Saturday, 6 August 2016

Sudut Feqah: Apakah syarat-syarat suami yang hendak mentalaki(الطلاق) isterinya?


 
Sumber Rujukan:

Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji Said Ibrahim (Matan Mufti Negeri Sabah)

Apakah syarat-syarat suami yang hendak mentalaki(الطلاق) isterinya?

Syarat-syarat suami yang hendak mentalaki isterinya ialah:

1-Berakal

Tidak sah suami yang gila, atau suami yang sedang tidur mengigau. Tetapi bagi suami yang hilang akalnya disebabkan meminum minuman yang memabukkan, maka jatuhlah talaknya.

2-Baligh (dewasa)

Tidak sah talak suami yang masih kanak-kanak, kerana mereka itu belum diberati oleh hukum syarak (belum mukallaf).

Orang yang tidak berakal dan kanak-kanak tidak sah talaknya. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW.:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُوْنِ حَتَّى يَعْقِلَ

“Diangkat  (dibebaskan) dosa dari tiga macam orang; orang tidur sehingga ia bangun, kanak-kanak sehingga ia dewasa, dan orang gila sehingga ia berakal (sembuh dari gilanya). HR Abu Daud”.

Dan sabda Rasulullah SAW.

" كُلُّ طَلَاقٍ جَائِزٌ إِلَّا طَلَاقَ الْمَعْتُوهِ الْمَغْلُوبِ عَلَى عَقْلِهِ "

“Semua talak itu sah kecuali talak orang yang tidak waras akalnya(tidak siuman)” HR Tirmizi

3-Kehendak dan kemahuan sendiri

Tidak sah talak dengan paksa, tanpa kehendak suami itu sendiri, yang mana paksaan itu masih dapat dielakkan dan dipertahankan oleh suami tadi yang tidak menyebabkan kebinasaan kepada dirinya atau hartanya.

Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW;
رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ
 “Telah diangkat (dibebaskan) umatku kepada yang tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atasnya”. HR Ibnu Majah,Ibnu Hibban,Darulqutni,Thabrani dan Hakim.
Dan sabda Rasulullah SAW.
لَا طَلَاقَ وَلَا عِتَاقَ فِى إِغْلَاقٍ
“Tidak jatuh talak dan tidak merdeka hamba dalam keadaan dipaksa” HR Abu daud, Ibnu majah dan Al-Hakim

 

 

No comments:

Post a Comment