Monday 31 August 2015

Sudut Feqah: Sunat dan Adab-adab Ibadat Udhiyah(Qurban)

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)

2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

Pertama: Apabila masuk 10 Zulhijjah dan dia berazam melakukan ibadah qurban, dia disunatkan untuk tidak menghilangkan bulu atau memotong kukunya. Oleh itu, dia hendaklah menjaga kedua-duanya dengan baik. Imam Muslim (1977) meriwayatkan daripada Nabi SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin melakukan ibadat qurban, maka hendaklah dia menyimpan bulu dan kukunya”.
Kedua: Disunatkan kepada orang yang berqurban menyembelih binatang qurbannya sendiri. Sekiranya dia tidak boleh melakukannya kerana uzur atau lain-lain, maka dia hendaklah hadir bersama menyaksikan penyembelihan yang dilakukan. Al-Hakim(4/222) meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa  Rasulullah SAW. bersabda kepada Fatimah yang bermaksud:

“Bangunlah kepada qurbanmu dan saksilah ia kerana sesungguhnya (dengan tertitisnya) titisan darah yang pertama maka akan diampunkan dosamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah, ini adalah untuk kita Ahlil Bait sahaja atau untuk kita dan orang-orang Islam seluruhnya? Rasulullha menjawab: Bahkan untuk kita dan untuk orang-orang Islam seluruhnya”.
Ketiga: Sunat bagi hakim(pemerintah) orang-orang Islam atau pemimpin mereka untuk berqurban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam.Sesungguhnya diriwayatkan daripada Muslim(1967) yang bermaksud:

“Rasulullah SAW. telah korbankan seekor kibasy.Dan baginda mengucapkan semasa sembelih: Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan  umat Muhammad. Baginda menyembelih di tempat solat, di mana orang ramai berkumpul untuk solat. Dan Baginda menyembelih binatang tersebut dengan tangan Baginda sendiri.
Al-Bukhari meriwayatkan didalam sahihnya(5232) daripada Ibnu Umar ra. katanya yang bemaksud:

“Rasuluillah  SAW. menyembelih(binatang qurbannya) di tempat didirikan solat”.

Sudut Feqah: Apa Yang Dibuat Dengan Udhiyah(Qurban) Selepas Disembelih

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

            Sekiranya korban itu wajib: sama ada dengan nazar atau ditentukan sebagaimana yang telah dijelaskan, maka tidak harus bagi orang yang melakukan qurban dan mereka yang di bawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya  salah seorang daripada mereka memakan sedikit daripadanya, maka hendaklah diganti dengan daging yang lain  atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan)
            Sekiranya qurban itu sunat, harus baginya makan mengikut kadar yang dikehendaki dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripadanya.Yang paling adhal ialah makan sedikt untuk keberkatan dan bakinya disedekahkan.Harus baginya  makan satu pertiga, dan satu pertiga disedekahkan kepada fakir dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-sahabat dan jiran-jiran sekalipun mereka adalah orang kaya.
            Walaubagaimanapun, apa yang diberikan kepada  orang kaya adalah hadiah untuk dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya.Dan apa yang diberikan kepada orang fakir adalah untuk dimiliki. Oleh itu dia bebas, sama ada hendak memakannya atau menjualkannya. Dalilnya firman Allah SWT. dalam surah Al-Haj 36:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Perkataan unta (الْبُدْنَ) yang terdapat di dalam al-Quran iaitu binatang unta yang disembelih oleh orang yang berihram haji untuk dihadiahkan kepada fakir miskin. Dan diqiaskan binatang-binatang qurban yang lain dengannya.

            Bagi orang yang berqurban, dia boleh sedekahkan kulit binatang qurbannya atau dimanafaatkan untuk dirinya.Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada penyembelih binatang qurban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut  boleh menyebabkan kekurangan pada binatang qurban dan merosakkan ibadah qurbannya. Al-Baihaqi (9/294) meriwayatkan daripada Nabi SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menjual kulit binatang qurbannya maka tidak ada qurban baginya”.

 

 

Sunday 30 August 2015

Sudut Feqah: Waktu Qurban (Udhiyah)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
            Waktunya bermula selepas terbit matahari hari raya haji sekadar sempat di tunaikan dua rakaat solat dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat hari raya. Disebut dalam hadis riwayat al-Bukhari (5225) dan Muslim (1961) yang bermaksud:

“Perkata pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami bersolat. Kemudian kami pulang dan menyembelih qurban. Oleh itu sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melakukan sunnah kami.Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah qurban sedikitpun”.
Makna perkataan: ‘Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu’ ialah sebelum masuk  waktu solat hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar sempat didirikan sembahyang.

Ibnu Hibban (1008) meriwayatkan daripada Jabir bin Mut’im ra. katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:

“Setiap hari Tasyriq adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih)”

Sudut Feqah: Binatang yang Disyariatkan Untuk Udhiyah (Qurban)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)

2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

            Tidak sah qurban kecuali dengan unta atau lembu atau kambing.Ini berdasarkan firman Allah ta’ala dalam surah al-Haj 34:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.

            Perkataan binatang ternak (الْأَنْعَامِ ) sebagaimana dalam ayat di atas bermaksud tidak terkeluar daripada tiga jenis binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing.
Juga berdasarkan bahawa tidak dinaqalkan/diriwayatkan daripada Nabi SAW. dan para sahabat bahawa mereka berqurban dengan binatang lain.
Yang paling afdhal ialah unta,kemudian lembu, kemudian kambing.
Harus qurban dengan satu bahagian daripada tujuh bahagian unta dan lembu (seekor unta atau lembu boleh dibahagi kepada tujuh bahagian). Diriwayatkan daripada Muslim(1318), daripada Jubir ra. katanya yanng bermaksud,
“Kami melakukan qurban bersama Rasulullah SAW. Pada tahun Hudaibiyah dengan dibahagikan seekor unta kepada tujuh bahagian dan seekor lembu juga dibahagikan kepada tujuh bahagian”.
Kalimah unta disini adalah termasuk unta jantan dan betina.
Syarat-syarat Binatang Qurban
1-Umur: Syarat unta mestilah umurnya sudah memasuki tahun keenam dan syarat bagi lembu dan kambing (al-Maiz) mestilah umurnya sudah memasuki tahun ketiga.
            Manakala syarat bagi kambing biri-biri (al-Dho’nu), mestilah umur sudah masuk tahun kedua atau gigi hadapannya telah gugur(kerana bersalin) walaupun belum sampai satu tahun. Ini berdasarkan hadis riwayat Ahmad(2/245) daripada Abu Hurairah ra. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik binatanng qurban ialah kambing biri-biri yang berusia dua tahun”
2-selamat (tidak cacat).Ketiga-tiga jenis binatang ternakan di atas mestilah tidak mempunyai kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Oleh itu kambing yang telah tiada otaknya disebabkan terlalu kurus, adalah tidak memadai untuk diqurbankan. Begitu juga binatang yang nyata tempangnya atau yang buta sebelah mata atau sakit atau yang terpotong sebahagian telingannya. Semua keadaan tersebut tidak memadai dan tidak sah untuk dibuat qurban.
Al-Tirmizi(497) dan Abu daud(2800) meriwayatkan daripada al-Barra’ bin Azib daripada Rasulullah SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Empat perkara yang menyebabkan binatang qurban tidak memadai(tidak sah) untuk diqurbankan. Yang jelas matanya buta sebelah, yang jelas sakitnya, yang jelas tempangnya dan yang telalu kurus hingga tidak berotak.”
           Keaiban yang disebutkan diatas diqiaskan kepada semua jenis keaiban yang seumpamanya yang boleh menyebabkannya kurus dan kurang daging.

 

Sudut Feqah: Udhiyah(Qurban)

Sumber Rujukan:
 
1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

Pengertian
            Korban ialah binatang yang disembelih yang terdiri daripada unta,lembu atau kambing untuk mendekatkan diri kepada Allah pada hari raya.
Dalil Disyariatkan
Dalil disyariatkannya ialah firman Allah SWT. dalam surah al-Kauthar 2

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Al_Bukhari(5245) dan Muslim(1966) meriwayatkan dengan maksudnya:
Nabi SAW. telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut Nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.
Hikmat Disyariatkan

            Seharusnya diketahui bahawa korban merupakan satu ibadah kepada Allah Ta’ala, dan hikmah serta faedah bagi sesuatu ibadah(selain dari hikmahnya untuk menyatakan pengabdian diri dan tunduk kepada Allah), merupakan satu perkara yang pasti ada pada setiap ibadat-ibadat yang disyariatkan.
Diantara hikmat yang paling unggul dan jelas yang berkait dengan ibadat Qurban ialah menghidupkan erti pengorbanan yang besar yang telah dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim as. ketika Allah mengujinya dengan perintah supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah menebusnya dengan suatau penyembelihan yang agung iaitu seekor kibasy yang diturunkan oleh Allah dan memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelihnya sebagai tebusan kepada anaknya). Semuanya berlaku setelah nabi Ibrahim dan anaknya Ismail as. berusaha melaksanakan perintah Allah dengan keimanan yang benar dan yakin.

            Selain daripada hikmat tersebut, ibadat korban juga mengandungi pengertian pertolongan kepada orang-orang fakir dan orang yang memerlukan pertolongan.Serta menambah rasa gembira kepada mereka. ahli keluarga dan tanggungan pada hari raya.Dengan itu, akan lahirlah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dalam masyarakat Islam dan dapat menanam semangat hidup  bermasyarakat dan rasa kasih sayang ke dalam hati mereka.
Hukum Korban

            Hukumnya: Sunat Muakkad dan boleh menjadi wajib dengan dua sebab:
1-Apabila seseorang mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk qurban, seperti dia menyatakan: “Ini korbanku” atau “Aku akan qurbankan kambing ini”, ketika itu qurban menjadi wajib keatasnya.
2-Apabila dia mewajibkan keatas dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan qurban. Seperti dia berkayta: “Wajib ke atasku qurban kerana Allah”, Ketika itu, qurban menjadi wajib ke atasnya sebagaimana jika dia mewajibkan mana-mana ibadat lain keatas dirinya kerana perbuatan tersebut merupakan nazar yang wajib ditunaikan.

Siapakah yang dituntut supaya berkorban
            Sesungguhnya qurban disunatkan kepada sesiapa yang memenuhi syarat-syarat berikut:
1-Islam: Oleh itu ia tidak ditujukan kepada bukan Islam
2-Baligh dan beraqal: Oleh itu orang yang belum baligh dan tidak beraqal, gugur taklif tersebut daripadanya.
3-Berkemampuan: Dengan memiliki harta yang lebih untuk qurban iaitu melebihi daripada nafkah untuk dirinya dan mereka yang dibawah tanggungannya sama ada makanan, pakaian dan tempat tinggal, pada hari raya dan hari-hari Tasyrik

Saturday 29 August 2015

Rahsia Haji Mabrur: Kurnian Allah Melimpah Ruah Di Arafah

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

Di padang Arafah Kurniaan Allah Ta’ala nampak begitu melimpah ruah kepada para jamaah haji.Kurniaan keampunaan di daerah ini tidak terhingga besar dan banyaknya. Mengapa?  
Hendaklah kita fahami, apabila Allah Ta’ala menampakkan kurniaan keampunan-Nya di  luar daerah Haram, maka kurniaan itu ada sebab-musababnya.Di Arafah anda telah mengikat ikhtiar secara ketat dan keras sehingga anda tidak lagi memiliki ikhtiar pada waktu dan tempat itu. Semua orang yang berada di Arafah pada hari itu telah mengikat dirinya kepada kehendak Allah Ta’ala pada temapt dan waktu yang telah ditetapkan.Mereka tidak boleh meninggalkan daerah itu sebelum matahari terbenam. Semua wajib wuquf di Arafah pada waktu dan tempat yang sama.

            Allah Ta’ala ingin menarik perhatian kita bahawa setiap kali ikatan-Nya semakin besar dan keras maka pahala yang diberikan-Nya kepada yang mematuhi-Nya akan lebih besar dan luas pula.Sebagaimana telah kita ketahui, semua ibadah hanya diikat oleh waktunya kecuali wuquf di Arafah yang diikat oleh waktu dan tempat.
Allah Ta’ala telah membimbing para jamaah haji, bagaimana mereka seharusnya menunaikan haji dengan sebaik-baiknya dan agar diredai,Firman-Nya dalam surah al-Baqarah 197

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, Maka tidak boleh rafats, berbuat Fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku, hai orang-orang yang berakal. Al-Baqarah:197
            Allah Ta’ala telah menetapkan waktu dibolehkan menunaikan ibadah haji.Anda tidak boleh memilih waktu sendiri untuk menunaikannya.Allah juga telah menetapkan tempatnya, iaitu harus dilakukan di Makkah, Arafah dan Mina. Kalau anda mahu berhaji tapi tidak mahu pergi ke Makkah,Arafah dan Mina,maka haji anda tidak sah. Begitu juga waktunya.Anda tidak boleh menentukannya sendiri.
Allah Ta’ala ingin melatih diri anda dengan berbagai tarifat yang mengikat supaya anda bersedia menerima limpahan kurnia-Nya pada hari yang mulia ini.Allah memberikan kepada anda kurniaan maghfirah dan reda yang melimpah ruah sehingga konondikatakan dalam dalam sebuah riwayat bahawa syaitan tidak pernah merasa gusar di manapun dan pada waktu apa pun lebih gusar daripada semasa melihat Jemaah haji di Arafah. Mengapa?

            Kebahagian utama syaitan adalah kalau mereka melihat manusia bermaksiat kepada Allah. Iblis telah menderhakai Robbnya kerana melanggar perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah 34

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Juga surah Al-Kahfi 50

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Kerana itulah syaitan amat senang kalau semua manusia di dunia menjadi derhaka, kelak akan menjadi temannya di neraka.Kalau  iblis melihat manusia mahu menerima bisikannya untuk melakukan maksiat maka usaha mereka semakin ditingkatkan sampai manusia benar-benar terjerumus. Mereka akan sangat bersukacita jika tipu dayanya berhasil. Namun di akhirat kelak dia akan mencuci tangannya dengan memberikan berbagai alasan. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya dalam surah Qaaf 27:

قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong

Juga surah Qaaf 28

قَالَ لَا تَخْتَصِمُوا لَدَيَّ وَقَدْ قَدَّمْتُ إِلَيْكُم بِالْوَعِيدِ
Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah).
            Allah Ta’ala sudah mentakdirkan bahawa hari arafah adalah hari pengguguran tipu daya iblis,sekaligus merupakan hari para Jemaah haji menerima limpahan rahmat,maghfirah,taubat dan keredaan-Nya dan ikhtiar kepada kehendak dan perintah Allah Ta’ala.

Rahsia Haji Mabrur: Wuquf Di Padang Arafah

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Sesudah anda memasuki kota Makkah dengan mengenakan pakaian ihram, bertawaf dan bersa’i, pada hari lapan Zulhijjah pula para haji akan pergi menuju ke Mina dan bermalam semalaman di sana, atau pada hari kesembilan Zulhijjah pergi terus ke Padang Arafah.
Seperti kita ketahui, Arafah tidak termasuk daerah Haram, tetapi terletak di luarnya. Kerana itulah aqal manusia terhenti seketika. Setiap kali Allah Ta’ala membukakan rahsia-Nya, maka setiap kali pula dia menegunkan dengan rahsia-Nya yang lain. Dengan demikain ilmu ghaib-Nya tidak pernah tunduk pada mekanime syariat, tetapi selalu tunduk pada kemutlakan kekuatan Pembuat syariat

Haji menempuh berbagai fasa. Pertama anda memulainya dengan memilih keimanan dan dengan menyatakan syahadat bahawa  tiada tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah Rasulullah. Dengan menentukan pilihan keimanan ini manusia telah memasukkan dirinya(tanpa paksaan) ke dalam daerah taklif. Semua kaum muslimin tanpa pengecualian dikenakan hukum wajib melaksanakan perintah-Nya mulai daripada mendirikan solat, menunaikan zakat,melaksanakan puasa Ramadhan, dan  berhaji ke Baitullah jika keadaan mengizinkan.
Diatas kami telah mengatakan bahawa kewajipan haji telah mengeluarkan kita daripada daerah ikhtiar  yang umum ke daerah taklif yang khusus. Hanya orang yang sedang muhrimlah (yang sedang mengerjakan ihram) yang melampaui miqat pada perbatasaan tanah haram, dan yang memasuki Kaabah hanyalah kaum mukmin yang sedang  menunaikan kewajiapan, seperti bertawaf, semua akan keluar meninggalkan kota Makkah menuju kesana.

            Dengan memeluk al-Dienul Islam bererti manusia telah memasukkan dirinya ke dalam taklif. Kalau dia ingin menunaikan rukun haji maka dia harus memasukkan diri ke dalam taklif khusus lain yang  berkaitan dengan hajinya, Kalau dia ingin menyempurnakan hajinya, dan haji itu adalah Arafah, maka dia harus keluar dari daerah Haram ke daerah luar berbatasannya.
Daerah–daerah haram bagi Jemaah haji ada empat:

1-Al-Masjidil Haram
2-al-Baitul Haram
3-al-Baladul Haram
4-al-Masy’arul Harm (mudzalifah) yang menjadi tempat para haji berhenti sejenak di disana dalam perjalanan pulang dari Arafah untuk memunggut anak kerikil yang akan dilemparkan kepada iblis. Di sana mereka solat jama ta’khir Maghrib dan Isya, sebelum meneruskan perjalanan ke Mina untuk bermalam dan mempersiapkan diri melempar jamrah. Selanjutnya mereka akan pergi semula ke Makkah untuk menunailkan tawaf ifadah.

Rahsia Haji Mabrur: Ikhtiar Yang Umum Dan Taklif Yang Khusus(Miqat)

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

Hendaknya kita benar-benar menyedari bahawa para jemaah haji telah mengeluarkan diri masing-masing dari daerah ikhtiar yang umum ke daerah taklif yang khusus.Mereka menjaga diri masing-masing agar tidak melampaui daerah-daerah yang telah ditetapkan untuk mengenakan ihram.Erti al-Ihram ialah menaggalkan rasa sombong dan hak menentukan pilihan dan menggantinya dengan kehendak dan iradat Allah dengan penuh keimanan.
Disini juga terdapat istilah miqat.Miqat ialah suatu daerah yang memisahkan antara al-Haram dan al-Halal.Bila anda berada diluar daerah miqat maka anda diatur oleh hukum khusus dan gerak-geri anda pun tidak terikat.Namun jika anda berada di dalam daerah miqat bererti anda ada di daerah al-Haram yang anda hanya dibenarkan memasukinya bila berihram.

Apabila anda ingin menunaikan ibadah haji, setiap kaum mukmin harus terlebih dahulu mamasukan diri ke dalam taklif  baru.Tapi anehnya, daerah-daerah miqat tidak ditetapkan berdasarkan hitungan matematik yang jaraknya sama dari Kaabah.daerah miqat bagi penduduk Hijar(didalamnya terletak Baitullah) merupakan daerah miqat yang paling jauh.Siapa yang hendak menunaikan haji dari Madinah maka dia diharuskan memakai ihramnya dari daerah Abyar Ali yang biasa dikenal dengan Bir Ali..Jarak antara Abyar Ali dan makkah sekitar 450 kilometer.Sedangkan miqat Rabigh hanya 204 kilometer. Miqat al-Juhfah 187 kilometer, miqat Irak 94 kilometer, dan Miqat Yulamlam 54 kilometer.

Jadi,penetapan daerah miqat tidak berdasarkan hitungan matematik.Hendaklah anda mengetahui bahawa masalah itu bukan masalah matematik tapi masalah kepatuhan pada kemutlakan qudrat iradat Allah Ta’ala.Mungkin aqal kita sukar untuk mengikuti hikmah dari berbagai taklif itu.Misalnya, kita berwuduk untuk solat,ada orang yang mengatakan bahawa berwuduk bertujuan untuk membersihkann diii dan menyucikannya.Maka kami katakana kepada mereka,”Masalah itu bukan masalah kebersihan dan kesucian sebab kalau anda tidak menemui air, anda diperintahkan bertayammum dengan debu.Kerana itu janganlah anda mengatakan bahawa wuduk itu untuk kebersihan.Ingatlah, Allah Ta’ala memiliki hukum-hukum yang tidak kita ketahui maksud dan hikmatnya.
            Para jamaah haji melintasi daerah miqat dari ikhtiar kedaerah keterikatan.Mereka tidak memakai pakaian yang berjahit,tidak memakai wangi-wangian,tidak mencukur janggut atau memotong rambut, tidak berdebat dan bertengkar.Semua perintah khusus itu diberikan kepada Jemaah yang melintasi daerah miqat. Dengan melintasi daerah itu bererti ia telah mengikat dirinya.
Allah Ta’ala yang memberikan perintah itu telah menetapkan kewajipan khusus bagi Jemaah haji.Anda sebagai orang mukmin telah memasukkan diri sendiri kedalam sektor taklifat Allah untuk membatasi diri dan hak memilih.Ini bertujuan agar Allah Ta’ala reda kepada anda dan sudi memberikan keampunan serta pahala.KeredaanNya akan anda perolehi bila anda menunaikan kewajipan haji dengan mengikuti semua hikmah amal ibadah yang diperintahkan Allah kepada anda. Yang penting anda melakukan semua semata-mata kerana perintah itu datangnya daripada Allah Ta’ala.Kalau anda melakukan dengan niat ikhlas maka kalbu anda akan dipenuhi oleh rasa tenang, tenteram dan reda.Di sinilah letak perbezaan antara taklif manusia untuk manusia dengan taklif al-Khaliq untuk makhluk-Nya.

Kalau ada orang yang menyuruh anda melakukan sesuatu, anda boleh bertanya, kenapa saya  harus melakukannya.akan tetapi jika Allah Ta’ala yang mentaklifkan perintah itu maka pekerjaan yang paling layak dan bahkan terhormat untuk diri sendiri ialah dengan mentaati perintah-Nya.Janganlah anda bertanya, kenapa saya harus melakukannya dan apa hikmahnya.Tetapi bertanya, apakah ini perintah Allah Ta’ala.Kalau ya, pasti Allah Ta’ala selalu menghendaki kebaikan untuk hambaNya. Allah tidak akan memutuskan sesuatu melainkan dengan kebaikan. Kebaikan-Nya sentiasa lebih besar dan luas sehingga fikiran kita manusia tidak boleh menjangkaukannya.Kebaikan-Nya dalam hal seperti ini jauh lebih besar untuk anda jankau.
            Ketika berbicara dengan makhluk-Nya, Allah Ta’ala tidak berbicara dengan taklif.Dia tidak pernah memerintah hamba-hamba-Nya dengan perkataan.”kerjakan ini,dan yang ini jangan!’ Tetapi Allah selalu memulai perintah dan larangan-Nya dengan awalan, “Hai orang-orang beriman!”

            Allah akan membebani hamba-hamba-Nya dengan taklif-Nya bila mereka sudah beriman kepada-Nya.Kerana itulah semua perintah dan larangan-Nya dalam al-Qur’anul Karim dimulai dengan firman-Nya: “Hai orang-orang yang berimann kepada Allah Ta’ala yang Maha Agung yang memiliki berbagai sifat kesempurnaan yang mutlak, maka seharusnya anda menerima semua perintah dan larangan-Nya dengan penuh keimanan dan melaksanakannya dengan keikhlasan sehingga anda akan merasa puas dan tenang.Dengan demikian, keimanan anda kepada Allah Ta’ala ada ertinya kerana berdasarkan aqidah.Anda yakin Allah tidak akan memerintah dan melarang jika hal itu tidak mendatangkan kemunfaatan dan kemaslahatan yang sempurna bagi  diri kita sendiri.
Syariat Allah Ta’la boleh diterima oleh sifat dan jiwa manusia, baik yang kita ketahui mahupun yang tidak kita ketahui.Allah menetapkan syariat-Nya.Tidak ada sesuatu pun yang ghaib daripada ilmu-Nya.Hanya kita saja yang tidak mampu melihatnya secara lengkap dan sempurna.

            Perhatikan bagaimana sikap Abu Bakar Assiddhiq ketika mendengar suara orang yang mengia dan tidak menyetujui perjalanan Isra dan Mi’raj Rasulullah SAW. kelangit ke tujuh. Apa yang dikatakannya? Apakah yang dia perdebatkan? Apakah dia menawarkan masalah itu pada persetujuan akalnya, seperti yang dilakukan orang-orang kafir dan orang-orang yang lemah iman.Mereka bertanya kepada Rasulullah SAW.dengan penuh kehairanan.
“Anda mengaku telah menempuh perjalanan pulang balik ke Baitul Maqdis dalam semalam. Bagaimana mungkin? Dengan menaiki unta sahaja kamu mengambil masa sebulan.” Mereka menggunakan berbagai alasan dengan perhitungan lahiriah padalahal yang dipermasaalahkan adalah hal yang ghaib yang tidak boleh selesai dengan hukum matematik
Abu Bakar Assiddhiq ra. tidak memakai perhitungan lahiriah dalam menaggapi kisah perjalanan Isra dan Mi’raj Rasulullah Saw.  Kerana itulah dia mengatakan dengan tegas, ”Kalau yang berkata itu Muhammad  tentu perkataannya amat benar.”
            Abu Bakar mengembalikan masaalah itu kepada pembicaranya, Nabi Muhammmad SAW. yang sejak zaman jahiliah digelar al-Amin, yang amanah, yang tidak berbohong dan berkhianat. Abu bakar tidak pernah berbohong dan berkhianat. Abu Bakar tidak mengambalikan masaalah itu kepada aqalnya yang dangkal.Selanjutnya dia berkata, “kalau aku sudah mempercayai berita-berita dari langit yang dibawanya, apakah tidak lebih layak lagi kalau kita  mempercayai kisah perjalanannya”.
            Perhatikan pula ucapan Umar bin Khattab ra. ketika hendak mencium hajar aswad. Katanya, “demi Allah, aku tahu bahawa engkau adalah batu yang tidak boleh memberi manafaat dan mudharat. Kalau tidak kerana aku melihat Rasulullah  menciunmu, maka aku tidak akan menciummu”.
Itulah kepasrahan yang sempurna. Dia tidak memecahkan masaalah syariat dengan ukuran aqalnya yang terbatas, tetapi mendasarkan pada perintah Allah Ta’ala semata.
            Diantara wajib-wajib yang rahsianya juga tidak boleh dipecahkan oleh aqal adalah wuquf di Arafah.

Friday 28 August 2015

Rahsia Haji Mabrur: Hikmah Sa'i Antara Shofa Dan Marwah

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Diantara amalan orang dalam haji dan umrah ada perkara-perkara yang berkaitan dengan masaalah alam, iaitu sesudah melakukan tawaf, mengerjakan sa’i antara Bukit Shofa dan Mawah sebanyak tujuh kali, seperti melakukan tawaf tujuh kali putaran.
Allah Ta’ala ingin agar dalam masalah menunaikan manasik kaum muslimin membangkitkan keimanan bahawa Allah Ta’ala menciptakan dan menjadikan alam ini bersesuaian dengan sebab-musabab.Orang yang menerapkan hukum kehidupan (baik dia seorang mukmin mahupun seorang kafir) dengan baik maka hasilnya pun akan baik.Allah Ta’ala juga ingin menarik perhatian kita agar menyedari bahawa Allah Ta’ala adalah pencipta sebab dan musabab dan Dia juga adalah kuasa di atas segala sebab dan akibat.
Allah memberikan rezeki kepada sesiapa sahaja dengan hitungan dan tanpa hitungan.Allah juga memberi petunjuk kepada kita cata-cara mendapatkan rezeki. Kalau kita melakukannya dengan baik maka kita akan memperolehinya.Akan tetapi kalau kita tidak pandai mengelolakanya dengan baik maka ia tentu saja tidak akan memberikan hasil yang diharapkan.Namun, jangan pula anda salah mengerti, bukan hanya sebab-musabab itu saja yang boleh memberikan rezeki kepada anda.Segala sesuatu terjadi atas kehendak-Nya.Hanya Dia-lah yang mampu memberikan rezeki kepada anda.
Disini terdapat perbezaan antara kurniaan Allah Ta’ala melalui sebab-musabab dan kurniaan-Nya yang secara langsung.Dalam manasik haji Allah Ta’ala ingin menyedarkan kita melalui peristiwa sejarah dengan menggalakkan kita mengenang dan mengamati apa yang dilakukan Sayyidatina Hajar,Ismail dan Ibrahim ketika berada di tempat yang tidak ada tumbuh-tumbuhan,air atau sarana hidup lainnya.
Di tempat yang gersang dan tandus serta hampa daripada berbagai sarana dan syarat-syarat untuk mempertahankan hidup, Ibrahim as. meninggalkan bayinya. Ketika Ibrahim hendak berpaling pergi, isterinya bergegas lari memegang tali leher kekang kenderaannya seraya bertanya kehairanan. “Apakah kami berdua akan ditinggalkan dilembah ini?” Ibrahim tidak boleh menjawab pertanyaan isterinya kerana sesungguhnya hatinya risau kerana terpaksa meninggalkan keluarganya.Siti Hajar bertanya lagi, “Kepada siapa kami ditinggalkan di sini? Apakah Allah yang memerintahkannya kepada mu?” Ibrahim tidak boleh menjawab pertanyaan isterinya.Kerongkongnya kering.Kedua-dua bibirnya seakan terkatup rapat.Air matanya seolah-olah tertahan kepada kedua kelopak matanya. Untuk memperlihatkan kejantanan dan ketabahannya, sesekali matanya dibiarkan melihat ke atas.Dia hanya boleh menjawab pertanyaan isterinya dengan anggukan kepala membenarkan pertanyaan isterinya. Setelah melihat jawapan itu. Hajar pun merasa lega.Dia menyambutnya dengan penuh keimanan dan ketabahan,”Kalau begitu kami tidak akan diabaikan oleh-Nya.
            Itulah kisah keimanan yang pertama.Apabila Allah mentakdirkan anda hidup di manapun, pasti Dia tidak akan mengabaikan anda, meskipun sarana hidup sudah tidak mampu lagi memberikan kehidupan kepada anda.
            Apa yang dilakukan oleh Sayyidatina Hajar Alaihissalam setelah kepergian suaminya tersebut?
Hajar menerima kehendak dan iradat Allah Ta’ala dengan reda.Namun tidak lama setelah suaminya pergi. Ismail puteranya menaggis semahu-mahunya kerana kehausan.Hajar ingin memberinya minum, dalam keadaan seperti itu dia sudah berusaha menempuh  jalan sebab-musabab, bersumberkan sarana yang umum.Dia mencari  sumber air di sekitar tempat itu, berlari-lari antar Bukit Safa dan Marwah. Kemungkinan tidak jauh dari tempatnya itu ada musafir atau  kafilah yang lalu, yang membawa air untuk memuaskan dahaga puteranya.Usaha pencarian sudah dilakukan.Jerih pedih pun sudah dikerahkan.Siti Hajar turun naik bukit Safa dan Marwah.Dia sudah melakukannya berulang- kali sebanyak tujuh kali, namun belum juga menemui air yang diperlukannya.

            Turun naik Bukit Safa dan Marwah dengan berlari-lari merupakan usaha maksima yang boleh dilakukanya.Ikhtiar apa lagi yang dapat dilakukannya di lembah tandus itu? Kini habislah sudah segala daya upayanya.Hatinya resah dan gelisah mengenagkan nasib bayinya.Rasanya segala upaya telah buntu, dan kini harapannya hanya Allah SWT. semata. Dia yakin Allah tidak akan mengabaikannya.Subhanallah! Tiba-tiba dia melihat tanah yang terkena pukulan kaki bayinmya Ismail yang sedang menaggis, memancarkan mata air.
            Hajar Alaihissalam sudah melakukan semua ikhtiar yang boleh dilakukannya, namun tidak berhasil.Sedangkan bayinya yang tidak berdaya, hanya melakukan beberapa pukulan kaki berhasil memancarkan mata air dari dalam.Kalau sekiranya dia boleh dimintanya atau dia menemui sebuah mata air yang tidak jauh dari tempatnya, tentu masaalah itu tidak akan sempurna.
            Allah Ta’ala sangat ingin menyempurnakan masalah ini untuk memberi kefahaman, perjalanan dan hikmah kepada kita tentang masalah alam, iaitu apabila anda sudah menemui jalan buntu maka janganlah patah semangat dan berputus asa. Allah tidak akan mengabaikan anda. Bukankah Dia yang menyatakan dan kenyataan-Nya pasti benar?
Ingatlah Firman-Nya dalam surah al-Naml,62: 

أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَٰهٌ مَّعَ اللَّهِ ۚ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan, serta menjadikan kamu khalifah di bumi? Adakah disamping Allah ada tuhan yang lain? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati-Nya”
Ini merupakan peringatan bagi orang mukmin agar jangan berputus asa dalam situasi bagaimana sekalipun kerana kita masih memiliki bantuan yang Maha Kuat dan Maha Pemurah. Ramai orang kafir(na’uubillah) yang membunuh diri apabila berputus asa.Tapi orang mukmin tidak demikian.Orang mukmin yakin Robbnya tidak akan mengabaikan dirinya.Inilah yang dibawa para jemaah haji kembali ke negeri masing –masing.Masalah itu sudah merupakan keyakinan hatinya.Inilah hikmah peristiwa Hajar dan bayinya Ismail, yang tidak mengandungi tujuan agar kaum mukmin mampumenghadapi berbagi gelora kehidupandengan tabah dan optimis.

Monday 24 August 2015

Rahsia Haji Mabrur: Apakah Yang Dimaksudkan Dengan “Tanda-tanda Yang Nyata”

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

Allah Ta’ala menyatakan dalam firman-Nya dalam surah Ali-Imran 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
Allah Ta’ala tidak menghuraikan lebih lanjut, apa saja tanda-tanda yang ada dalam Baitul Haram selain “Makam Ibrahim”. Ini kerana Allah Ta’ala ingin menarik perhatian kita terhadap makam ini, iaitu sebuah batu tempat Ibrahim as. berdiri untuk mendirikan tapak dan bangunan al-Bait itu seukuran dirinya, akan tetapi kerana keinginannya menjalankan ajaran dan perintah Allah, maka dia hanya mendirikan sesuatu dengan yang diperintahkan sebagai tathauwu.
Tanda-tanda آيَاتٌ dalam firman Allah di atas merupakan jamak perkataan tanda. Kemudian dalam keterangannya disebutkan “Makam Ibrahim” dalam bentuk satu(mufrad). Kalau anda teliti lebih jauh, tentu anda akan menemui banyak lagi ayat dalam makam Ibrahim itu. Kenikmatan yang terlihat hanya satu kalau diteliti susunan dan kaitannya akan didapati terangkum daripada berbagai kenikmatan lain juga.Kerana itulah Allah Ta’ala mengisyaratkan kepada kita  dalam ayat lain, dalam surah Ibrahim 34:

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian, dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhan-Nya.

Allah menyebut نِعْمَتَ dalam bentuk satu(mufrad), bukan ni’amun dalam bentuk jamak.Ini kerana ni’mat Allah yang satu pun terdiri dari kumpulan ni’mat yang banyak,yang terangkum menjadi satu, seperti pada Makam Ibrahim as.
            Ibrahim telah menunaikan perintah Allah dengan tenang hati dan sukacita.Ini terungkap dalam kemahuan hatinya untuk mendirikan al-Bait dan memperindahkannya dengan sebaik-baiknya sebagai ungkapan rasa cintanya kepada yang memerintah,sekaligus sebagai takbir atas kemahuannya menampilkan rasa indah pada ciptaannya.Seperti maksud sabda Rasulullah SAW.
“Sesungguhnya Allah mencintai seseorang di antara kamu yang apabila mengerjakan sesuatu dikukuhkan(dirapikan)”
Apabila Allah Ta’ala berfiman: “  فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ    Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim”,seharusnya kita mengamati apa yang ada dalam makam Ibrahim.
Ibrahim as. ditakbirkan sebagai satu umat kerana padanya terangkum berbagai jenis akhlak luhur yang tidak pernah terhimpun kecuali dalam satu umat dan, bukan hanya dalam seorang individu; seperti jujur,amanah,pemurah,penyabar dan berbagai akhlak terpuji yang lain. Berbagai akhlak yang terpuji yang itu terangkum menjadi satu dalam peribadi Ibrahim as. bagaikan dalam sebuah umat.

            Selain sebagai seorang yang senang dan sukacita melaksanakan perintah Allah Ta’ala, Ibrahim juga seorang penyabar dalam menghadapi ujian-Nya yang bertubi-tubi.Semua ujian itu dijalaninya dengan keikhlasa dan sebaik-baiknya.Hal ini dibenarkan oleh Allah Ta’ala dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah 124:

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Dan (ingatlah) tatkala telah di­uji Ibrahim oleh TuhanNya dengan beberapa kalimat(perintah dan larangan), maka telah dipenuhinya semuanya. Diapun berfirman : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan engkau Imam bagi manusia. Dia berkata : Dan juga dari antara anak-cucuku. Berfirman Dia : Tidaklah akan mencapai perjanjianKu itu kepada orang-orang yang zalim.
Perintah apa yang diujikan Allah kepada Ibrahim? Allah Taa’ala telah memerintahkannya agar menyembelh putera tunggalnya , Ismail,putera tunggalnya yang masih kecil.Tapi ternyata Ibrahim menerima ujian yang amat berat dan memilukan itu. Dia tetap melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan ketabahan. Ini merupakan salah satu ayat yang nmenandakan bahawa anda harus menunaikan taklif itu dengan sabar, tabah,ikhlas dan reda dengan perintah Allah.

Ayat lain adalah seperti yang menyebutkan ketika Ibrahim as. diperintahkan membangunkan tapak al-Bait.Dia berusa keras mendirikan bangunan itu lebih daripada sekadar tapaknya.Dia mencari sebuah batu untuk menjadi tempat berpijak dalam usaha mendirikan al-Bait.Batu itu terletak beberapa meter dari Ka’abah.Perhatikanlah! Anda akan melihat ada bekas dua telapak kakinya.Ada cerita yang mengatakan bahawa ketika Ibrahim berdiri diatas batu itu(hendak membangunkan al-Bait), batu itu menjadi lembut sehingga memberikan bekass pada telapak kakinya, seolah-olah sebagai tanda atau saksi atas ciptaanya yang besar membangunkan Baitullah.
Ada juga orang mengatakan bahawa ketika Ibrahim hendak membangunkan bahagian atas al-Bait, dia berusaha mengukir batu itu seukuran telapak kakinya supaya berdirinya kukuh dan kuat serta tidak mudah licin dan tergelincir.

            Semua hal diatas merupakan kejadian yang menarik perhatian kita. Ini bertujuan agar kita menyambut perintah Allah yang telah dibebankan kepada kita dengan sukacita, dan menunaikan dengan baik dan sempurna..Kerapian dan kesempurnaan boleh ditakbirkan sebagai keikhlasan dan keredhaan kita dalam menjalankan taklif Allah Ta’ala.Allah Subhanahuwata’ala adalah sumber keindahan, Seperti maksud hadis: Allah itu indah dan Dia suka pada yang indah.  

 

Saturday 22 August 2015

Rahsia Haji Mabrur: Keberkatan Dalam al-Baitul Haram

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

            Allah Ta’ala menyatakan bahawa bait-Nya bekeberkatan.Berkat ialah suatu kurniaan yang diberikan lebih besar daripada yang dijangkakan sebelumnya.Misalnya, ada seorang yang menanam gandum.biasanya sepetak akan menghasilkan 500 kilogram gandum. Tapi ternyata sepetak semaiannya itu memberikan hasil 1500 kilogram gandum.Itulah yang dikatakan berkat.Ertinya,sesuatu yang merupakan kurniaan, tetapi memberikan apa yang melebihi kurniaan itu.

            Al-Bait Haram memang telah memberikan keberkatan yang melimpah ruah, antaranya keberkataan reda, keberkatan perlindungan daripada manusia, keberkatan iman yang menyusup keseluruh jiwa, keberkatan rasa takut kepada Allah Ta’ala, dan keberkatan menumpas rasa sombong dan takabur dalam jiwa.Semua orang yang berada dalam al-Baitul Haram akan merasakan apa yang saudara-saudaranya yang lain rasakan semasa disana. Tidak ada sesiapapun yang lebih tinggi kedudukanya disana hanya disebabkan oleh pangkat, harta yang banyak, atau kerana perbezaan kulit dan nasab keturunannya.Disamping itu juga terdapat keberkatan lain.Di al-Baitul Haram, solat seseorang dinilai dan diganjar sebanyak seratus ribu kali(100000 X). Kalau satu solat diganjar dengan seratus ribu kali, dan melakukan kebaikan lainnya juga diganjar dengan seratus ribu kali, sementara pekerjaan yang sama yang dilakukan di luar Baitullah al-Haram biasanya hanya dilipatgandakan sepuluh kali, maka hal itu dinamakan keberkatan.

Dari Jabir, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِى أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1000 solat di masjid lainnya selain Masjidil Harom. Solat di Masjidil Harom lebih utama daripada 100000 solat di masjid lainnya.” (HR. Ahmad 3/343 dan Ibnu Majah no. 1406, dari Jabir bin ‘Abdillah

 Diantara keberkatan yang lain adalah kelapangan dada semua orang yang datang ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji berbanding dengan sarana dan prasarana yang ada.Meskipun sarana sudah ditingkatkan demikian rupa tapi tidak akan dapat memberikan layanan yang memadai terhadap para tetamu yang datang daripada lima benua.Namun begitu,mereka datang itu tetap berlapang dada.Dada semua orang menjadi lapang dan semua tempat melebar.Kita melihat puluhan orang tidur dengan seakan-akan damai dan nyenyak dalam satu bilik.Padahal kalau di luar Makkah tidur berdua saja rasanya sudah merimaskan.
            Keberkatan lain juga ada dalam menunaikan ibadah haji.Anda merasa tercegah daripada berbagai perbuatan dosa. Kalau anda boleh melindungi diri daripada perbuatan dosa dan derhaka kepada Allah meskipun hanya beberapa saat itu namanya suatu keberkatan.Dalam menunaikan ibadah haji Allah Ta’ala berkenan memberikan keberkatan kepada anda dalam berbagai waktu sehingga pada waktu-waktu itu anda hanya melakukan pekerjaan yang baik-baik itu di al-Bait Haram serta dilipatgandakan tanpa batas dan tanpa bilangan pahalanya, seperti yang dikatakan Rasulullah SAW.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْـهُ : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْـهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ( اَلْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَـهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّـةُ ) ﴿رواه البـخاري: ١٧٧٣﴾

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: “’umrah yang satu dengan ‘umrah berikutnya adalah penghapus dosa yang dilakukan antara masa keduanya, sedangkan haji mabrur balasannya tiada lain adalah surga.” [HR. Al-Bukhari, nomor hadits: 1773]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْـهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْـهِ وَسَلَّمَ : ( مَنْ أَتَى هٰذَا الْبَيْتَ، فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ؛ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْـهُ أُمُّـهُ ) ﴿أخرجـه البـخاري: ١٨١٩﴾

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah Saw. pernah bersabda: “Barangsiapa berhaji ke Baitullah tanpa berkata keji, tanpa bersetubuh dan tanpa berbuat kefasikan (selama ihram), maka dia pulang (tanpa dosa) bagaikan bayi yang baru lahir.” [Hadits ini juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari, nomor hadits: 1819]. [Mukhtashar Shahih Muslim, hal.399]

            Dengan demikain berhaji dan berada di al-Baitul Haram memiliki keberkatan yang luas sekali,memanjang dari dunia hingga akhirat.Allah Ta’ala menginginkan agar manusia, mengikuti ajara-Nya.Manusia tidak akan mendapat kesempatan yang lebih baik untuk mengikuti ajaran-Nya daripada waktu menunaikan ibadah haji.Belum mendengar panggilan azan lagi mereka sudah pergi berlari-lari ke Masjid Haram. Lalu duduk bertasbih, bertahmid,berdoa,solat,tawaf dan membaca a-Quran untuk menunggu waktu solat tiba.Mereka merasa sayang untuk meninggalkan waktu solat berjamaah atau mengisi waktunyadengan sia-sia. Apalagi bermaksiat terhadap Allah Ta’ala yang rasanya tidak mungkin sama sekali.Allah Ta’ala berfirman dalam surah Ali-Imran:96,

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

            Perkataan  "أَلْعَالَمِينَ adalah jamak daripada perkataan عَالَم”. عَالَم ialah yang lain daripada Allah yang terdiri daripada berbagai jenis akhluk-Nya, iaitu alam malaikat,alam jin,alam manusia, dan sebagainya.Maksudnya, keimanan sudah Allah taburkan ke seluruh alam-Nya di antara berbagai jenis makhluk-Nya. Di musim haji semua jenis makhluk-Nya datang daripada berbagai penjuru alam-Nya untuk menunaikan ibadah haji ke Baitullah. Ini dapat kita lihat dalam salah satu ayat yang terdapat dalam surah al-Hajj, ayat 27:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.