al-Ahzab:36
Bagi mereka yang mengadakan hukum dan undang-undang dalam perkara yang tidak diizinkan, Allah Ta'ala berfirman:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ ۗ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih. Al-Syura:21.
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Al-Taubah: 31
No comments:
Post a Comment