Zakat Fitrah
Zakat fitrah ialah zakat yang diwajibkan bersempena bulan Ramadhan dan juga Hari Raya Fitrah (A'idilfitri). Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan (Zakat tubuh) atau zakat al-Ru'us (zakat kepala) kerana diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali samaada kecil atau besar, tua atau muda,lelaki atau wanita,miskin atau kaya serta hamba atau merdeka.
Zakat fitrah mula diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.
Pengertian zakat al-Fitrah. Ada dua pengertian:
1- Diambil daripada perkataan al-Fitr (اَلفِطْرُ) maknanya berbuka kerana zakat tersebut diwajibkan bersempena hari raya (1 syawal) di mana umat Islam diwajibkan berbuka setelah sebulan penuh mereka berpuasa pada bulan Ramadhan.
2- Diambil daripada perkataan al-Fithrah (اَلفِطْرَةُ) maknanya kejadian kerana zakat ini menyuci dan membersihkan fitrah atau kejadian manusia.
Hukum zakat fitrah dan dalilnya
Zakat fitrah adalah wajib. Antara dalil kewajipan zakat fitrah ialah hadith Ibnu Umar r.huma yang menceritakan,
ِ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
Dari 'Umar bin Nafi' dari bapaknya dari 'Abdullah bin 'Umar radliallahu 'anhua berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fithri satu sha' (satu gantang) dari kurma atau sha' dari gandum bagi setiap hamba sahaya (budak) mahupun yang merdeka, laki-laki mahupun perempuan, kecil mahupun besar dari kaum Muslimin. Dan Beliau memerintahkan agar menunaikannya sebelum orang-orang berangkat untuk salat ('Ied) ". HR Bukhari,1407.
Menurut Imam Ibnu al-Munzir, "Telah menjadi ijma para ulama bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib. Rujuk: al-Ijma', Imam Ibn al-Munzir,hlm. 35.
Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulama berpandangan bahawa zakat fitrah ialah sunnah, namun menurut Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz(sangat lemah) dan mungkar.
Hikmah diwajibkan Zakat Fitrah
1-Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas r.huma yang menceritakan,
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
Dari Ibnu Abbas, ia berkata; Rasulullah shallAllahu wa'alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum shalat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah salat (hari raya) maka itu hanya sedekah diantara berbagai sedekah. HR Abu Daud 1371. Juga dalam al-Ijma', Imam Ibn al-Munzir,hlm. 35.
Seorang ulama bernama Waqi' bin al-Jarrah berkata, "Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana zakat fitrah membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat. Rujuk al-Iqna',jil. 324.
2- Sebagai bantuan untuk orang miskin, iaitu membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari raya. Hikmah ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar r.huma. yang menceritakan:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ وَقَالَ: أَغْنُوْهُمْ فِي هاذَا الْيَوْمِ٠
Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam telah mewajibkan zakat fitrah dan Baginda bersabda, "Cukuplah mereka (yakni orang-orang fakir atau miskin) pada hari ini (yakni Hari Raya Puasa). HR al-Daraqutni. Lihat hadith ini dalam Nailul al-'Authar. Imam al-Syaukani. Bab Zakat al-Fithri.
Keatas siapakah diwajibkan zakat fitrah?
Zakat fitrah diwajibkan keatas semua individu
Islam tanpa kecuali samaada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, tua atau muda,merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pendalaman jika cukup syarat-syarat(akan disebutkan nanti, pada perbahasan seterusnya).
Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya merangkumi:
i- Isteri.
ii- Asal usulnya (iaitu bapa, ibu, datuk,nenek hingga berikutnya keatas).
iii- Furu'/Zuriatnya (iaitu anak pinaknya dan cucu-cicit); samaada lelaki atau perempuan,kecil atau besar.
iv- Hamba yang dimiliki.
Jika seseorang itu mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat untuk semua tanggungannya. Maka zakat itu hendaklah dibayar untuk diri sendiri dan sebahagian tanggungannya mengikut keutamaan di bawah:
1- Isterinya.
2- Anaknya yang kecil.
3- Bapanya.
4- Ibunya.
5- Anaknya yang dewasa.
Jika terdapat lebih daripada seorang seperti ia memiliki lebih daripada seorang isteri atau lebih daripada seorang anak kecil, maka ia boleh memilih dalam kalangan mereka siapa yang hendak ia bayar zakat.
Rampaian:
1- Jika isteri kaya, suami tetap wajib menanggung zakat fitrah isterinya.
2- Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, maka gugurlah zakat fitrah daripada isterinya sebagaimana gugur daripada dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya, kerana ia tertanggung atas bahu suaminya.
Namun, disunatkan ia mengeluarkan untuk dirinya jika ia mampu.
Dalam hal ini zakatnya sah tanpa ada khilaf dikalangan ulama jika ada keizinan dari suami. Namun jika tanpa ada keizinan dari suami ulama berbeza pendapat:
a- Sebahagian ulama berpandangan,tidak sah zakat fitrah itu kerana ia melaksanakan kewajipan orang lain tanpa persetujuannya. Keadaannya sama seperti seorang yang mengeluarkan zakat keatas harta milik orang lain tanpa izinnya.
b- Sebahagian ulama berpandangan, sah zakatnya kerana yang dikeluarkan itu zakat fitrah bagi dirinya, maka sama seperti jika mengeluarkan zakat yang wajib atas dirinya. Pandangan ini terdapat dalam mazhab al-Syafi'i.Rujuk: al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/55; al-Majmu', Imam al-Nawawi
3- Anak tidak wajib bayar zakat fitrah untuk ibubapa yang kaya. Namun jika ibubapanya fakir atau miskin,maka ketiks itu zakat dan sara hidup mereka menjadi kewajipanya.
4- Bapa wajib menanggung zakat fitrah untuk anak-anaknya dalam dua keadaan:
a- Anak-anak yang masih kecil.
b- Anak-anak yang telah baligh(dewasa).
Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan daripada harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya(penjaganya) untuk mengeluarkannya daripada harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.
Anak-anak yang telah baligh(dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan keizinan mereka atau dengan mereka mewakilkanya.
Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri samaada kerana ditimpa sakit yang beterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu, bapa atau penjaga yang menyara mereka wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka.
Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.
5- Tidak wajib menanggung zakat fitrah untuk saudara mara sekalipun mereka susah dan miskin. Saudara mara, samaada abang,adik,kakak,anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepupu serta sekalian kaum kerabat yang lain yang tidak tergolong dalam asal usul kita(iaitu bapa, ibu, datuk, nenek) dan juga furu'/zuriat kita (iaitu anak, cucu dan cicit) tidak wajib kita menanggung nafkah mereka (sekalipun mereka miskin), maka dengan itu tidak wajib pula kita membayat zakat fitrah untuk mereka. Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilikan kepadanya (untuk membayar zakat bagi pihak mereka)
No comments:
Post a Comment