Friday, 8 June 2018

Qada Puasa

Qada Puasa

Makna qada adalah menggantikan puasa yang ditinggalkan atau yang terbatal dengan berpuasa semula pada hari lain di luar bulan Ramadhan.

Puasa Ramadhan adalah wajib ke atas orang Islam yang mukalaf iaitu yang telah sampai umur baligh dan berakal. Orang yang sengaja tidak berpuasa atau sengaja berbuka puasa pada bulan Ramadhan hukumnya berdosa besar. Adapun orang yang berbuka puasa kerana sesuatu keuzuran tidaklah berdosa kerana dimaafkan oleh syarak.

Puasa yang ditinggalkan oleh seorang Muslim yang mukalaf atau puasa yang batal samaada dengan sengaja atau kerana keuzuran maka wajib ia menggantinya. Termasuk orang-orang yang wajib menggantikan puasa,

Qada sahaja:

1- Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja(ia berdosa dan wajib menggantinya dengan segera).
2- Wanita yang meninggalkan puasa kerana kedatangan haid dan nifas.
3- Orang yang meninggalkan puasa kerana musafir.
4- Orang yang meninggalkan puasa kerana sakit atau keuzuran lain yang dibenarkan syarak.
5- Orang yang batal puasanya kerana mabuk atau pengsan sepanjang hari.
6- Orang yang terbatal puasa kerana (terlupa niat pada malamnya, tersalah makan kerana menyangka fajar belum terbit, atau menyangka waktu berbuka telah tiba)
7- Orang yang membatalkan puasanya dengan sengaja dengan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, bersetubuh pada siang hari, mengeluarkan mani dan sebagainya). Adapun dengan jimak, maka dikenakan kafarah di samping qada.
8-Wanita menyusukan anak yang membatalkan puasa kerana maslahat dirinya.
9-Wanita hamil yang membatalkan puasa kerana maslahat dirinya.

Qada dan fidyah:

1- Wanita mengandung yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

2- Wanita menyusui anaknya yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

3- Terpaksa berbuka kerana menyelamatkan orang lain, seperti menyelamatkan orang yang sedang lemas. Al-Iqna' fi Halli Al-Fazh Abi Syuja', jil. 1 hlm. 352.

4- Orang yang melewat-lewatkan qada puasa dengan sengaja, hingga masuk Ramadhan yang baharu. Maka ia wajib membayar fidyah di samping mengqada puasanya. Semakin banyak tahun yang dilangkaui, makin banyaklah fidyah yang perlu dikeluarkan.

5- Orang yang mati meninggalkan puasa; ahli-ahli warisnya boleh memilih antara menggantikan puasa untuknya atau membayar fidyah.

Ibadah yang difardukan Allah apabila ditinggalkan tidak akan lupus begitu sahaja. Ia menjadi hutang bagi kita dengan Allah Subhanahuwata'ala yang akan terus terpikul atas bahu kita hinggalah kita membayarnya.

Adapun dalil kewajipan mengqada puasa adalah:

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Al-Baqarah: 184.

Dari Aisyah radhiyallahuanha.

عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ: مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، وَلا تَقْضِي الصَّلاةَ. فَقَالَتْ: أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ؟ قُلْتُ: لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّي أَسْأَلُ. قَالَتْ: كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاةِ

Dari Muadzah berkata,"Aku bertanya kepada Aisyah,"Mengapa wanita haidh wajib mengqada puasa dan tidak wajib mengqada solat?". Aisyah bertanya,"Apakah kamu wanita haruriyah?", Aku menjawab,"Aku bukan haruriyah, tetapi Aku bertanya." Aisyah berkata,"Kami (para wanita) mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqada puasa dan tidak diperintah untuk mengqada' solat. (HR. Muslim)

Sebahagian kalangan menafsirkan makna haruriyah di dalam hadith itu adalah bahagian kelompok khawarij yang amat keras sikapnya dan berlebihan dalam beragama. Kata haruriyah diambil dari nama suatu kampung atau tempat yang jadi tempat mereka menghimpun kekuatan, yaitu Harura' di dekat kota Kufah.

Intipati dari hadith ini adalah penjelasan tentang hukum syariah yang amat penting, antara lain :

1. Wanita haid dilarang mengerjakan solat dan puasa, baik yang hukumnya wajib atau pun yang hukumnya sunat.

2. Solat fardu yang ditinggalkan wanita haid telah Allah Subhanahuwata'ala tetapkan tidak perlu diganti, iaitu tidak ada kewajipan untuk qada.

3. Sedangkan puasa fardu yang ditinggalkan wanita haid telah Allah Subhanahuwata'ala tetapkan untuk diganti atau diqada. Dan qada atas puasa ini hukumnya wajib.

No comments:

Post a Comment