Sunday, 14 August 2016

Sudut Feqah: HIKMAT POLIGAMI


HIKMAT POLIGAMI

Menurut Dr. Yusof al-Qadhawi, bahawa sesungguhnya Islam adalah kalimah Allah yang terakhir di mana dengannya merupakan penutup segala risalah nabi-nabi sebelumnya. Oleh itu syariat Islam didatangkan secara menyeluruh dan abadi untuk seluruh manusia di pelusuk dunia. Ia tidak disyariatkan hanya untuk orang yang bertamadun sahaja dengan melupakan orang-orang kampung, atau untuk negara yang beriklim sejuk dengan melupakan yang beriklim panas, atau khusus untuk satu abad tertentu dengan meninggalkan abad dan jenarasi yang lain.

Sesungguhnya syariat Islam amat bersesuaian dengan setiap individu atau kumpulan, serta mampu memenuhi kehendak dan keperluan mereka semua.

Sebahagian dari manusia mempunyai keinginan yang kuat untuk memperoleh anak tetapi dia telah dikurniakan dengan seorang isteri yang tidak mampu melahirkan, kerana sakit atau sebagainya. Jadi, apakah bukan suatu kemuliaan bagi isteri dan suatu kebaikan bagi suami seandainya dia berkahwin dengan seorang wanita lain yang mampu melahirkan dengan mengekalkan isteri pertama serta diberi jaminan terhadap hak-haknya?

Sebahagian lelaki pula mempunyai keinginan syahwat seks yang terlalu kuat, tetapi dia telah dikurniakan dengan seorang isteri yang rendah keinginannya terhadap lelaki, samada kerana sakit atau mempunyai tempoh haidh yang agak lama. Dalam masalah ini lelaki tidak dapat menahan kesabarannya terhadap wanita. Dalam keadaan begini salahkah jika dia mengahwini seorang lagi perempuan secara halal sebagai ganti dari perempuan yang disimpannya secara haram?

Begitu juga, kadangkala bilangan wanita melebihi bilangan lelaki, lebih-lebih lagi ketika berlakunya peperangan yang banyak meragut nyawa kaum lelaki. Di sinilah maslahat sosial dan maslahat wanita itu sendiri perlu di dahulukan agar mereka tidak hidup sepanjang hayat dalam keadaan membujang tersisih dari satu kehidupan berumahtangga, di mana di dalamnya terdapat ketenteraman, kasih sayang, nikmat keibuan dan memenuhi seruan naluri yang sentiasa memanggilnya.

Dalam menghadapi masalah bilangan wanita berlebihan dari lelaki, terdapat tiga jalan penyelesaiannya, iaitu:

1. Wanita-wanita tersebut menghabiskan usianya dalam kepahitan kerana tidak memenuhi kehendak nalurinya.

2. Mereka memenuhi kehendak jiwa dengan mendampingi lelaki-lelaki secara haram.

3. Membenarkan mereka mengahwini lelaki-lelaki yang telah berumahtangga yang mampu memberi nafkah dan kasih sayang.

Tidak syak lagi, bahawa jalan terakhir ini adalah cara yang halal dan adil.

Dr. Wahbah al-Zuhaili pula ketika membicarakan mengenai hikmat berpoligami telah membahagikan sebab pengharusan syariat ini kepada dua, iaitu:

1. Sebab Umum, iaitu mengatasi masalah bilangan perempuan yang melebihi bilangan lelaki. Rentetan dari masalah ini timbul pula masalah lain, iaitu perlunya penambahan rakyat sesebuah negara untuk pelbagai tugas termasuk dalam bidang peperangan, pertanian dan perindustrian.

2. Sebab khusus, iaitu yang datangnya dari pihak perempuan seperti kemandulan, sakit dan sebagainya, atau dari pihak lelaki seperti mempunyai nafsu seks yang terlalu kuat dan seumpamanya.

Syed Sabiq pula telah menyatakan tentang hikmat berpoligami dengan panjang lebar. Antara yang di perkatakan oleh beliau ialah:

1. Merupakan rahmat dari Allah Taala.

2. Memperbanyakkan rakyat agar negara menjadi kuat dengan ramainya tenaga pakar dalam pelbagai teknologi. Dengan kekuatan ini, maka risalah Islam dapat disebarkan kepada seluruh manusia.

3. Melindungi janda-janda yang kematian suami ketika mempertahankan negara.

4. Sebagai jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah kekurangan lelaki.

5. Mengatasi masalah wanita tidak dapat melakukan hubungan jenis ketika berada dalam tempoh haidh selama seminggu, tempoh melahirkan serta nifas selama 40 hari dan selepas usia putus haidh iaitu sekitar 45 atau 50 tahun. Sedangkan lelaki sentiasa dalam keadaan terbuka untuk melakukan hubungan seks sejak usia baligh sehingga mencecah usia tuanya.

6. Pengambilan syariat poligami dalam negara-negara Islam merupakan satu kebaikan yang amat besar di dalam mengekalkan bersihnya imej negara dari gejala-gejala keruntuhan nilai sosial dan hilangnya akhlak genarasi. Dapat dilihat bagaimana kesannya terhadapa masyarakat yang telah mengharamkan poligami:

i. Tersebarnya kefasikan dan kerosakan, sehingga bilangan pelacur lebih ramai dari bilangan mereka yang bersuami.

ii. Hasil dari masalah ini, ramailah lahir anak-anak haram. Di Amerika Syarikat setiap tahun seramai 100 ribu anak haram dilahirkan.

iii. Hasil dari perhubungan yang keji ini maka menularlah pelbagai penyakit fizikal dan mental.

iv. Mengalir unsur-unsur kelemahan dan ketidakupayaan di dalam jiwa.

v. Renggangnya hubungan suami isteri serta porak peranda institusi keluarga.

vi. Luput nasab yang sah, sehingga seorang suami tidak dapat memastikan dengan tepat apakah anak yang dibela itu adalah dari benihnya.
 
Buku-buku Rujukan
1-Perkahwinan dan penceraian dalam Islam oleh Haji Mohd Saleh Haji Ahmad
2-400 Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji Said Haji Ibrahim(Bekas Mufti Negeri Sabah)
3-Fiqh Sunnah Oleh Muhammad As-Sayyid Sabiq
4-Fiqah Manhaji oleh Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali As-Syarbaji.
5-Tafsir Pimpinan Ar-Rahman oleh  Syeikh ‘Abdullah Basmeih.
6-Al-Halal wal Haram fi Islam- Dr Yusof Al-Qardawi
7-Al-Feqh al-Islami Oleh Dr Wahbah al-Zuhaili
8-Bahrul Mazi(syarah bagi Sunan Al-Tirmidzi) oleh syeikh Abdul Rauf al-Marbawi
 
 
 

No comments:

Post a Comment