Solat Fardhu dan tuntutan untuk mengerjakannya walaupun dalam keadaan sakit ataupun masyaqqah.
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ طَهْمَانَ عَنْ حُسَيْنٍ الْمُعَلِّمِ عَنْ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ كَانَ بِيَ النَّاصُورُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Telah menceritakan kepada kami Ali bin Muhammad berkata, telah menceritakan kepada kami Waki' dari Ibrahim bin Thahman dari Husain Al Mu'allim dari Ibnu Buraidah dari Imran bin Hushain berkata, "Aku mengalami sakit wasir, maka aku bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang pelaksanaan shalat, beliau bersabda: "Shalatlah dengan berdiri, jika tidak mampu hendaklah dengan duduk, jika tidak mampu hendaklah dengan berbaring. " Ibu Majah,1213. Sahih
Solat fardhu lima waktu sehari semalam adalah suatu kewajipan untuk dikerjakan walaupun dalam apa jua keadaan. Ganjaran dan fadhilatnya adalah amat besar sekali. Banyak terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan hikmat dan kelebihan solat lima waktu itu.
Demikian juga sebaliknya,banyak juga peringatan dan ancaman terhadap sesiapa yang leka atau lalai mengerjakan solat, lebih-lebih lagi yang meninggalkannya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ . الَّذِينَ هُمْ عَن صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ
“(kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” al-Ma'un:4-5
Meninggalkan solat adalah berdosa besar serta akan mendapat balasan dan hukuman yang sangat berat, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ . قَالُواْ لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” al-Muddatsir:42-43
Justeru itu, maka janganlah sekali-kali diabaikan kewajipan untuk bersolat. Kerana ia adalah merupakan unsur asas kekukuhan binaan bagi agama seseorang itu, maka apabila hilang unsur asas ini nescaya akan binasalah agama seseorang itu.
Tuntutan untuk menunaikan solat adalah berterusan selama mana akal fikiran seseorang itu dalam keadaan sedar dan waras sekalipun dalam keadaan sakit, justeru itu, tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya.
Bagi seseorang yang tidak Berdaya Untuk berdiri:
Berdiri atau qiam dalam solat fardhu itu adalah salah satu dari rukun solat yang mesti dilakukan. Namun pun begitu, jika seseorang mukallaf itu tidak berdaya untuk berdiri maka haruslah dia solat secara duduk. Manakala yang tidak berdaya duduk dan berdiri maka haruslah dia solat secara baring. Sebagaimana sabda RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلِّ قَائِمًا فَإِن لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِن لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solat dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (solat merusuk).”
HR Bukhari
Apabila seseorang mukallaf itu tidak berdaya untuk solat secara berdiri disebabkan keuzuran yang bersangatan, seperti mengalami masyaqqah (kesukaran), takut menambahkan lagi kesakitan jika dia berdiri, takut tenggelam apabila berdiri di atas perahu, atau takut jatuh kerana pening kepala atau seumpamanya, maka haruslah dia solat secara duduk, sebagaimana sabda RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam di atas.
Orang sakit yang tidak berdaya solat berdiri itu tidak perlu lagi mengulangi semula solatnya yang tersebut sesudah hilang keuzuran dan masyaqqahnya selepas itu. Mengenai pahala bagi orang sakit itu tidaklah berkurangan, bahkan sama saja pahalanya jika dia solat berdiri. Sebagaimana sabda RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيْمًا صَحِيْحًا
Maksudnya: “Apabila seseorang itu sakit atau musafir, maka ditulis baginya (pahala) sama seperti apa yang dikerjakannya sewaktu bermuqim dan semasa sehat.” HR Bukhari
No comments:
Post a Comment