Tuesday, 30 May 2017

Hukum menggugurkan kandungan sebelum 4 bulan

Hukum menggugurkan kandungan sebelum 4 bulan

Sumber rujukan:
Hadith Bukhari
Syarah Fathul Qadir
Hasyiyah Ibnu Abidin dan Nihayatul Muhtaj
Syarah Kabir,Ihya Ulumiddin dan Inshof


عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قالَ: حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُإنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ، فَوَاللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ غُيْرُهُ، إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا.

Dari Abu ‘Abdir-Rahman ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menuturkan kepada kami, dan beliau adalah ash-Shadiqul Mashduq (orang yang benar lagi dibenarkan perkataannya), beliau bersabda,”Sesungguhnya seorang dari kalian dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah (bersatunya sperma dengan ovum), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) seperti itu pula. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) seperti itu pula. Kemudian seorang Malaikat diutus kepadanya untuk meniupkan ruh di dalamnya, dan diperintahkan untuk menulis empat hal, yaitu menuliskan rizkinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Dia, sesungguhnya salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli surga, sehingga jarak antara dirinya dengan surga hanya tinggal sehasta, tetapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka dengan itu ia memasukinya. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya tinggal sehasta, tetapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli surga, maka dengan itu ia memasukinya”. Diriwayatkan oleh al Bukhari  

Berdasarkan hadith di atas, ruh akan ditiupkan kepada janin yang berada dalam rahim siibu ketika usianya empat bulan. Manakala sebelum empat bulan janin tersebut tidak bernyawa apatah lagi jika usianya baru berusia satu atau dua minggu.

Sebahagian ulama’ menghukumkan bahawa menggugurkan kandungan sebelum tempoh empat bulan ”beserta dengan alasan yang kukuh” adalah dibolehkan. Manakala selepas empat bulan majoriti ulama’ mengharamkan kecuali dalam suatu keadaan, iaitu sekiranya janin tersebut jika dilahirkan akan mengancam nyawa si ibu. Ini kerana dalam hal ini nyawa ibu lebih diutamakan.

Walaupun majoriti fuqaha’ memfatwakan boleh menggugurkan janin sebelum empat bulan dengan sebab-sebab yang kongkrit, terdapat sebahagian kecil ulama'. Yang mengharamkannya dalam semua peringkat umur janin, ia adalah pandangan Imam Hamid al-Ghazali (wafat 505 H), serta sebahagian Fuqaha’ Mazhab Maliki.

Kesimpulannya, menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh terbahagi kepada tiga pendapat:

Pertama:

Menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh hukumnya dibolehkan. Bahkan sebahagian daripada ulama membolehkan menggugurkan janin tersebut dengan ubat (Hasyiah al-Qaliyubi: 3/159) pendapat ini dipelopori oleh para ulama daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Tetapi kebolehan atau keharusan ini disyaratkan dengan adanya keizinan atau kerelaan daripada kedua orang tuannya.    (Syarah Fathul Qadir: 2/495)

Kedua:
Menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh hukumnya makruh. Dan apabila sampai pada waktu ditiupkan ruh, maka hukumnya menjadi haram. Dalilnya bahawa waktu ditiupkan ruh itu tidak diketahui secara tepat, maka tidak boleh menggugurkan janin jika telah mendekati waktu ditiupkan ruh, demi untuk berhati-hati / berjaga-jaga. Pendapat ini dipegang oleh sebahagian ulama’ mazhab Hanafi dan Imam Ramli yang merupakan salah seorang ulama’ dari mazhab Syafie. (Hasyiah Ibnu Abidin: 6/591, Nihayatul Muhtaj: 7/416)

Ketiga:

Menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh hukumnya haram. Dalilnya bahawa air mani yang masuk ke dalam faraj wanita itu telah tertanam dalam rahim dan telah bercampur dengan ovum wanita sehingga dikatakan telah bersedia untuk menjadi satu jenis/ sepsis kehidupan, maka menggugurkannya adalah merupakan satu tindakan buruk. Pendapat ini dipegang oleh Ahmad Dardir, Imam Ghazali dan Ibnu Jauzi. (Syarah Kabir: 2/267, Ihya Ulumuddin: 2/53, Inshof: 1/386)

No comments:

Post a Comment