Saturday, 10 October 2015

Al_Quran: Al-Quran sebagai Mukjizat


Mukjizat dalam bahasa Arab ialah “melemahkan”. Ia bermaksud sesuatu yang dapat melemahkan musuh atau mengalahkan kecerdikan dan kekuatan musuh.

Al-Quran disebut sebagai mukjizat Rasulullah SAW. yang terbesar. Ini kerana:

a-Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang isinya kebenaran dan terhindar daripada kepalsuan dan keraguan.

b-Al-Quran walaupun ada yang pendek tetapi pengertian dan maksudnya sangat panjang dan mendalam.

c-Al-Quran bukan nazam, sajak, syair, gurindam dan sebagainya. Tetapi ia tetap indah dan menarik sehingga bukan sahaja orang Islam tertarik tetapi juga dikagumi oleh orang bukan Islam.

d-Ayat Al-Quran walaupun berulang kali dibaca tidak pernah membosankan kerana susunan katanya yang indah dan isi atau maksudnya yang dalam.

e- Setiap ayat Al-Quran mengandungi erti dan pelajaran yang dalam dan tinggi, yang pasti membuatkan seseorang itu akan sentiasa tertarik dan mendapat pengetahuan serta kesedaran dengan membaca Al-Quran.

f-Ayat Al-Quran mudah dihafal dan dilagukan dengan pelbagai lagu.

g-Membaca Al-Quran selain memperolehi petunjuk hidup dapat memberi kekuatan ghaib bagi pembacanya, menghindarkan diri daripada bahaya atau makhluk-makhluk halus.

Friday, 9 October 2015

Al-Quran: Kandungan Al-Quran


Al-Quran mengandungi pelbagai persoalan mengenai kehidupan manusia untuk menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat.Di antara persoalan yang terkandung dalam Al-Quran ialah:

1-Akidah: iaitu persoalan tentang kepercayaan yang wajib serta komponen mengenai rukun iman yang enam.

2-Syariah:iaitu persoalan mengenai perjalanan syariah seperti solat, puasa, zakat, haji,sedekah,jihad,sumpah,nazar,perkahwinan,muamalah dan jenayah syariah.

3-Akhlak: iaitu mengenai budi pekerti yang akan menyucikan jiwa dan dapat mewujudkan suasana harmoni sesama insan.

4-Kisah-kisah: iaitu mengenai sejarah umat terdahulu tentang kemajuan dan kemunduran, kebangkitan dan kejatuhan untuk mengambiul iktibar dalam kehidupan.

5-Janji-janji: iaitu janji tentang balasan orang yang  berbuat kebajikan, kepimpinan dunia dan balasan akhirat terhadap umat yang patuh kepada perintah atau sebagainya.

6-Hukum-hukum: iaitu ketentuan yang perlu dipatuhi untuk menjamin hubungan baik sesama manusia dan hubungan dengan Allah.

            Pada keseluruhannya , isi andungan Al-Quran mengandungi tiga kerangka utama aitu Akidah, Syariah dan Akhlak.

Al-Quran juga mengandungi sejumlah ilmu kealaman, contohnya kedoktoran, astronomi, pertanian, matematik, perbandingan dan lain-lain.

a-Ilmu kedoktoran: Ilmu yang mengajarkan cara hidup sihat. Iaitu dapat dilihat dari firman Allah,dalam surah al-Nahl ayat 69:

ثُمَّ كُلى مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ فَاسلُكى سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ فيهِ شِفاءٌ لِلنّاسِ ۗ إِنَّ فى ذٰلِكَ لَءايَةً لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ ﴿٦٩﴾

…Didalam madu terdapat ubat yang menyembuhkan manusia….

Selain menerangkan tentang pemeliharaan jasmani. Al-Quran juga menitik beratkan pemeliharaan rohani kerana kesihatan rohani mempengaruhi kesihatan jasmani.

b-Ilmu perbintangan(astronomi) pula menerangkan tentang para malaikat, langit dan bumi.

c-Ilmu tatacara berdiskusi menerangkan tentang pembuktian, pengantar pembicaraan, kesimpulan (natijah), soal jawab, bantahan dan lain-lain. Ilmu ini dapat dilihat dari kisah Nabi Ibrahim  dengan raja Namrud dan kisah Ibrahim mencari Tuhan.

d-Ilmu matematik dan perbandingan mengajar tentang hitungan tahun, dhari dan sejarah umat terdahulu.

Thursday, 8 October 2015

Al-Quran: Hikmah Al-Quran diturunkan Secara Beransur-ansur dan Nama Al-Quran


Hikmah Al-Quran diturunkan Secara Beransur-ansur

·         Lebih muda difahami

·         Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan permasalahaan pada masa itu.

·         Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh dihati.

·         Memudahkan penghafalan.

·         Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau bantahan, sesuatu pendapat atau perbuatan.

 Nama Al-Quran

 Kitab suci umat Islam ini dinamakan Al-Quran. Ia berasal dari kata dasar qara-a yang bererti membaca. Menurut Mohamad Ali dalam satu tafsirnya The Holy Quran: falsafah dan hikmah yang terkandung dalam pemberian nama itu menunjukkan bahawa kitab itu adalah untuk dibaca bersungguh-sungguh. Bukan hanya untuk dibaca sahaja, tetapi isinya merupakan ajaran yang wajib diamalkan. Oleh sebab itu Al-Quran dinamakan Kitab, ertinya yang diwajibkan(kataba) menghayati dan melaksanakan petunjuk-petunjuknya.

            Nama Al-Quran disebut sebanyak 70 kali dalam kitab suci Al-Quran.Terdapat juga nama-nama lain Al-Quran seperti:

 

·         Al-Burhan: Mengandungi alasan, hujah yang dapat difahami akal manusia.

·         Al-Nur: Memberikan cahaya yang menerangi kegelapan.

·         Al-Bayan: Memberikan keterangan akan segala masaalah manusia.

·         Al-Kitab @Kitabulullah: Kitab Allah

·         Al-Kalimah: Kalimah Allah

·         Al-Zikr: Memberi peringatan jalan yang harus ditempuh untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat.

·         Al-Furqan: Memberi garis antara hak dengan batil, adil dan zalim.

·         Al-Huda: Memberi petunjuk kearah mencapai kejayaan rohani dan jasmani.

·         Al-Roh: Menguatkan roh dan semangat untuk manusia mencapai kejayaan.

·         Al-Mutasyibah: Yang serupa atau bersesuaian antara satu bahagian dengan bahagian lainnya.

·         An-Naba’: Berita.

·         Al-Matsani: Berulang-ulang.

·         A-Quran: Bacaan.

·         Al-Haqq: Kebenaran.

·         As-Siraj: Pelita.

·         Al-Mubin: Bukti yang menerangkan.

·         Al-Bayinnah: Bukti nyata.

·         Al-Busyra: Khabar gembira.

·         Al-Mauizah: Teguran,pengajaran atau nasihat.

·         Al-Mubarak: Yang diberkati.

·         Al-Hikmah: Kebijaksanaan atau ilmu pengetahuan.

·         Ar-Rahmah: Rahmat

·         An-Ni’mah: Nikmat.

·         Asy-Syifa: Yang menyembuhkan atau ubat.

·         Al-Kalam: Firman Allah

·         Al-Qil: Yang difirmankan oleh Allah.

·         Al-Gaul: Firman Allah

·         Al-Hadith: Pernyataan,perkayaan,kalimat

·         Al-Amr: Perintah.

·         Al-Fahshi: Yang menentukan atau memisahkan antara yang haq dan bathil.

·         Al-Fadhi; Yang utama

·         Al-Mushaddiq: Yang membenarkan.

·         Ash-Shidq: Kalimat yang benar.

·         At-Tashdiq: Pembesar

·         Al-Muhaimin: Tolok ukur

·         Ash-Shirath: Jalan Hidup

·         Al-Habi: Tali Allah

·         Al-Ayat: Ayat-ayat.

·         Al-‘Aliy: Yang Tinggi

·         Al-Basyir: Khabar gembira

·         An-Nadzir: Peringatan

·         Al-Hakim: Penuh Hikmah.

·         Al-Karim: Yang sangat Mulia.

·         Al-Azhim: Yang sangat Agung.

·         Al-Majid: Yang sangat Mulia.

·         Al-Aziz: Yang sangat Mulia.

·         At-Tanzil: Yang diturunkan dari atas.

·         Ash-Shuhuf: Shuhuf

·         Al-Muthahharah: Yang disucikan.

·         At-Tadzkirah: Peringatan.

·         Al-Balagh: Penjelasan yang cukup.

Tuesday, 6 October 2015

Al-Quran: Kaedah Penurunan


Al-Quran diturunkan melalui perantaraan Jibril. Ia tidak turun sekaligus tetapi secara beransur-ansur. Kadang-kadang diturunkan hanya tiga perkataan, kadang-kadang hanya setengah ayat menurut kepentingan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah melalui pelbagai cara seperti berikut:

a-Melalui mimpi. Ia mengandungi wahyu yang jelas dan terang.

b-Malaikat Jibril memasukkan wahyu itu ke dalam hati baginda. Baginda tidak nampak apa-apa pun. Baginda merasa wahyu itu sudah berada di dalam hatinya.

c-Malaikat Jibril merupakan dirinya seperti seorang lelaki dan bercakap dengan Rasulullah sehingga baginda memahami segala apa yang disampaikannya. Pada waktu ini para sahabat juga boleh melihat Malaikat Jibril.

d-Nabi mendengar suara seperti loceng yang berbunyi dengan kerasnya. Menurut baginda, kedatangan wahyu seperti ini amat payah dan berat dirasakannya. Pada ketika ini Malaikat Jibril berasatu dengan eratnya atau peribadi baginda. Peluh terpancar pada dahinya walaupun pada hari ini amat dingin. Sekiranya baginda ketika itu berada diatas kenderaan, rebahlah kenderaan itu kerana beratnya.
e-Rasulullah SAW. melihat Malaikat Jibril dengan rupa yang sebenarnya.

Wahyu yang diturunkan kepada baginda adalah secara beransur-ansur selama 22 tahun,  2 bulan dan 22 hari atau 23 tahun.

            Penurunan Al-Quran, adalah melalui dua peringkat:
Pertama, di Makkah yang dinamakan ayat Makkiyah yang diturunkan selama 12 tahun, 5 bulan dan 13 hari. Ayat Makkiyah ini meliputi 19/30 daripada isi Al-Quran yang terdiri dari 86 surah.

Kedua, yang diturunkan di Madinah selama 9 tahun,9 bulan dan 9 hari dan dinamakan sebagai Ayat Madaniyah. Ayat Madaniyah meliputi 11/30 daripada isi kandungan Al-Quran terdiri daripada 28 surah yang ada pada Al-Quran adalah 114 surah.

Antara perbezaan di antara ayat Makiyyah dan ayat Madaniyah ialah:
a-Ayat-ayat yang diturunkan di Makkah biasanya pendek. Pada umumnya ia mengandungi hal-hal yang berhubung dengan keimanan, memberi ancaman atau keterangan mengenai syurga atau neraka, kisah umat terdahulu seperti kebanyakkan surah dalam juz Amma kerana keadaan dakwah ketika itu memerlukan demikian. Ia dimulai kalimah Ya Ayyuhannas(wahai sekelian manusia)

b-Ayat Madaniyah pula kebanyakkan panjang, mengandungi cerita, hukum syariat, sistem pemerintahan dan seruan supaya berbelas kasihan dan bekerjasama. Ia dimulai dengan kalimah Ya Ayyuhal Lazi Naamanu(wahai orang-orang yang beriman)

 

Monday, 5 October 2015

Al-Quran: Pengertian Al-Quran dan Sejarah penurunannya


Al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Jibril as. diutus dalam mushaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadah dengan membacanya.
            Susunan Al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan Al-Quran mengandungi 123671 huruf, 77,437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah, 30 juzu’, 60 hizib dan 240 maqra’.
Berdasarkan sejarah, wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW. di Gua Hira ialah pada 17 Ramadhan bersamaan 610 Masihi. (Isnin 6 ogos),. Pada waktu itu baginda berusia 40 tahun. Ayat yang pertama yang diturunkan ialah Surah Al-Alaq ayat 1-5:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ{1} خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ{2} اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ{3} الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ{4} عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ{5}
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Setelah tiga tahun wahyu pertama diturunkan, maka turun ayat kedua dari surah Al-Mudasir ayat 1-7
يا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنذِرْ (2) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (3) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (4) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (5) وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ (6) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ
Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
Manakala wahyu terakhir yang diterima oleh Rasulullah SAW. ( ulama berselisih pendapat dalam perkara ini). Satu pendapat daripadanya ialah berlaku pada tahun ke 10 hijrah ketika baginda mengerjakan Hajjatul wada’ iaitu tiga bulan sebelum baginda wafat. Ayat terakhir tersebut adalah dari surah Al-Maidah ayat 3:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam agamaKu

Thursday, 1 October 2015

Berhutang Untuk Berhaji: Sudut Feqah


Sumber Rujukan: Fiqh Sunnah oleh Muhammad As-Sayyid Sabiq

Dari Abdullah bin Aufa, Katanya yang bermaksud:

Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum seseorang yang belum berhaji. Bolehkah dia berhutang untuk menunaikan ibadah Haji? Beliau menjawab: ‘Tidak(boleh). HR Baihaqi

Diriwayatkan dalam sunan al-Baihaqi: (3331) dari as-Sufyan dari al-Thariq, katanya: “Saya pernah mendengar Ibnu Abu Awfa bertanya mengenai seseorang yang berhutang untuk menunaikan ibadah haji. Dia menjawab: ‘Hendaklah orang itu memohon rezeki kepada Allah dan tidak perlu berhutang.” Lanjutnya lagi: ‘Pada kami, seseorang tidak dibenarkan berhutang melainkan ada persediaan untuk membayarnya”.

 

            Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut pendapat yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran. menunaikan ibadah haji itu adalah fardhu ain bagi setiap muslimin dam muslimat yang mampu (مَنِ اسْتَطَاعَ ) untuk pergi mengunjunginya. Mampu dari segi harta benda, kesihatan, ada kenderaan dan terakhir sekali mampu dari segi mental dan ilmu pengetahuan mengenai manasik-manasik haji tersebut.




فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (97)
" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk

Sunday, 27 September 2015

Kaum Perempuan Dibolehkan Mengerjakan Solat Jenazah: Sudut Feqah


Sumber Rujukan: Fiqh Sunnah oleh Muhammad As-Sayyid Sabiq
Kaum perempuan dibolehkan solat jenazah sepertimana halnya kaum lelaki, samaada bersendirian mahupun berjama’ah.

Umar pernah menunggu Ummu Abdullah supaya sempat turut menyembahyangkan jenazah ‘Utbah. Begitu juga Aisyah pernah menyuruh agar jenazah Sa’ad bin Abu Waqqash dibawa kepadanya agar dapat menyembahyangkannya.Maksud hadis:

Dari Abu Salamah bin ‘Abdurrahman ra. , katanya:” Ketika Saad bin Abu Waqash wafat, ‘Aisyah berkata: Bawakan jenazah itu ke dalam Masjid, supaya aku dapat mensolatkannya. Permintaan  “Aisyah itu diingkari oleh ramai orang. Lalu kata ‘Aisyah “Demi Allah, Rasulullah SAW. pernah solat jenazah dalam masjid, untuk dua orang putera Baidha’. Yaitu Suhail dan saudaranya”. HR Muslim 921

Al-Nawawi berkata: “Disunatkan mereka supaya berjemaah ketika mengerjakan solat jenazah sebagaimana ketika hendak mengerjakan solat-solat yang lain.” Demikian pula pendapat al-Hasan bin Salih, sufyan al-Thauri, Ahmad dan mazhab Hanafi. Namun Malik berpendapat , hendaklah kaum perempuan mengerjakannya bersendirian.

Saturday, 26 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Berziarah Ke Makam Rasulullah SAW


Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Tawaf Wada’ adalah pekerjaan terakhir anda sebelum anda pergi meninggalkan Makkah pulang kenegara anda atau ke Madinah al-Munawwarah.Tawaf tidak gugur  kecuali dalam keadaan darurat. Tawaf digalakkan sekali untuk dilakukan oleh semua pihak, kecuali wanita yang sedang dalam keadaan haid,kita tidak boleh mengatakan, tunggulah seminggu lagi sampai anda boleh tawaf wida’. Akan tetap dalam tawaf  ifadah dia tidak boleh menanggungnya, kerana ia merupakan salah satu rukun haji.

Mengenai tawaf wada’, para ulama juga berselisih pendapat. Apakah tawa’ wada’ merupakan satu sunnah?

            Golongan dari mazhab Maliki dan Hanafi berpendapat, tawaf wada’ adalah sunnah. Sementara ImamAhmad dan Iman Syafie mengatakan wajib. Kalau begitu, apa perbezaan antara fardhu dan wajib? Fardhu adalah suatu hukum yang dalilnya cukup jelas dan tidak meragukan. Sedangkan wajib hukumnya, cukup dengan dalil zhonni saja.Hanya golongan mazhab Hanafi yang membezakan antara hukum fardhu dan wajib. Sedangkan dalam pendapat lain, hukum fardhu dan wajib tidak ada bezanya, iaitu sama.

Lalu, kenapa kita tidak menunaikannya dengan lebih cermat? Kenapa kita tidak menunaikan manasik haji dengan lebih baik dan sempurna supaya tidak menimbulkan hal-hal meragukan?

Bagi orang yang tidak melakukan tawaf  wada’ hendaklah menyembelih korban. Dia harus membayar fidyah sekiranya tidak menunaikan tawaf wida’.

Agar tawaf wada’ berkenaan diterima oleh Allah Ta’ala maka jadikanlah tawaf sebaik pekerjaan terakhir sebelum meninggalkan kota Mekah. Setelah melakukan tawaf wada’.janganlah anda masih tinggal di Kota Makah untuk membeli barang-barang di Pasar, atau masih tinggal di hotel, atau masih menguruskan sesuatu yang belum beres untuk teman-teman atau keluarga anda.. Akan tetapi, apabila selesai tawaf wada’ teruslah anda keluar dari Mekah. Di dunia ini tidak ada sesuatu yang lebih besar selain  Baitullah. 

            Secara moral perjalanan ibadah haji tidak sempurna jika belum berziarah ke makam Rasulullah SAW di Madinah al-Munawwarah. Para Jemaah rombongan terdahulu  pada umumnya pergi ke Madinah lebih dahulu, setelah itu baru dari sana mereka mengenakan pakaian ihram untuk menunaikan manasik haji. Para Jemaah rombongan kemudian biasanya menunaikan manasik haji terlebih dahulu, baru pergi berziarah ke makam Rasulullah SAW. di Madinah selepas itu,

Segelintir orang berkata, “Sesungguhnya orang yang berhaji tapi tidak berziarah kemakam Rasulullah SAW. seperti orang yang belum berhaji saja.” Sebenarnya ini secara moral dan rohani sahaja, bukan menurut hukum syar’i. Jiwa kaum muslimin yang begitu besar cintanya kepada Rasulullah SAW. rasanya tidak rela dan tidak puas jika pergi haji tanpa berziarah ke makam Rasulullah SAW. di Madinah. Ini masaalah logik. Semua kaum mukminin mencintai Rasulullah SAW. Bahkan bukti kecintaan kita kepada Allah SWT. harus mampu diperagakan dengan mengikuti dan mematuhi apa-apa yang diajarkan oleh Rasulullah Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali –Imran 31,

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Iman seorang muslim belum boleh dipercayai sebelum dia membuktikan bahawa Rasulullah SAW. lebih di cintai daripada dirinya sendiri. Meskipun ziarah bukan termasuk rukun haji tapi merupakan masaalah moral dan kejiwaan. Allah Ta’ala sudah mentakdirkan Rasul-Nya tinggal di Madinah. Beliau selalu mengatakan kepada penduduk madianah, yang bermaksud:

“Kehidupan adalah kehidupan kalian, dan kematian adalah kematian kalian”

Ertinya , Rasulullah SAW. akan hidup di sini dan akan mati di sini juga. Allah telah memberitahukan hal itu kepadanya sehingga tidak berlawanan dengan firman-Nya dalam surah Luqman 34 yang bermaksud:

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.    

 Selesai perang Hunaian, Rasulullah SAW. membahagikan rampasan perang. Beliau memberikan kepada orang-orang Quraisy dan penduduk luar kota Madinah bahagian yang lebih besar daripada yang diberikan kepada kaum Ansar. Sudah tentu sikap Rasulullah SAW. itu menimbulkan rasa sedih dan pedih dikalangan mereka. Sehingga salah seorang anak muda di antara mereka berkata, “Semoga Allah mengampuni Rasulullah SAW.  Dia memberikan sebahagian besar harta kepada orang -orang Quraisy, sedangkan kita tidak, padahal pedang-pedang kita masih menitis darah.”  

Setelah Rasulullah mendengar keluhan dan protes kaum Ansar, beliau mengumpulkan mereka semua di dalam khemahnya, sambil bersabda menjelaskan, “Wahai kaum Ansar, apakah kalian tidak reda melihat orang-orang itu pergi membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kalian pulang membawa Rasulullah?”  

Kaum Ansar serentak menjawab, “Kami reda, ya Rasulullah!”

            Rasulullah kemudian melanjutkan sabdanya, “Kalau orang-orang itu melintasi suatu wadi,, sedangkan yang lainnya melintasi jalan lain, tentu aku akan melintasi jalan yang dilalui kaum Anshar.” Demikain Rasulullah SAW. memberitahu kaum Ansar bahawa beliau akan sehidup semati dengan mereka di Madinah al-Munawwarah.  

Memang tidak ada orang yang mengetahui ilmu ghaib, namun Allah mungkin sahaja memberitahukan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, apalagi kepada rasul-Nya meskipun secara umum. Dia memerintahkan kapada rasul-Nya supaya mengatakan kepada kaumnya, firman Allah SWT dalam surah al-An-am 50 yang bermaksud:

قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Katakanlah: "Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang gaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahwa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?" Maka apakah kamu tidak memikirkannya

Soal ziarah ke makam Rasulullah SAW. bukan satu manasik haji tetapi merupakan salah satu sopan santun Islam.

Allah Ta’ala menentukan rasul-Nya SAW. meninggal di Madinah. Ini sebagai penghargaan atas kedudukan dan keluhurannya sehingga pergi berziarah kepadanya bukan sebagai pekerjaan sambilan kerana kebetulan sedangkan berziarah kepadanya sebagai suatu yang diniatkan, terdorong oleh rasa cinta kepadanya. Ada para haji yang pergi berziarah sebelum menunaikan manasik hajinya, dan ramai juga yang pergi sesudah menunaikan Ibadah haji. Pergi berziarah kepada nya adalah bersifat khusus kerana dorongan rasa cinta dan rindu kepadanya kerana beliaulah yang membawa penyuluh dan rahnmat untuk kesejahteraan umat manusia di dunia dan di akhirat,

                                             

 

Sunday, 20 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Bagaimana Pahala Solat Di Luar Masjidil Haram


Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Kita harus menyedari beberapa masalah yang berkaitan dengan Masjidil Haram dalam musim haji. Masjid penuh sesak dengan para Jemaah haji. Ramai orang yang ingin memasuki masjid, sementara dari arah lain ramai juga yang mahu meninggalkanya. Maka terjadilah tolak-menolak dan perlanggaran antara yang mahu masuk dan yang mahu keluar. Sebahagian daripada mereka tidak mahu meninggalkan tempat untuk menunaikan solat di dalam masjid. Mereka beranggapan, solat di dalam masjid mendapat pahala berlipat ganda, sedang di luar tidak demikian.

            Sebenarnya dalam keadaan masjid yang safnya bersambung dengan yang solat di luar masjid dari yang dalam, mulai dari pintu masjid dari tangga hingga ke jalanraya dan kelapangan yang bersebelahan dengan itu(sehingga tidak ada lagi yang boleh digunakan untuk lalu lalang), maka solatnya sama saja dengan solat di dalam masjid meskipun saf orang yang solat sampai ke Sha’na(Yaman) dengan  syarat saf tersebut tidak terputus. Perlu disedarai oleh semua Jemaah, dalam keadaan majid sudah tidak dapat menampung orang-orang yang solat didalamnya, maka solat diluar pahalanya sama dengan pahala solat di dalam asalkan saf anda dengan saf mereka bersambung. Kalau terputus, maka terputus pulalah pahala masjid itu kerana direbut jalan raya.

Perlu diperhatikan bersama adanya gejala “pesan tempat” atau “monopoli tempat” di Masjidil Haram oleh segelintir penduduk Makkah atau lainnya di saf-saf pertama. Ini tidak dibenarkan! Mereka tidak mempunyai hak berbuat demikian di Baitullah kerana saf pertama diperuntukkan bagi orang yang masuk terdahulu, atau berada di belakangnya. Kalau saf pertama penuh, maka saf kedua segera diisi, demikian seterusnya sehingga setiap orang yang datang terlebih dahulu mendapat tempat pada saf paling depan.

Rasulullah SAW melarang orang menyita tempat-tempat tertentu dalam masjid kerana hal iu merupakan suatu usaha hendak menggalakkan perbezaan di tempat suci yang berketuhanan, dimana semua orang sama di hadapan-Nya. Tidak ada tempat yang boleh disita di masjid, melainkan tempat imam. Bahkan jalan kesana pun harus disediakan sehingga ketika dia hendak mengimamkan para Jemaah, dia tidak melangkah bahu Jemaah atau mengganggu para Jemaah yang lain.

            Suatu hal yang perlu diperhatikan pula ialah meluruskan saf di Kaabah. Barisan pertama yang paling dekat dengan Kaabah harus merapatkan dan meluruskan safnya. Kalau semua pihak bertimbang rasa terhadap sesama saudaranya, maka solat itu akan berjalan rapi dan tertib, baik yang dibawah mahupun yang diatas, yang di dalam mahupun yang diluar. Kita juga harus mengatur sejadah agar membatasi jumlah orang yang solat juga. Sejadah dibentang di sekitar Kaabah, melainkan di beberapa ruang dan jalan-jalan yang tidak ada sejadahnya.

Ada sesuatu yang namanya lazim tapi tidak dilazimkan dalam haji.Apa itu? Perhatikan firman Allah Ta’ala, seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah 125:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْناً وَاتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud".

Kalau kita mengamati firman-Nya di atas, pada lahirnya seolah-olah merupakan suatu perintah, padahal faktanya tidak sedemikian, maksudnya hanya keizinan sahaja.  Ayat itu tidak bererrti hanya Maqam Ibrahim saja menjadi tempat solat di Kaabah.Pada mulanya Makam Ibrahim terletak diantara Kaabah dan di antara orang-orang yang sedang solat.Mereka merasa keberatan solat dibelakang makam Ibrahim kerana mengelilingi mereka dari Kaabah. Lalu mereka tidak mahu solat dibelakangnya kerana terhalang oleh Makam Ibrahim dari Kaabah.

Allah Ta’ala menghilangkan keberatan mereka dengan firman-Nya:

وَاتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

…. dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang.

Ertinya, anda tidak perlu keberatan solat di tempat itu, meskipun makam itu melindungi anda daripada Kaabah.

            Pada akhir tawaf, jemaah akan melakukan solat dua akaat. Kerana orang yang bertawaf di situ banyak sekali, sudah tentu tempat itu penuh sesak terutama pada musim haji. Untuk mengurangkan kepadatan yang luar biasa itu, pada tahun 50an pengurus Masjidil Haram berusaha hendak memindahkan makam Ibrahim ke tempat yang lain, yang jauh dari sana. Pada waktu itu Makam Ibrahim terletak di tengah-tengah sebuah bangunan yang bertiang dan beratap yang banyak memakan tempat dan menganggu orang yang bertawaf pada saat-saat kesibukan.Bangunan yang baru sudah di persiapkan. Perasmian pemindahan batu itu ketempatnya yang baru akan dilakukan oleh Raja su-ud. Namun dua hari sebelum pemindahan dilakukan, keputusan dari yang berhak tidak mengesahkan pemindahan Makam tersebut.dari tempatnya.Para Ulama tidak membenarkan pemindahan makam Ibrahim tersebut.Perintah pemindahan di lucutkan dan tempat yang disiapkan untuk pemindahan Makam itu dihancurkan. Lalu bangunan lama digantikan dengan bangunan baru yang seukuran Makam dan bercermin, yang tidak memakan banyak tempat dan keihatan dari luar, seperti yang ada sekarang. Makam Ibrahim merupakan salah satu dari ayat Allah yang harus sentiasa dilihat dan dikenang oleh para Jemaah yang berhaji dan berumrah ke Baitullah al-Haram.

            Sekali lagi perlu ketahui, tidak ada perbezaan pahala orang yang tawaf di sekitar Kaabah atau yang Sa’i antara safa dan Marwah, baik ditingkat pertama, kedua mahupun ketiga kerana udara di Masjidil Haram hingga ke langit ketujuh, ke Baitul Ma’mur adalah masjid juga.

Kiranya, penting juga kita ketahui tentang zam-zam. Zam-zam merupakan hal yang penting dalam akidah dengan mengambil kira pendapat yang mengatakan bahawa ia mempunyai khasiat penyembuhan penyakit dan minuman yang sihat bagi tubuh. Yang jelas zam-zam merupakan lambang kemutlakan kekuasaan Allah yang tidak sepenuhnya bergantung pada sebab-musabab. Pada waktu jamaah meminumnya mereka teringat akan rahmat Allah Ta’ala yang telah bermurah hati, membukan pintu yang terrtutup rapat ketika ikhtiar manusia sudah menemui jalan buntu.

 

 

 

Thursday, 17 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Tahallul


Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Kita harus mengetahui bahawa ada dua jenis Tahallul. Ada Tahallul besar dan ada pula tahallul kecil. Dalam tahallul kecil anda halal melakukan apa jua yang asalnya diharamkan, kecuali bergaul dengan wanita sebelum anda menyelesaikan tawaf ifadhah. Tawaf Ifadhah merupakan salah satu rukun haji yang wajib dilakukan dengan baik dan sempurna. Iaitu tujuh kali putaran. Jangan dilebihkan, kerana ini merupakan salah satu rukun haji.

Dalam tawaf  ifadhah terdapat beberapa perselisihan. Ada sebahagian yang melepaskan kain ihramnya sesudah melempar Jumrah ‘Aqabah, lalu mereka memakai pakaian biasa. Sebahagian lagi tidak mahu bertahallul dan menanggalkan ihramnya, dan ada pula Jamaah yang menutupi bahu yang sebelah dan membuka bahu sebelah  yang lain pula.

Pada mulanya kita melakukan tiga putaran pertama seperti berlari-lari anak dalam mengerjakan tiga tahap sa’i yang pertama. Pada tahap-tahap itu kelajuan jalannya dipercepatkan. Ini dinamakan istishhaban. Ertinya, mengikut jejak yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. serta para sahabatnya.

            Asal usul berlari-lari anak pada ketiga tahap pertama kononnya diriwayatkan kerana ramai di antara sahabat Rasulullah SAW. yang kurang sihat kerana perubahan cuaca. Lalu kaum kafir Quraisy mengejek mereka. Kata mereka, “Penyakit Yatsrib(Madinah) telah membuat kaum muslimin sakit dan kurang sihat. “setelah Rasulullah mendengar cemuhan itu, beliau ingin membuktikan kebohongan orang kafir Quraisy. Maka beliau memerintahkan para sahabatnya supaya membuka penutup bahunya sebelah dan mempercepatkan langkah dalam sa’i serta tawaf ifadhah pada tiga tahap pertama. Beliau bersabda kepada para sahabat yang bermaksud:

“Allah akan merahmati orang yang memperlihatkan dirinya dalam keadaan kuat terhadap musuh-musuhnya”.

Berlari-lari anak adalam tawaf qudum(datang) atau tawaf wada’(selamat tinggal) tidak digalakkan.

            Pada zaman dahulu ditempat mas’a(Sa’i) terdapat tempat sebuah pasar ramai orang yang  duduk-duduk disana melihat orang yang sedang melakukan sa’i. Anda di minta belari-lari anak kalau tempat di hadapan anda tidak padat. Namun kalau keadaannya padat, janganlah bertolak-tolakan dengan sesama muslimin yang sedang melakukan sa’i di sana. Berlari-lari anak biasanya dilakukan sekiranya keadaan mengizinkan di Mas’a.

Bertolak-tolakan antara sesama muslimin yang sedang menunaikan ibadah, apalagi kalau sampai menimbulkan ganguan pada mereka, tidak dibenarkan! Anda dituntut untuk tidak menimbulkan gangguan terhadap sesama saudara seIslam dan seiman.

            Sebenarnya hal-hal yang menimbulkan kesusahan, dan keletihan para jamaah haji dalam menunaikan ibadah haji adalah kerana sikap mereka sendiri. Ada segolongan Jamaah yang ingin menunaikan tawaf dari daerah yang sempit yang dekat dengan Kaabah. Mereka tidak mahu bertawaf didaerah yang kosong yang agak jauh dari Kaabah. Pada hal kalau setiap haji bertawaf dan bersa’i dengan baik, tertib dan sopan, tidak saling dahulu-mendahului atau tidak saling bertolakan, tentu semua akan berjalan dengan tenang, lancar dan tidak meletihkan.