Monday, 15 August 2016

Sudut Feqah: Solat Jamak-Menjamak dikala hujan


Solat Jamak-Menjamak dikala hujan
Sumber Rujukan:
Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

Seseorang dibolehkan menjamak solat Zohor dengan Asar, sama ada jamak takdim mahupun jamak ta’khir. Begitu pula dibolehkan menjamak solat Maghrib dengan Isyak iaitu dikala hujan.

Dalam sunanya al-Athram meriwayatkan dari Abu Salamah bin Abdur Rahman, katanya: “Termasuk sunnah Nabi SAW. menjamak solat Maghrib dengan Isyak, apabila turun hujan lebat. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa:

إن النبي صلى الله عليه وسلم جَمَعَ  بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِفِيْ لَيْلَةٍ مُطِيْرَةٍ

“Sesugguhnya Nabi SAW pernah menjamak solat Maghrib dan Isyak pada suatu malam yang dibasahi hujan lebat”.HR Bukhari

Kesimpulan pendapat mazhab-mazhab dalam masaalah ini sebagai berikut:

Mazhab asy-Syafie membolehkan seseorang yang bermukim menjamak solat Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak dengan jamak takdim sahaja, dengan syarat turun hujan ketika membaca takbiratul ihram pada solat yang pertama hingga selesai dan hujan masih turun ketika hendak memulakan solat yang kedua.

Mazhab Maliki membolehkan menjamak takdim dalam masjid antara Maghrib dengan Isyak disebabkan adanya hujan yang telah atau akan turun dan disebabkan terdapat banyaknya lumpur di tengah jalan disertai dengan gelapnya malam, hingga menyulitkan kaum muslimin memakai selipar. Menjamak solat Zohor dengan Asar kerana hujan adalah dimakruhkan.

Mazhab Hanbali membolehkan menjamak Maghrib dengan Isyak sahaja, sama ada jamak takdim mahupun jamak ta’khir, disebabkan turun salji, lumpur, sejuk yang luar biasa dan hujan yang membasahi pakaian.

Keringanan ini hanya diberikan secara khusus kepada seseorang yang mengerjakan solat berjemaah di masjid dan letak rumahnya berjauhan, hingga dengan turunya hujan dan sebagainya, menjadi penghalang bagi dirinya untuk datang ke masjid. Sebaliknya, seseorang yang tinggal di masjid, seseorang yang mengerjakan solat berjamaah di dalam rumah, boleh datang ke masjid dengan menggunakan payung bagi melindungi dirinya daripada hujan atau rumahnya berhampiran dengan masjid, tidak dibolehkan menjamak solat.

 

 

No comments:

Post a Comment