Saturday 18 February 2017

Peranan bersalam(المصافحة) dalam kehidupan Muslim

Peranan bersalam(المصافحة) dalam kehidupan Muslim

Sumber rujukan:
Hadith Riwayat Thibrani
Hadith Riwayat Abu Daud

Bersalaman atau berjabat tangan dalam kehidupan seharian lebih menjurus kepada adat atau kebiasaan sahaja, namun kita tidak pernah mendalami hakikat sebenar melalui syariat Islam. Maka dijelaskan oleh hadis Rasulullah saw. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya serta jaminan ganjaran yang diberikan oleh Allah swt. terhadap dua saudara Islam bila bersalaman antara satu sama lain ketikamana mereka bersua dan di mana sahaja mereka berjumpa.

            Peranan bersalam boleh dikatakan sebagai satu penghormatan atau tanda kemesraan antara individu dengan yang lain ketika mana mereka bertemu. Maka eloklah kedua-duanya bersalaman atau berjabat tangan kerana perbuatan itu akan membuahkan kemesraan dan kasih sayang,perkenalan dan persahabatan serta mendapat ganjaraan pahala yang besar di sisi Allah swt. keatas hamba-Nya. Berdasarkan dalil yang ditegaskan oleh Rasulullah saw. dengan sabdanya:

إِنّ الْمُسْلِمَ إِذَلَقِىَ أَخَاهُ، فَأَخَذَ بِيَدِهً تَحَاتَتْ عَنْهُمَا ذُنُوبَهُمَا كَمَا يَتَحَاتُ الْوَرَقُ عَنَ الشَّجَرَةِ الْيَابِسَةِ فِيْ يَوْمِ رِيْحٍ عَاصِفِ، وَإِلاَّ غُفِرَلَهُمَا وَلَوْكًانَتْ ذُنُبُهُمَا مِثْلَ زَبَدِ الْبَ الْبَحْرِ٠
الترغيب والترهيب، الترغيب فى المصفحة، ولترهيب من الاشارة فى الاسلام: ٣٣٤/٣
Ertinya: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila bertemu saudaranya lalu bersalaman oleh kedua-duanya gugurlah dosa mereka sepertimana berguguran daun dari pokok yang kering ditiup angin kencang, melainkan kedua-duanya diampunkan segala dosa mereka walaupun banyak seperti buih di lautan. HR Thibrani

Begitu juga apabila tiba masanya seseorang sahabat dari perantuan disambut oleh ahli keluarga dan saudara-mara, sahabat handai, maka tidak mengapa sambutan itu dilakukan dengan saling bersalaman dan berpelukan sebagai tanda kegembiraan sepertimana hadis Rasulullah saw.:

كَانَ أَصْحَابُ رسولِ صلى الله عليه وسلم إِذَا تَلاَ قَوْا تَصَافَحُوا وَإِذَ قَدِمُوْا مِنْ سَفَرٍ تَعَانَقُوْا٠
Ertinya: Keadaan sahabat Rasulullah apabila mereka bertemu mereka bersalaman dengan tangan, dan apabila mereka menyambut kepulangan yang jauh mereka berpelukan. HR Abu Daud

Oleh yang demikian syariat tetap mengakui bahawa bersalaman atau berjabat tangan memainkan peranan penting ke arah pengukuhan ummah dengan jalinan silaturrahim antara satu sama lain. Dan juga adalah satu lambang kasih sayang sesama muslim.Sepertimana yang diterangkan dalam hadis lain.
عَنْ الْبرَءِ بْنِ عَازِبٍ رصي الله عنهُ قال: قال رسولِ صلى الله عليه وسلم : مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّاغُفِرَلَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرٍقًا٠
Ertinya: Daripada Al-Bara bin ‘Azib ra. Berkata: Rasulullah saw. Bersabda: “Tidak ada dua orang Muslim yang jumpa lalu keduanya berjabat tangan, melainkan diampuni bagi mereka berdua sebelum berpisah. HR Abu Daud

وعنِ ابْنِ عُمَرَ رصي الله عنهُمَا قِصَّةٌ قَالَ فِيهَا: فَدَنَوْنَا مِنَ  النَّبٍيِّ صلى الله عليه وَسَلَّمَ فَقَبَّلْنَا يَدَهُ٠
Ertinya: Daripada Abdullah bin Omar ra.huma, disebutkan kisah yang panjang...... Beliau berkata: “Lalu kami mendekati Rasulullah saw. Dan kami mencium tangannya. HR Abu Daud

Selain dari berjabat tangan, juga disunatkan mencium tangan orang yang lebih mulia dari kita,seperti kedua orang tua kita atau guru kita, yang demikian itu telah dilakukan oleh sahabat terhadap Rasulullah saw.
Dan Firman Allah swt:
وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Ertinya: Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah pengormatan itu(dengan serupa). Sesungguhnya Allah menghitungkan sesuatu. Al-Nisa: 86

Para ahli tafsir menafsirkan bahawa maksud penghormatan disini ucapan salam.Allah swt. memerintahkan apabila kita diucapkan salam agar menjawab salam dengan jawapan yang lebih baik atau yang sama dengannya.

Namun ayat ini tidak hanya berkaitan dengan salam sahaja. Malahan ianya merupakan salah satu konsep dasar dari Islam,yang mengajar umatnya agar membalas setiap kebaikan dengan kebaikan yang lebih baik. Termasuk juga dengan perihal berjabat tangan, maka lakukanlah dengan yang cara yang terbaik agar ia bertepatan dengan syariat Islam dan juga agar tidak menyinggung perasaan orang lain.


No comments:

Post a Comment