Saturday, 16 June 2018

Zakat Fitrah(Jenis harta yang sah dikeluarkan zakat, kadar wajib)

Zakat Fitrah(Jenis harta yang sah dikeluarkan zakat, kadar wajib)

Zakat fitrah wajib dikeluarkan daripada makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau negara. Pada zaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam makanan asas ialah kurma, anggur kering(kismis), gandum, keju dan barli. Justeru itu, zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abu Sa'id sl-Khudri ra.,

عَنْ عِيَاضِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي سَرْحٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ يَقُولُا
كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ

Dari Iyadl bin Abdullah bin Sa'd bin Abu Sarh bahwa ia mendengar Abu Sa'id Al Khudri berkata; "Kami membayar zakat fithri berupa satu sha' gandum atau barli atau kurma atau satu sha' keju atau anggur kering." HR Muslim,1640.

Bagi penduduk di negara seperti Malaysia ialah beras.

Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu al-Sha'(الصَّاع ) atau satu gantang baghdad yang menyamai timbangan hari ini kira-kira 2750 gram atau 2.75 kg. Ini mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6kg.

Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit daripada kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkan kadar yang patut dikeluarkan.

Mengeluarkan Zakat Fitrah dengan wang:

Mengikut mazhab al-Syafi'i , Malik dan Ahmad

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat. Justeru itu tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat itu.

2- Menurut mazhab Hanafi

Harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas jika itu lebih memberi munafaat kepada fakir atau miskin. Pandangan mazhab Hanafi ditarjihkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh zakatnya.

Masalah ini juga dihuraikan dalam kitab "Al-Syarah" seperti berikut:

Berfitrah dengan wang:

(a) Membayar fitrah dengan wang adalah tidak sah mengikut mazhab Syafi'i jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan: "Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku". Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: "Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku - pada tahun ini."

(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam mazhab Syafi'i tetapi lebih afdhal dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.

Dalam mazhab Syafi'i yang mengharuskan ialah:

(1) Kerana darurat.

(2) Kerana diperintahkan oleh raja(pemerintah)
Rujuk:kitab Al-Itharah
Menurut kitab Al-Itharah (hlm. 5), bahawa keterangan mazhab Syafi'i yang tersebut ada dinyatakan dalam kitab (Al-Majmu') Syarah al-Muhazzab (5:431) dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat - ada disebutkan dalam kitab Al-Majmu' (5:429).

Dalam kitab Al-Itharah juga (hlm. 5) ada menyebutkan keterangan kitab Al-Majmu' (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadith yang disebutkan oleh Imam Bukhari, rahimahullah dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Saiyidina Muaz r.a., semasa diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum, (kerana cara yang demikian katanya, bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian).

(c) Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:

(1) Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras.

(2) Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah, pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya - akan rosak jika disimpan lama." Rujuk: kitab Al-Itharah (Bab Zakat)

No comments:

Post a Comment