Sunday, 14 August 2016

Sudut Feqah: Hukum Poligami


Hukum Poligami

Hukum asal poligami ialah harus dan dibolehkan seperti mana firman Allah s.w.t :

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلاَّ تَعُولُواْ

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), Maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, Maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.Al-Nisa:3

 Walau bagaimanapun, hukum poligami ini boleh menjadi sunat, makruh atau haram berdasarkan suasana dan keadaan individu yang ingin berpoligami.

SUNAT
Apabila seseorang lelaki memerlukan isteri yang lain; contohnya, beliau tidak cukup dengan hanya beristeri satu atau isteri pertamanya sakit atau mandul, sedangkan beliau mengkehendaki anak dan dia merasa mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.Hukum poligami pada ketika ini adalah sunat. Ini kerana, ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak. Ramai kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w
berkahwin lebih dari satu.

MAKRUH
Sekiranya poligami itu bukan kerana keperluan tetapi hanya untuk menambah keseronokkan hawa nafsu semata-mata dan dia meragui ( syak ) kemampuannya untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya, hukum poligami ketika ini adalah makruh. Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudharatan kepada isteri-isterinya disebabkan kerana tidak mampu berlaku adil terhadap mereka. Sabda Rasulullah s.a.w :

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

“ Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu ”.
(Imam an-Nawawi, Abu Zakaria Yahya bin Syarf an-Nawawi.Hadith riwayat Imam at-Tirmizi daripada Hassan bin Ali r.a dalam bab berkenaan keadaan kiamat dan bab ikatlah ia dan bertawakal.Katanya hadith ini hasan shohih. No. 2520.

HARAM
Jika seseorang lelaki ingin berpoligami merasa zhan atau yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, boleh jadi kerana kemiskinan atau kerana kelemahanya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, hukum poligami pada ketika ini ialah haram kerana ia akan memberi kemudaratan kepada orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w :

لا ضرر و لا ضرار

“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh melakukan kemudaratan.”(Ibnu Majah, Abu Abdullah Muhammad ibn Yazid al-Qazawini. Diriwayatkan Dalam Kitab Hukum-Hakam.Bab sesiapa yang menggunakan Haknya tetapi memudaratkan Jirannya)

Firman Allah s.w.t :

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا

“ Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka (berkahwinlah dengan )  seorang sahaja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. Surah al-Nisa:3

Seperkara yang mesti difahami, sekiranya suami mengahwini isteri kedua, ketiga atau keempat dalam dua keadaan terakhir, maka akad tersebut adalah sah. Kesan yang akan menyusul daripada akad tersebut ialah halalnya kehidupan suami isteri di antara mereka, maka wajib memberi mas kahwin dan nafkah sekalipun hukum akad adalah makruh pada keadaan yang kedua dan haram pada keadaan yang ketiga. Haramnya itu hanya mendapat dosa tetapi tidak membatalkan akad nikah tersebut.

No comments:

Post a Comment