Monday, 22 May 2017

Adakah Syurga dan Neraka telah wujud sekarang?

Adakah Syurga dan Neraka telah wujud sekarang?

Perkataan Syurga dan Neraka adalah berasal dari perkataan Sanskrit. Dalam al-Quran dan Hadith tidak terdapat perkataan Syurga dan Neraka. Sebaliknya perkataan yang digunakan adalah “Jannah” dan “Naar” atau “Jahannam”.

Perkataan ‘Jannah’, berdasarkan beberapa potong ayat al-Quran dan Hadith berkaitan, serta beberapa penerangan mengenai sifatnya, tidak memberikan apa-apa maksud lain melainkan ‘suatu’ negeri atau tempat kesenangan yang disediakan oleh Allah untuk orang-orang mukmin’. Inilah yang digelar syurga oleh masyarakat kini.

Manakala ‘Naar’, berdasarkan beberapa potong ayat al-Quran dan Hadith berkaitan, serta beberapa penerangan mengenai sifatnya, tidak memberikan apa-apa maksud lain melainkan suatu negeri atau tempat seksaan yang disediakan oleh Allah bagi orang-orang kafir. Inilah yang biasa disebut sebagai neraka.
Setelah meneliti keadaan syurga dan neraka sebagaimana yang disebut di atas, persoalan yang timbul adakah kedua-duanya itu telah wujud atau belum pada ketika ini?

Sebahagian ulama berpendapat bahawa syurga dan neraka belum dibina oleh Allah. Pendapat sedemikian adalah berdasarkan al-Quran, dimana tidak terdapat didalamnya ayat yang jelas menyatakan bahawa syurga dan neraka telah wujud. Yang dinyatakan di dalam al-Quran selalunya berbentuk “Syurga disediakan untuk orang-orang yang berbuat baik” dan ‘neraka disediakan untuk orang-orang kafir”.

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). al-Kahfi:107

فَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
“Maka takutlah kamu akan api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang kafir”. Al-Baqarah 24

Menerusi perkataan ‘disediakan” ini,kita masih belum boleh menetapkan bahawa syurga dan neraka sudah wujud. Ini kerana perkataan “disediakan” itu boleh membawa maksud sudah wujud dan juga boleh membawa maksud belum wujud. Kenyataan tersebut sama  seperti ungkapan seorang guru kepada muridnya: “hadiah buku disediakan untuk mereka yang mendapat markah yang tinggi

Perkataan ‘disediakan’ yang diucapkan oleh guru itu tidak semistinya menunjukkan bahawa buku hadiah itu, pada waktu ia diucapkan telah wujud. Ada kemungkinan ia telah wujud dan kemungkinan juga bahawa ia masih belum wujud. Untuk menentukan bahawa hadiah itu telah wujud memerlukan bukti yang lain. Begitu juga halnya terhadap syurga dan neraka. Demikianlah bagi pendapat bagi golongan yang mengatakan kedua-duanya masih belum dibina.

Apa yang disandarkan oleh golongan tersebut adalah benar. Namun, jika dilihat kepada dalil-dalil yang akan dihuraikan di bawah, adalah sukar untuk dinafikan bahawa syurga dan neraka telah wujud sekarang.

Sabda Rasulullah saw:
أَوَلَا تَدْرِيْنَ أَنَّ الله خَلَقَ الجَنَّةَ وَخَلَقَ النَّارَ فَخَلَقَ لِهَذِهِ أَهْلاً وَلِهَذِهِ أَهْلاً
“Tidakkah engkau tahu bahawa Allah telah menciptakan syurga dan neraka, lalu Dia telah menetapkan ahli-ahlinya bagi syurga tersebut dan ahli-ahlinya bagi neraka tersebut”. HR Muslim

Sabda Rasulullah saw:
خَلَقَ اللهُ  الجَنَّةَ  عَدْنٍ وَغَرَسَ أَشْجَارَهَا بَيَدِهَ
“Allah telah menciptakan syurga yang kekal dan Dia telah menanam pokok-pokok menerusi kekeuasaaan-Nya”.HR Hakim. Sahih(Jami’ al-saghir)

Sabda rasulullah saw:
خَلَقَ اللهُ  الجَنَّةَ  عَدْنٍ بِيَدَهَ لُبْنَةً مِنْ ذَهَبٍ  وَ لُبْنَةً مِنْ فِضَّةٍ
“Sesungguhnya Allah menerusi kudrat-Nya telah menciptakan syurga yang kekal, menggunakan bata daripada emas dan bata daripada perak”.HR Thabrani Hassan

Sabda Rasulullah saw:
لَمَّا خَلَقَ اللهُ  الجَنَّةَ  قَلَ لِجِبْرِيْل اِذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَذَهَبَ فَنَظَرَ  إِلَيْهَا ٠٠٠فَلَمَّا خَلَقَ اللهُ النّارَ قَالَ يَا جِبْرِيْلُ اِذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا
“Ketika Allah menciptakan syurga, Dia berkata kepada Jubril as. “Pergi dan lihat syurga itu.”Lalu Jibril pun pergi melihatnya... dan ketika Allah menciptakan neraka, Dia berkata kepada Jibril, “Pergi dan lihat neraka itu,”Lalu Jibril pun pergi melihatnya.”HR Abu Daud

Sabda Rasulullah saw:
لَمَّا خَلَقَ اللهُ  الجَنَّةَ عَدْنٍ خَلَقَ فِيْهَا مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطْرٌ عَلَى قَلْبِ بَشَرَ
“Ketika Allah mencipta syurga yang kekal, lalu diisi di dalamnya (nikmat-nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh hati manusia”.HR Thabrani. Dalam Majma’ zawaid (Bagus)

Sabda Rasulullah saw.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ سَمِعَ وَجْبَةً فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَدْرُونَ مَا هَذَا قَالَ قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ هَذَا حَجَرٌ رُمِيَ بِهِ فِي النَّارِ مُنْذُ سَبْعِينَ خَرِيفًا فَهُوَ يَهْوِي فِي النَّارِ الْآنَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى قَعْرِهَا

“Dari Abu Hurairah ra, dia berkata, "Kami pernah bersama Rasulullah saw. Tiba-tiba Rasulullah mendengar suara keras seperti suara sesuatu terjatuh. Lalu beliau bertanya, 'Tahukah kalian, suara apakah itu?' Abu Hurairah berkata, "Kemudian kami pun menjawab, 'Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.' . Maka Nabi saw berkata, ‘Ini adalah satu batu yang dilemparkan ke dalam neraka semenjak dari tujuh puluh tempoh (yang lalu), sekarang ia sedang jatuh ke dalam neraka dan akan berhenti setelah sampai ke permukaannya”. HR Muslim

Di dalam hadith yang pertama sehingga ke lima, perkataan yang digunakan adalah ‘khalaqa خَلَقَ ‘ yang berbentuk feel madhi iaitu perbuatan yang telah lalu. Perkataan-perkataan tersebut jika ditukar ke Bahasa Melayu akan membawa maksud:
a-      Telah menjadikan
b-      Telah mewujudkan
c-      Telah menciptakan


Kesimpulan daripada makna ‘telah menjadikan’, telah mewujudkan’ dan ‘telah menciptakan’ tadi jelas menunjukkan bahawa syurga dan neraka telah wujud sekarang. Ini kerana jika perkataan yang digunakan adalah berbunyi seperti ‘telah dijadikan’, ‘telah diwujudkan’ atau ‘telah diciptakan’, sudah pasti barang tersebut telah wujud. Keadaan tersebut tidak dinafikan kecuali jika terdapat dalil lain yang menolak.

No comments:

Post a Comment