Tuesday 8 May 2018

Solat berjamaah dapat menzahirkan Syiar-syiar Islam

Solat berjamaah dapat menzahirkan Syiar-syiar Islam

ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.
Al-Hajj:32

Syiar bermaksud tanda, petunjuk atau alamat. Ini membawa maksud, apabila kita sentiasa mendirikan solat fardu secara berjamaah di masjid, maka masjid itu secara tidaklangsung sudah dimakmurkan dan inilah salah satu matlamat utama penubuhan masjid.

Azan pula akan dikumandangkan setiap hari. Apabila dikumandangkan azan di masjid, maka kita telah membantu memperkenalkan kepada orang yang datang melancong atau melawat kampung kita bahawa kampung ini ada orang Islam dan ada tempat untuk solat. Kalau orang datang melawat negara kita, orang akan percaya bahawa negara kita adalah negara Islam apabila ada masjid tempat untuk solat berjamaah dan mereka terdengar suara azan yang menandakan ramai orang Islam di negara ini. Kalau kita semua tidak datang ke masjid, maka masjid tidak berfungsi. Akibatnya,azan tidak kedengaran. Dengan ini, kita telah memadamkan syiar Islam atau tanda keIslaman dalam kampung kita.

Kita mesti faham bahawa syiar adalah perkara yang sangat penting dalam Islam sehingga ulama-ulama Islam telah memasukkan syiar Islam ini sebagai salah satu syarat bagi melayakkan sesebuah negara itu boleh dipanggil sebagai negara. Mereka telah memasukkan syiar Islam ini ke dalam pengertian atau takrif negara Islam yang mereka cipta. Diantara takrif negara Islam yang telah diberikan oleh al- Syeikh Bujairimi, iaitu:

كل ما دخل من البلاد في محيط سلطان الإسلام، ونفذت فيها آحكامه، وأقيمت شعائره

Maksudnya: "(Negeri atau negara Islam ialah) setiap negeri atau negara yang masuk dalam sempadan kerajaan Islam, serta dilaksanakan undang-undang Islam dan ditegakkan syiar-syiarnya di negeri atau negara itu".

Sekiranya kita perhatikan kepada pengertian di atas, jelas disebutkan bahawa salah satu syarat yang melayakkan sesebuah negara itu diiktiraf sebagai sebuah negara Islam ialah mesti ditegakkan di dalam negara itu syiar-syiar Islam. Antara contoh syiar yang lain selain dari solat berjamaah ialah bank-bank Islam, universiti-universiti Islam,pondok-pondok, madrasah-madrasah tahfiz,sekolah-sekolah agama dan seumpamanya.

ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ عِندَ رَبِّهِ

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Rabbnya.” (QS. Al-Hajj: 30)

Syeikh Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Syafii, atau dikenal dengan nama imam Bujairimi. Imam Bujairimi lahir di Bujairimi, sebuah desa yang terletak di sebelah barat kota Mesir tahun 1131 H.

No comments:

Post a Comment