Tuesday, 2 August 2016

Sudut Feqah: Berapakah bahagian-bahagian Talak(الطلاق)


Berapakah bahagian-bahagian Talak(الطلاق)

Sumber Rujukan:

Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji Said Ibrahim (Matan Mufti Negeri Sabah)

Berapakah bahagian-bahagian Talak(الطلاق)?

Pada pokoknya; talak itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1-Talak dengan bayaran yang dikenal dalam istilah hukum syarak “Khuluk” iaitu tebus talak.

2-Talak tanpa bayaran.

Talak tanpa bayaran terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:

1-Talak Sareh

Iaitu talak yang nyata dan jelas, tanpa berkehendak kepada niat, seperti berkata suami kepada isterinya:

“Aku talakkan engkau” atau “aku ceraikan engkau dengan talak satu atau dua atau tiga”.

2- Talak kinayah

Iaitu talak yang berkehendak kepada niat, di mana maksud lafaz talak tersebut tidak nyata dan boleh diertikan kepada maksud yang lain, seperti berkata suami kepada isterinya:

“Aku kosongkan engkau” atau “engkau haram di atas ku” atau “engkau seperti bangkai”

Jika suami itu berniat bahawa lafaz yang dikatakannya kepada isterinya itu bermaksud talak maka jatuhlah talaknya, tetapi jika lafaz yang dikatakannya itu bukanlah niat talak, maka yang demikain tidaklah jatuh talaknya. Tegasnya talak kinayah ini jatuh atau tidak jatuhnya adalah bergantung kepada niat suami tadi.

3- Talak Taklik

Iaitu talak yang bergantung dengan sesuatu perkara atau perbuatan, di mana perkara atau perbuatan itu dilakukan oleh isteri atau oleh suami, seperti berkata suami kepada isterinya:

“Jika engkau keluar dari rumah tanpa kebenaranku, engkau tertalak”

Atau suami berkata:

“Jika aku tidak balik dalam satu bulan, maka engkau tertalak”.

Kedua-dua misal ini atau seumpamanya jika berlaku mengikut Takliknya, maka jatuhlah talaknya.

Sunday, 31 July 2016

Sudut Feqah: Apakah hukum Talak(الطلاق) atau Penceraian


Apakah hukum Talak(الطلاق) atau Penceraian

Sumber Rujukan:

Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji Said Ibrahim (Matan Mufti Negeri Sabah)

Apakah Hukum Talak(الطلاق) atau Penceraian ?

Dalam Islam: Hukum talak itu terbahagi kepada Lima Hukum:

1-      Haram

Iaitu seorang suami mentalaki isternya semasa isterinya sedang haidh atau nifas, atau di waktu suci, dan sesudah dicampurinya. Dan sunat suami itu rujuk kepada isterinya semula.

2-       Makruh

Iaitu seorang suami mentalaki isterinya yang baik tingkah lakunya dan taat kepada ajaran agamanya, dan tidak ada apa-apa kesalahan pula.

3-      Wajib

Iaitu talak yang dilakukan oleh Hakam(orang tengah) dalam perselisihan yang tidak dapat didamaikan lagi, dan kedua belah pihak mengambil keputusan, bahawa talak adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan persengketaan mereka. Termasuk juga talak wajib ialah talak dari suami yamg melakukan ila’ (bersumpah tidak mencampuri isterinya). Setelah lebih masanya empat bulan.

4-      Sunat

Iaitu seorang suami mentalaki isterinya yang mempunyai kelakuan yang tidak baik, dan tidak taat kepada perintah-perintah agama serta melanggar larangannya, dan tidak menjaga kesopanan dirinya.

5-      Harus

Iaitu seorang suami mentalaki isterinya di mana suami itu tidak suka kepada isterinya dan tidak memberi nafkah kepada isterinya.

 

 

Sudut Feqah: Bagaimana Pandangan Islam mengenai Talak(الطلاق) atau Penceraian


Bagaimana Pandangan Islam mengenai  Talak(الطلاق) atau Penceraian

Sumber Rujukan:

Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji Said Ibrahim (Matan Mufti Negeri Sabah)

Bagaimana Pandangan Islam mengenai  Talak(الطلاق) atau Penceraian. Adakah ia merupakan satu perkara yang mesti dijaga diri kita daripada melakukannya?

Ya… dalam Islam; setiap orang mestilah menjaga dirinya daripada melakukan talak, kerana itu walaupun halal, tetapi ianya adalah satu perbuatan yang dibenci dan dimurkai Allah. Ini adalah bedasarkan hadiths Rasulullah SAW;

 

ابغض الحلال الى الله الطلاق

Perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala ialah talak. HR Abu Daud dan Hakim.

عَنْ ثَوْبَانَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّة )

Dari Tsauban ia berkata:”Rasulullah SAW. bersabda; Siapa saja wanita yang minta talak kepada suaminya tanpa ada sebab, maka haram baginya bau syurga” HR Abu Daud

Sunday, 24 July 2016

Sudut Feqah: Hukum menjanjikan talak (الطلاق) dan mengucapkan Sumpah.


Sumber Rujukan:

Fatwa Kontemporari (Fatawa ‘Asriyyah) oleh Syeikh Ali Jum’ah(Mufti Mesir)

Soalan:

Telah terjadi perselisihan antara aku dan suamiku, Sehingga akhirnya kami berpakat untuk bercerai, dengan syarat kami tidak boleh berbicara dengan salah seorang teman wanitaku. Kemudian kami jadikan al-Quran sebagai sumpah. Dan aku pun dapat melaksanakan sumpahku, akan tetapi suamiku tidak demikian. Dia telah melanggar sumpahnya, aku pun ‘tertalak’, sampai aku berbicara dengan teman wanitaku tersebut.

Adakah aku berdosa kerana aku telah berbicara dengan teman wanitaku? Adakah itu termasuk sumpah yang sah?

Adakah melanggar sumpah dikenakan kifarah?

Jawapan:

Kami menginginkan agar diri kita dapat mengerti agama Islam ketahap yang lebih baik.Akan tetapi yang terjadi sebaliknya dan ini menjadi suatu masaalah. Kami menginginkan agar kaum muslimin lebih mendalami ajaran Islam yang benar dan meninggalkan hal-hal yang tidak sempurna. Nabi sangat membenci hal-hal yang tidak sempurna dan sangat menyukai sesuatu perbuatan yang sempurna.Baginda merupakan suri tauladan yang baik.

            Bersumpah tidak terlaksana melainkan dengan lafaz Allah SWT. Maka bersumpah dengan mushaf, ka’bah, nabi dan makhluk-makhluk yang lain, maka sumpah tersebut tidak sah dan tidak ada kifarah terhadapnya. Jikalau saya berkata, “Demi Ka’abah! Aku tidak akan melakukan ini” atau Demi Ka’abah Aku tidak akan bertemu dengan mu” atau “ Demi Nabi! Aku tidak akan melakukan ini”. Maka lafaz-lafaz ini bukan termasuk sumpah dan tidak sah. Ini kerana mushaf, Ka’abah dan Nabi adalah makhluk. Maka semua sumpah yang tidak menggunakan lafaz Allah SWT. hukumnya makruh.

Daripada Sa’ad bin Ubaidah bahawa Ibnu Umar r.a mendengar seorang lelaki berkata, “Tidak! Demi Ka’abah!. Ibnu Umar r.a berkata, “Jangan bersumpah, selain dengan lafaz Allah. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda, “Baragsiapa yang bersumpah selain dengan Allah SWT, maka dia telah kafir atau syirik.HR Tirmizi

عن ابن عمر رضي الله عنهما: أنَّهُ سَمِعَ رَجُلاً يقُولُ: لاَ وَالكَعْبَةِ، فَقَالَ ابنُ عُمَرَ: لاَ تَحْلِفْ بَغَيْرِ اللهِ، فَإنِّي سَمِعْتُ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، يقولُ: (مَنْ حَلَفَ بِغَيرِ اللهِ، فقد كَفَرَ أَوْ أشْرَكَ). رواه الترمذي، وقال: (حديث حسن).

Catitan: Sebahagian ahli ilmu menafsirkan lafaz “maka dia telah jadi kafir atau syirik, itu sebagai hal yang tidak dibenarkan.

Sudut Feqah: Hikmat Talak(الطلاق) disyariatkan


Sumber Rujukan:

Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Matlamat perkahwinan ialah kehidupan yang berterusan di antara kedua-dua pasangan suami isteri. Allah SWT. mensyariatkan banyak hukum hakam dan adab-adab untuk mengekalkan dan menyemarakan hubungan suami isteri.

Tetapi kadang-kadang adab-adab dan hukum hakam ini tidak diikuti oleh kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka. Contohnya suami tidak memilih isteri yang sesuai atau kedua-dua pasangan atau salah seorang tidak iltizam dengan adab-adab pergaulan(hidup bersama) yang telah ditentukan oleh Islam. Ini menyebabkan kerenggangan. Kerenggangan ini semakin melebar dari sehari ke sehari sehingga sukar untuk diperbaiki.   

Ketika tidak ada cara untuk mewujudkan persefahaman dalam kehidupan berkeluarga, peraturan yang membolehkan kita menangani masalah tersebut diperlukan. Dengan ikatan perkahwinan dapat dirungkaikan dan hak kedua-dua pihak tidak terabai. Ini dilakukan apabila mereka tidak mampu untuk hidup bersama. Allah Ta’ala berfirman dalam surah An-Nisa:130:

وَإِنْ يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِنْ سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا

Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masingnya dari limpahan karunia-Nya. Dan adalah Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Bijaksana.

            Jika suami menggunakan talak sebagai jalan penyelesaian terakhir dalam menyelesaikan masaalah yang timbul, ia adalah jalan penyelesaian yang dharuri(amat diperlukan). Dia terpaksa melakukannya walaupun kebiasaannya perceraian amat memeritkan. Jika talak digunakan untuk menunjukkan kebebalannya dan memenuhi hawa nafsunya, ia adalah “perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah Ta’ala”

Allah maha mengetahui semua perkara baik dan buruk dan kepada-Nyalah semua urusan dikembalikan.

 

Sudut Feqah: Talak(الطلاق)


Sumber Rujukan:

Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Talak(الطلاق) dari segi bahasa ialah melepaskan dan terlepas.

Talak daripada segi syarak ialah merungkai ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan sebagainya.

Dalil syarak disyariatkan

Dalil syarak disyariatkan adalah berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.

Dalil-dalil daripada al-Quran

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik. Al_Baqarah 229

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ

Hai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah.At-Tolaq: 1

Dalil-dalil daripada Sunnah

ابغض الحلال الى الله الطلاق

Perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala ialah talak. HR Abu Daud dan Ibnu Majah.

Dalil-dalil daripada Ijma' Ulama

Semua ulama bersepakat mengatakan talak disyariatkan. Tidak ada seorang pun yang mengingkarinya.

Saturday, 16 July 2016

Sudut Feqah: Hukum Khitan Bagi Perempuan


 
Sumber Rujukan:

1-Fatwa Kontemporari (Fatawa ‘Asriyyah) oleh Syeikh Ali Jum’ah(Mufti Mesir)

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

 Artinya:Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif. Dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. (An-Nahl: 123)

Dari Abu Hurairah ra. Nabi SAW. bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنْ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْإِبِطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ


Ertinya:“Fitrah itu ada lima, atau ada lima fitrah yaitu: Khitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur kumis.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Anas ra. berkata:

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً


Ertinya:“Waktu yang diberikan kepada kami untuk mencukur kumis, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan memotong bulu kemaluan adalah tidak lebih dari empat puluh malam (agar tidak panjang).” (HR. Muslim)

Sebagaimana yang telah kita ketahui, Para ulama sepakat khitan adalah wajib bagi kaum lelaki secara syar’ei. Khitan merupakan syiar agama Islam yang wajib bagi kaum muslimin untuk menjaganya.
Sedangkan khitan bagi wanita, merupakan perbuatan yang mulia, namun tidak sampai pada sunnat muakkad. Akan tetapi khitan bagi wanita adalah sunnat fitrah yang harus dilakukan. Perlaksanaannya diserahkan kepada setiap individu dan orang yang berilmu, serta para doktor yang adil. Meninggalkannya bukanlah termasuk perbuatan yang diharamkan dan bukan pula makruh hukumnya.
Barangsiapa yang melihat adanya kebaikan di dalamnya, maka dia berhak melaksanakannya. Barangsiapa yang melihat adanya kebaikan di dalam meninggalkannya, maka dia juga berhak untuk tidak melaksanakan dan hal ini berbeza sesuai dengan perbezaan persekitaran dan masyarakat setempat.
Berdasarkan hal ini maka dapat dibuat kesimpulan bahawa khitan adalah wajib hukumnya bagi kaum lelaki dan bagi wanita adalah suatu bentuk sunnat tanzhimmiyah dan kemulian dan pelaksanaanya diserahkan sepenuhnya kepada individu, orang berilmu dan doktor yang adil, disebabkan adanya perbezaan yang sesuai dengan persekitaran dan masyarakat setempat.

 

Saturday, 16 January 2016

Sudut Feqah: Apabila Nafkah(أَلْنَّفَقَهُ) Tidak Diberikan Pada Waktunya, Adakah Ia Dianggap Sebagai Hutang?

Sumber Rujukan:

1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Nafkah kepada furu’ tidak menjadi hutang kepada pemberi nafkah apabila tidak diberikan pada waktunya. Ini kerana nafkah adalah pertolongan daripada usul kepada furu’. Oleh itu ia bukanlah pemilikan terhadap hak tertentu, tetapi ditetapkan kerana hubungan kekeluargan.

Maksudnya, furu’ mendapatkan keperluannya melalui nafkah. Jika keperluan tersebut tidak diperlukan lagi dan penerima tidak mahu ditunaikan kerana ingin menjaga kehormatan diri, lupa atau sebagainya sedangkan usul mampu melaksanakannya, adalah tidak lojik tanggungjawab tersebut menjadikan bapa berhubung kepada anaknya disebabkan keperluan yang anaknya sendiri tidak meminta ditunaikan kerana menjaga kehormatan diri, tidak mengambil berat atau luput sehingga luput waktunya dan ia tidak diperlukan lagi.

            Ini adalah hukum asal yang digunapakai ketika hubungan di antara anak dan ayah berlaku seperti biasa.

Tetapi ketika berlaku perselisihan, qadi perlu masuk campur untuk menyelesaikannya. Qadi hendaklah menetapkan nafkah tertentu yang mesti diberikan oleh bapa, atau memberi izin kepada anak untuk berhutang dengan kadar tertentu atau kadar yang diperlukannya menggunakan nama bapanya(maksudnya, bapanya yang menanggung hutang tersebut).

Oleh itu, nafkah tersebut menjadikan bapa berhutang apabila tidak ditunaikan pada waktunya. Nafkah tersebut tidak digugurkan dengan luputnya masa kerana ia telah menjadi hak milik anak disebabkan hukuman yang dijatuhkan oleh qadi. Sekalipun sebelum itu ia hanya dianggap sebagai pertolongan dan bantuan.

 

 

Sudut Feqah: Kadar Nafkah(أَلْنَّفَقَهُ)



Sumber Rujukan:

1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Nafkah tidak mempunyai kadar tertentu. Ia hanya ditentukan berdasarkan konsep cukup. Cukup ditentukan berdasarkan adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah.Firman Allah Ta’ala:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.Al-Talaq: 7
 

Wednesday, 13 January 2016

Sudut Feqah: Syarat Usul (ayah datuk)Wajib memberi Nafaqah(أَلْنَّفَقَهُ) Kepada Furu'(anak cucu)

Sumber Rujukan:

1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Syarat-syarat yang menjadikan usul wajib memberikan nafkah (أَلْنَّفَقَهُ)   kepada furu’ ialah:

i-Mereka mempunyai makanan yang melebihi keperluan diri dan isteri untuk tempoh sehari semalam.

            Jika makanan yang dimiliki hanya cukup digunakan dalam tempoh tersebut untuk dirinya sahaja, atau untuk diri dan isterinya, dia tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada furu’.

Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:

ابدأ بنفسك
Mulakan dengan dirimu sendiri. HR Muslim

i-Furu’ hendaklah dikalangan orang-orang fakir. Di samping itu dia hendaklah memiliki salah satu daripada ciri berikut:

a-Masih kecil(kanak-kanak)

b-Sakit yang berpanjangan(tidak mampu bekerja)

c-Gila

Oleh itu, nafkah furu’ yang masih kecil(kanak-kanak) dan fakir adalah tanggungjawab bapanya. Jika bapanya tidak ada, ia menjadi tanggungjawab datuknya. Begitu juga dengan furu’ yang fakir dan menghadapi sakit yang berpanjangan (tidak mampu bekerja), serta furu’ yang fakir dan gila.Dimaksudkan dengan fakir di sini ialah tidak mampu bekerja.

Jika anak itu telah baligh dan mampu bekerja, bapa tidak wajib memberikan nafkah sekalipun anaknya tidak bekerja.

Jika anak itu tidak bekerja kerana sibuk mencari ilmu:

Jika ilmu itu ialah ilmu yang bersangkut dengan kewajipan dirinya seperti ilmu qidah dan ibadah, ia dikira tidak mampu bekerja dan bapa wajib memberikan nafkah kepadanya.

Jika ilmu yang dipelajari adalah ilmu fardhu kifayah yang diperlukan oleh masyarakat seperti perubatan, perindustrian dsan sebagainya, dan dia tidak bekerja sedangkan dia mampu bekerja, bapa mempunyai pilihan sama ada membenarkan anak terus belajar dan dia memberikan nafkahnya, atau bapa tidak memberikan nafkah menyebabkan anak tersebut bekerja.

Tuesday, 12 January 2016

Sudut Feqah: Nafaqah(أَلْنَّفَقَهُ) Usul Kepada Furu'(anak cucu)


Sumber Rujukan:
1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Bapa dan datuk keatas(usul keturunan) wajib memberikan nafkah kepada anaknya dan cucu ke bawah (furu’ keturunan)
            Oleh itu bapa bertanggungjawab memberikan semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, datuk (ayah kepada bapa) wajib mengambil tanggungjawab ini. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu’.

Dalilnya firman Allah Ta’ala dalam surah at-Tolaq, ayat:6

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.

Ayat ini menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa.

Dalil firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

            Dalam ayat di atas, anak telah disandarkan khusus kepada bapanya mengunakan huruf lam(ل ). Ini bermakna bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya. Begitu juga dalam masaalah bapa wajib memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya, ini menunjukkan kewajipan bapa memberikan nafkah kepada anaknya adalah lebih utama.

Dalil hadis pula ialah hadis Aisyah r.ha katanya:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang bakhil. la tidak pernah memberi aku harta yang mencukupi untuk aku  dan anakku, melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya.” Maka baginda bersabda, “Ambillah daripada hartanya sekadar untuk keperluanmu dan juga anakmu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Monday, 11 January 2016

Sudut Feqah: Nafaqah(أَلْنَّفَقَهُ) Manusia Kepada Diri Sendiri

Sumber Rujukan:

1-Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji.

Kewajipan nafkah yang paling rendah ialah nafkah kepada diri sendiri, jika mampu. Nafkah kepada diri sendiri hendaklah didahulukan daripada yang lain-lain.

            Nafkah ini meliputi semua perkara yang diperlukan oleh seseorang manusia seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman dan sebagainya.

Nafkah yang diwajibkan terhadap diri sendiri hendaklah diambil daripada harta sendiri, selagi dia memiliki harta yang boleh digunakan sebagai nafkah kepada dirinya.

Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir ra.katanya:

وعن جابر بن عبد الله قال: ((أعتق رجل من بني عذرة عبدًا له عن دبر، فبلغ ذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم. فقال: ألك مال غيره؟ فقال: لا. فقال: من يشتريه مني؟ فاشتراه نعيم بن عبد الله العدوي بثمانمائة درهم، فجاء بها رسول الله صلى الله عليه وسلم فدفعها إليه، ثُمَّ قال: ابدأ بنفسك فتصدق عليها، فإن فضل شيء فلأهلك، فإن فضل عن أهلك شيء فلذي قرابتك، فإن فضل عن ذي قرابتك شيء، فهكذا وهكذا. يقول فبين يديك، وعن يمينك، وعن شمالك))  

Seorang lelaki Bani “Uzrah telah memerdekakan seorang hamba miliknya secara taklik(dengan kematiannya, seperti dia berkata: Kamu merdeka pada hari kematianku). Berita ini sampai kepada Rasulullah SAW. lalu Baginda bertanya kepada lelaki itu: “Adakah kamu memiliki harta selainnya?” Lelaki itu menjawab: “Tidak. “Baginda SAW. berkata: “Siapakah yang ingin membeli hamba ini daripadaku? “Lalu Nu’aim bin Abdullah al-‘Adawi membelinya dengan harga lapan ratus dirham. Rasulullah saw. membawa wang itu lalu menyerahkannya kepada lelaki Bani ‘Uzrah tersebut. Kemudian Baginda bersada: “Mulakan dengan dirimu lalu bersedekahlah untuk dirimu (berbelanjalah untuk dirimu dahulu). Jika berbaki, berilah nafkah(berbelanjalah) untuk  ahli keluarga kamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada kaum keluarga kamu yang terdekat. Jika masih lagi berbaki, berikanlah kepada orang ini dan orang ini.”Hr Bukhari  

 

 

Sunday, 10 January 2016

Sudut Feqah: Nafkah(أَلْنَّفَقَهُ) Dan Perkara yang Berkaitan Dengannya

Sumber Rujukan:

1- Fiqh al-Manhaji(Kiab Feqah Mazhab Syafie) oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji

Asal perkataan nafkah(أَلْنَّفَقَهُ) ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Perkataan nafkah(mengeluarkan atau menghabiskan) hanya digunakan dengan makna yang baik sahaja.
Nafkah daripada segi istilah ialah semua perkara yang diperlukan oleh manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.
Dinamakan nafkah ialah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan dengan tujuan mendapatkan keperluan diatas.
Jenis nafkah(أَلْنَّفَقَهُ):
Terdapat lima jenis nafkah:
1-Nafkah manusia kepada dirinya.
2-Nafkah usul(ayah datuk) kepada furu’(anak cucu).
3-Nafkah furu’ kepada usul.
4-Nafkah suami kepada isteri.
5-Nafkah-nafkah lain.