Wednesday, 9 September 2015

Melihat Tempat Duduk dan Larangan Memandang Ke Atas Ketika Solat : Sudut Feqah

Melihat Tempat Duduk dan Larangan Memandang Ke Atas Ketika Solat

Sumber Rujukan:Nailul Authar(Oleh Asy Syaukani)

Maksud Hadis:
"Dari Ibnu Sirin, Sesungguhnya Nabi S.A.W. pernah membalikkan pandangannya kelangit, lalu turunlah ayat ini  الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ(al mu'minun ayat :2)
(Dan orang-orang yang khusyuk dalam solatnya), lalu ia menundukkan kepalanya. HR: Ahmad

Maksud Hadis:
Said bin Mansor dalam sunannya meriwayatkan seperti itu juga dan menambahkan dalam riwayatnya itu: Dan mereka menyunatkan seseorang (yang dalam solat) kiranya pandangannya itu tidak melebihi tempat solatnya. Tetapi hadis ini Mursal

Maksud Hadis:
Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda,yang bermaksud: Hendaklah orang-orang yang mahu berhenti dari mengangkat pandangannya kelangit dalam solat,ataukah(mereka rela) pandangan itu disambar." HR: Ahmad, Muslim dan Al-Nasaei


Maksud Hadis:
"Dari Anas, sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda,yang bermaksud: Mengapakah orang-orang itu mengangkatkan pandangannya kelangit dalam solat? Perkataannya tentang itu sangat keras sekali. Sehingga ia bersabda pula, yang bermaksud: Hendaklah mereka berhenti ataukah pandangannya itu akan disambar." HR Jamaah, kecuali Muslim Tirmizi.

Maksud Hadis:
"Dari Abdullah bin Al-Zubair,ia berkata: Adalah Rasulallah S.A.W. apabila duduk dalam Tasyhud (Tahayyat), ia meletakkan tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan pula, sedang tangannya yang kiri atas pahanya yang kiri, dan berisyarat dengan telunjuknya, sedangkan pandangannya tidak melebihi isyaratnya tersebut." HR Ahmad, al-Nasaie, Abu Daud)

Penjelasan:

1-   Perkataan "Mereka menyunatkan kiranya pandangan itu tidak melebihi tempat solatnya itu, Syarikh berkata: Hadis ini menunjukkan sunat menundukkan ketempat solat,tidak melampaui batas.

2-   Secara Zahir, bahawa mengangkat pandangan ke langit ketika solat itu adalah Haram, sebab hukum buta tidak akan terjadi kecuali berbuat haram.

Dua Orang Sudah Dianggap Berjemaah, Salah satunya Perempuan atau anak-anak (Sudut Feqah)

Dua Orang Sudah Dianggap Berjemaah, Salah satunya Perempuan atau anak-anak

Sumber rujukan: Nailul Authar(Oleh Asy-Syaukani rahimahullah)

Maksud Hadis:
"Dari Ibnu 'Abbas, ia berkata: Aku(pernah) bermalam di rumah emak saudaraku, Maimunah.Lalu Nabi S.A.W bangun solat Malam. lalu aku berdiri solat bersama dia. Yaitu,aku berdiri di sebelah kirinya,lalu Nabi S.A.W. menarik kepalaku, dan menempatkan aku disebelah kanannya. HR Jama'ah

Maksud Hadis:
"Dan dalam satu lafaz,dikatakan: Aku (pernah) solat bersama Nabi S.A.W.; Ketika itu aku berumur sepuluh tahun, dan aku berdiri disebelah kirinya, lalu Nabi S.A.W menempatkan aku disebelah kananya. Ibnu 'Abbas berkata: Ketika itu aku berumur sepuluh "tahun"." HR:Ahmad

Maksud Hadis:
"Dan dari Abu Sa'eid dan Abu Hurairah, mereka berkata Rasulullah S.A.W, bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa bangun di waktu malam, dan membangunkan keluarganya(isterinya), lalu mereka solat dua raka'at secara berjemaah, maka mereka dicatat sebagai orang laki-laki dan perempuan yang banyak ingat kepada Allah."            HR :Abu Daud

Penjelasan:

Perkataan aku(pernah) bermalam dirumah emak saudaraku,Maimunah....itu, Syarikh berkata: Hadis itu mempunyai beberapa faedah yang banyak, diantaranya:

1-Dua orang sudah dianggap berjama'ah, Sekalipun salah satunya anak-anak. Jadi orang yang beranggapan bahawa, tidak di hitung berjama'ah kalau diikuti oleh seorang kanak-kanak sahaja, tidak ada alasanya/dalilnya.
2-Solat sunat boleh dilakukan dengan berjemaah.
3-Tempat ma'mum lelaki itu disebelah kanan imam, hatta sejajar dengan imam kecuali kalau ma'mum perempuan.
4-Boleh berma'mum kepada orang yang tidak berniat untuk menjadi Imam.

Perkataan "Barangsiapa bangun di waktu malam, dan membangunkan keluarganya(isterinya)....." itu, Kata Syarih: Hadis ini menunjukkan dianjurkannya seseorang membangunkan keluarganya(isterinya), diwaktu malam untuk Solat; Dan juga menunjukkan sahnya berjama'ah yang dilakukan oleh seorang laki-laki bersama perempuan. Inilah pendapat ahli Fiqh.

Selanjutnya Syarih berkat: Sesiapa yang menolak pendapat ini, harus membawa dalil.

Zakat Fitrah (Sudut Feqah)

ZAKAT FITRAH

1-Sumber Rujukan utama: Fiqh Manhaji(Kitab Fikah Mazhab Syafie)
2-Sumber Rujukan untuk nota keterangan:Kitab Fiqih Islami Wa Adillatuhu(Fiqih Empat Mazhab)

Pengertian
    Zakat fitrah ialah harta pada kadar tertentu yang wajib dikeluarkan ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu keatas mukallaf dan orang yang dibawah tanggungannya.

Pensyariatannya
Mashyur dalam Al-sunnah difardhukan pada tahun kedua hijrah, iaitu pada tahun yang difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Dalil wajib zakat ialah hadis riwayat Bukhari(1433) dan Muslim(984).Lafaz hadis oleh Muslim  daripada Ibnu Umar r.a katanya:
"Rasulallah S.A.W telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan keatas setiap orang samaada orang yang merdeka atau hamba,lelaki atau perempuan daripada kalangan orang-orang Islam,dengan satu gantang tamar atau satu gantang gandum.

Syarat-syarat Wajib Zakat Fitrah

Zakat fitrah diwajibkan dengan tiga Syarat:

1. Islam. Oleh itu ia tidak wajib keatas orang kafir dengan suatu kewajipan yang dituntut di dunia ini berdasarkan hadis terdahulu daripada Ibnu Umar r.a.

2.Terbenam matahari pada akhir Ramadhan.Oleh itu sesiapa yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari tersebut, diwajibkan zakat fitrah keatasnya samada dia mati setelah dia mampu mengeluarkannya ataupun mati sebelum daripada itu.
      Ini berlainan dengan sesiapa yang dilahirkan selepas terbenam matahari, dia tidak diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Begitu juga sesiapa yang mati sebelum terbenam matahari,dia tidak diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah.Berlainan pula dengan sesiapa yang dilahirkan sebelum terbenam matahari,dia diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah.
 
3.Memiliki harta yang melebihi keperluan makan untuk diri dan tanggungannya pada hari raya dan malamnya, serta keperluan untuk tempat tinggal dan khadamnya jika dia memerlukan kepada khadam.
     Jika hartanya tidak mencukupi untuk untuk perbelanjaan atau nafkah pada hari raya dan malamnya untuk diri dan orang-orang yang dibawah tangungannya maka ia tidak dikenakan zakat fitrah.
     Jika dia mempunyai harta yang cukup untuk hari raya dan malamnya, tetapi tidak cukup untuk hari-hari selepas itu, dia diwajibkan juga mengeluarkan zakat fitrah dan alasan tidak cukup untuk hari-hari selepas itu tidak diambil kira.

Golongan yang Seseorang Mukallaf Wajib mengeluarkan Zakat Fitrah untuk Mereka

Sesiapa yang cukup syarat-syarat diatas wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya,orang yang dibawah tanggungannya seperti kedua ibubapa, datuk,nenek, anak-anak dan isterinya.
      Oleh sebab itu tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah kepada anak yang sudah baligh yang mampu berusaha sendiri mencari rezeki,dan juga kepada sesiapa sahaja dari keluarga terdekat yang tidak ditaklifkan kepadanya untuk memberi nafkah (yang bukan dibawah tanggunganya). Malah tidak sah mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak mereka kecuali dengan izin dan sebagai wakil mereka.
      Jika dia mempunyai sedikit kemampuan yang tidak mencukupi untuk semua kaum keluarga yang berada di bawah tanggungannya,maka ia hendaklah mendahulukan dirinya, kemudian isterinya,anak yang kecil,ayah kemudian ibunya dan seterusnya anaknya yang telah dewasa yang tidak mampu berusaha sendiri mencari rezeki.

Zakat Fitrah Jenis dan Kadarnya

Jenis dan kadar zakat fitrah ialah segantang makanan asasi bagi sesebuah negeri yang mukallaf bermukim Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar yang lalu dan hadis riwayat al-Bukhari(1439) daripada Abi Said al-Khudri r.a katanya:
"Kami telah mengeluarkan zakat dizaman Rasulullah S.A.W pada raya fitrah segantang makanan. Makanan kami ialah gandum,anggur kering,keju dan tamar."

Gantang yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W menyamai 4 cupak.Ia menyamai 3 altar atau lebih kurang 2400g.

Makanan asasi dinegara kita(perngarang) sekarang ialah gandum. Oleh itu zakat fitrah yang wajib keatas setiap individu ialah sama dengan 3 altar.Dalam mazhab imam syafi'e ia tidak  memadai jika dikeluarkan dengan nilaian. Bahkan mestilah dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri.
   Walaubagaimanapun,dizaman sekarang tidak mengapa mengikut mazhab imam Abu Hanifah r.a. dalam masaalah tersebut iaitu harus mengeluarkan dengan nilaian. Ini kerana pada hari ini mengeluarkan dengan nilaian lebih memberi munafaat kepada orang fakir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Waktu mengeluarkan Zakat Fitrah

     Waktu wajib telahpun kita nyatakan iaitu mulai terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadhan.
    Waktu harus mengeluarkannya ialah di sepanjang bulan Ramadhan dan Hariraya pertama.
    Waktu sunat mengeluarkannya ialah pada waktu subuh hari raya sebelum keluar untuk solat hari raya. Ini dinyatakan dalam hadis Ibnu Umar r.a dan juga dalam hadis riwayat Al-Bukhari(1432):
"Dan Baginda memerintahkan  supaya kamu menunaikan(zakat fitrah) sebelum orang ramai keluar pergi solat."

    Waktu makruh mengeluarkannya ialah selepas waktu solat hari raya hingga akhir hari raya. Sekiranya ia melewatkannya hingga selepas dari itu(selepas terbenam matahari pada hari raya), maka dia berdosa dan wajib menqada'kannya.

Keterangan Tambahan;

Waktu Diwajibkan Zakat Fitri(ada dua pendapat)

Sumber rujukan:Kitab Fiqih Islami Wa Adillatuhu(Fiqih Empat Mazhab)

    Para Fuqaha mempunyai dua pendapat mengenai waktu diwajibkannya zakat fitrah dan hal yang menyertainya. Hanafiyyah berkata zakat fitrah diwajibkan ketika terbitnya fajar pada hari raya i'dul fitri, kerana zakat tersebut disandarkan kepada I'dul Fitri.
Penyandaran tersebut berfungsi untuk ikhtishah(menghususkan).Pengkhususan untuk I'dul Fitri dilakukan pada hari itu bukan pada malamnya.Kerana, maksud dari fitri adalah lawan kata dari shaum(puasa), dan itu dilakukan di harinya bukan malamnya. Sebab puasa pada hari itu hukumnya haram.

Jumhur Fuqaha berkata zakat fitrah wajib sebab tenggelamnya matahari pada malam hari raya I'dul Fitri, iaitu malam pertama hari I'dul Fitri. Kerana, zakat fitrah dalam keterangan hadis-hadis yang disandarkan kepada fithr(berbuka) dari puasa Ramadhan. Maka, dimulai wajib menunaikannya ketika tenggelamnya matahari, kerana penyandaran tersebut berfungsi untuk pengkhususan.
Berbuka pertama yang terjadi diseluruh bulan Ramadhan dan tidak ada kewajipan puasa setelahnya adalah setelah tenggelamnya matahari pada malam I'dil Fitri dan selesainya puasa dengan tenggelamnya matahari.
     Sebab perbezaan antara jumhur fuqaha dan Hanafiyyah adalah apakah zakat fitrah merupakan ibadah yang berkaitan dengan hari raya I'dul Fitri atau dengan selesainya bulan Ramadhan; kerana malam I'dul Fitri bukan termasuk bulan Ramadhan.



Monday, 7 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Afadhah (أَفَاضَ ) dari Arafah

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

Apakah erti Afadhah (أَفَاضَ) ?
            Ketika anda mengisi sebiji gelas dengan air atau apa pun sehingga melimpah dan tumpah keluar, maka tumpahan yang melimpah dari gelas itulah yang dinamakan al-Faidh, ‘yang tertumpah dari kesatuannya’
Perhatikan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah 198:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu (tumpah keluar أَفَضْ - أَفَاضَ)bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.
            Firman Allah Ta’ala di atas : “Apabila kamu tumpah keluar dari Arafah” merupakan suatu hukum yang belaku setiap kali padang Arafah dipenuhi padat dengan para Jemaah. Pada waktu mereka keluar meninggalkan padang itu, anda akan melihat Jemaah haji bagaikan tumpahan yang melimpah-limpah dari sebuah bekas. Itulah hukum Allah dalam haji. Kalau anda menyaksikannya, anda akan melihat para Jemaah haji keluar dari Arafah serupa sepeerti anda melihat sebuah wadah yang sedang menumpahkan kelebihan isinya.Anda terpegun, tidak tahu daripada mana datangnya Jemaah haji yang seramai itu. Mereka keluar beramai-ramai menuju Muzdalifah dan terus ke Mina.
Jemaah kaum Muslimin di Arafah seolah-olah suatu kesatuan umat Muslimin yang terikat erat lahir dan batinnya dan tidak terbilang jumlahnya. Namun ketika matahari terbenam pada petang hari, mereka semua mulai keluar meninggalkan padang Arafah bagaikan air bah yang melimpah keluar dengan deras. Demikianlah Allah Ta’ala melukiskan tumpahnya Jemaah haji keluar meninggalkan padang Arafah.

            Anda akan hairan dan takjub merenung orang keluar menuju Muzdalifah. Dari mana saja datangnya manusia sebanyak itu? Semua lembah dan jalan dipenuhi para Jemaah, baik yang berjalan kaki mahupun yang berkenderaaan, bagaikan sebuah banjir yang dahsyat dan mengerikan. Sesudah itu terjadi lagi ifadhah dari Muzdalifah ke Mina, sepertri firman-Nya dalam surah al-Baqarah:199:
ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun(أَفَاضَ) dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

            Para Jemaah diperintahkan memperbanyakkan berzikir dan fikir, meningkatkan syukur dan istighfar atas berbagai kurnia Allah yang telah diberikan kepadanya, yang telah mempermudahkannya sampai di tempat yang berkeberkatan dalam keadaan mukmin, dan In syaa Allah dikembalikan dalam keadaan terampun daripada dosa-dosa yang lalu. Allah juga memerintahkan kita untuk mengingati-Nya sebagaimana Dia menunjukkan kepada kita. Petunjuk-nya pasti merupakan jalan pintas menuju kebaikan dan keampunan-Nya. Allah telah memudahkan bagi anda untuk tiba di tempat itu dalam keadaan sihat rohani dan jasmani. Perhatikan firman Allah Ta’ala berkenaan ‘Arafah dalam surah al-Baqarah 198:
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu (tumpah keluar أَفَضْ )bertolak turun dari padang Arafah(عَرَفَاتٍ ) (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

            Orang-orang sebelum Islam bertawaf dalam keadaan telanjang. Mereka bertepuk tangan sambil bersiul mengelilingi Kaabah. Maka Allah Ta’ala berkenan memberi petunjuk kepada mereka bagaimana cara berhaji yang benar, yang berguna untuk mengampuni timbunan dosa.

Sunday, 6 September 2015

Rahsia Haji Mabrur: Asal Usul Pemberian Nama Arafah

Sumber rujukan: Rahsia Haji Mabrur oleh Prof  Dr. Muhammad Mutawali Asy-Sya’rawi

Perhatikan firman Allah Ta’ala berkenaan ‘Arafah dalam surah al-Baqarah 198:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu (tumpah keluar أَفَضْ )bertolak turun dari padang Arafah(عَرَفَاتٍ ) (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.
Perkataan Arafah kini sudah menjadi nama tempat. Namun asal usul penamaannya lebih daripada hanya sebuah kisah.Ada yang mengatakan  bahawa ketika Adam dan Hawa as. diturunkan dari syurga.Kedua-duanya telah terpisah.Ini berdasarkan firman-Nya dalam surah Thaha 123:

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ
Allah Ta’ala berfirman:Turunlah kamu berdua daripada syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain.Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.

Adam dan Hawa diturunkan berpisah tempat .Masing-masing mencari teman hidupnya sehingga mereka berjumpa kembali di suatu tempat bernama Arafah atau Arafat.
            Kisah mengenai Adam dan Hawa berjumpa mereka di Arafat memerlukan penjelasan.Kita bayangkan keadaan Adam dan Hawa as. yang asalnya hidup berkasih-kasihan di syurga.Semua keperluan mereka tersedia secukupnya daripada Allah Ta’ala.Tapi kini di dunia mereka harus menerima hidup terpisah.Masing-masing mencari keperluannya sendiri untuk mempertahankan kehidupannya.Mereka melihat ke depan, kebelakang, ke kanan dan ke kiri.Namun tidak ditemui seorang manusia pun yang tentu membuatkan  mereka berasa senang sekali.Apalagi kalau berjumpa dengan teman hidupnyasendiri yang selama ini selalu hidup bersama dengan penuh kebahagiaan di syurga. Merka berpusing ke sana ke mari mencari teman hidupnya dengan penuh rasa rindu mengenagkan masa-masa lalu yang indah.Akhirnya mereka berdua berjumpa di Padang Arafah, dan sejak itulah kedua-duanya tidak pernah berpisah lagi, kecuali maut
Ada kisah lain yang mengatakan  bahawa para malaikat mengingatkan Adam dan Hawa as. setelah kedua-duanya diturunkan ke bumi, iaitu di Arafah.Ini bertujuan agar mereka mengakui dosa-dosanya dan memohon keampunan daripada Allah.

            Adam dan Hawa mematuhi nasihat malaikat seperti yang dipaparkan al-Qur’anul Karim tentang doa, pengakuan dosa dan permohonan ampun mereka dalam surah al-A’raf 23
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Kedua-duanya berkata: “Ya Robb kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.

Kemudian dikatakan bahawa Adam dan Hawa telah mengetahui(‘Arafa) dosanya. Mereka juga mengetahui (‘Arafa) caranya bertaubat.

Marilah pula kita semak kisah Ibrahim as. bagaimana Allah memberitahukan kepadanya (‘Arrafahu) tentang tempat bernama Arafah itu.
            Pada suatu petang ketika sedang tidur, Ibrahim melihat dalam mimpinya dia sedang menyembelih puteranya ,Ismail.Sungguhnya ini merupakan masalah yang amat besar, yang sukar dibayangkan oleh jiwa seorang bapa terhadap anaknya.Apalagi Ismail adalah anaknya yang tunggal. Perkara ini tentunya amat sukar dan berat sekiranya dia harus menyembelih anaknya yang satu-satunya itu dengan kedua-dua tangannya sendiri. Kerana itulah setelah bermimpi, Ibrahim duduk mendalami fikiranya dengan cermat. Sebab itu hari Arafah juga dinamakan dengan hari tarwiyah(renungan). Setelah dia yakin bahawa mimpinya benar dan dia harus menyembelih puteranya maka dia menamakan tempat mengetahui hakikat mimpinya itu dengan nama Arafah.
            Ada pula kisah yang mengatakan bahawa Ibrahim as. diberitahu Jibril cara menunaikan kewajipan haji di tempat ini. Jibril bertanya, “Arafta, (tahukah anda)?” Ibrahim menjawaab, “ ‘Araftu’ (Aku mengetahuinya). “Dengan demikian boleh  jadi ini bererti bahawa di tempat itu manusia mengenali Robbnya, dan manusia datang ke tempat itu untuk mengakui dosanya serta untuk memohon keampunan Robbnya dengan penuh rasa rendah diri.
Dengan itu asal usul penamaan tempat itu sebagai Arafah dan kegiatan ibadah pada hari itu dengan hari Arafah atau Tarwiyah, tidak diragukan bahkan hari itu merupakan hari mulia, yang dibanggakan Allah Ta’ala kepada para hamba-Nya.Ini dijelaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud:

“Lihatlah hamba-hamba-Ku itu.Mereka telah meninggalkan semua yang dimilikinya dan mendatangi-Ku dengan kusut dan berdebu, memohon keampunan dan rahmat-Ku. Aku bersaksi dengan kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka…”
            Di Arafah kita melihat persamaan yang merata dan kewujudan yang utuh bagi para Jemaah haji yang datang ke Baitullah al-Haram.Tidak seorang pun yang tertinggal. Pada waktu yang sama mereka mengakhiri wuqufnya bersamaan dengan terbenamnya matahari di hari Arafah.Tempat ini merupakan satu-satunya tempat manusia berkumpul dalam keadaan dan waktu seperti itu.
            Kita memasuki Makkah denagan rombongan dan pada waktu yang berbeza, sesuai dengan kesepakatan rombongan masing-masing.Ada yang masuk dua minggu sebelum haji dan ada pula rombongan yang datang satu hari sebelum haji.Waktu  pulang pun tiap-tiap rombongan menetapkan waktunya sendiri, sesuai dengan kesepakatan rombongan. Yang tinggal di Makkah pun berbeza-beza juga sesuai dengan kemampuannya. Ada yang tinggal di hotel mewah, dan ada pula yang tinggal di rumah kecil murah.Bahkan ada juga yang tidur beralaskan pasir, sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing.
            Namun di Arafah, keadaan tidak sedemikian.Semua jenis bangsa warna kulit dan bahasa, berbagai pangkat dan jawatan harus memperlihatkan kebersamaan yang utuh.Semua berkumpul dalam sebuah padang dan pada waktu yang sama.Pakaian pun sama dan seragam, tidak ada bezanya antara yang kaya dan yang miskin, yang pangkatnya tinggi dan yang rendah, yang bangsawaan dan fakir.Tidak ada rasa sombong dan angkuh. Semua merendahkan diri mengharapkan keampunan daripada Pencipta Yang Maha Agung, Allah Subhanahuwata’ala.
            Pada hari ini,ketika semua orang menyingkirkan semua rasa sombong dan angkuhnya, sifat jahat dan dengkinya.Allah Ta’ala segera melimpahkan maghfirah dan rahmat-Nya. Kerana sememangnya, yang memisahkan kita daripada maghfirah dan rahmat Allah adalah kesombongan dan kezaliman kita. Pada hari ini kita menyedari bahawa apa yang kita bangga-banggakan selama ini bukan daripada kita tetapi semua kepunyaaan Allah. Maka tergeraklah hati semua orang untuk mengabdikan diri kepada Zat yang mencipta dan memiliki semua.Pada hari yang sama Pencipta berfirman yang bermaksud;
“Meraka para Jemaah itu layak mendapatkan maghfirah dan rahmat-Ku”.
Sesungguhnya sikap keras kepala, sombong, ingin menonjolkan diri dan kelebihan peribadi terhadap saudara sesama kita menjadi penyebab yang menyingkirkan maghfirah dan rahmat Allah.

Sebagai contoh, kami bawakan suatu peristiwa di zaman Rasulullah SAW.
            Pada suatu hari Rasulullah SAW. keluar hendak memberitahu kepada para sahabatnya tentang datangnya Lailatul Qadar.Dalam perjalanannya, Rasulullah SAW. menemui dua orang sahabatnya memperdebatkan sesuatu masaalah sehingga Rasulullah SAW.lupa menyampaikan maksudnya itu.Gara-gara peristiwa itu sahabat itu telah rugi kerana Lailatul Qadar berlalu tanpa pengetahuan mereka. Jadi, pertengkaran dan permusuhan mencegah limpahan kebaikan dalam masyarakat. Sedangkan kerukunan serta persatuan yang merindukan limpahan kurnia Allah Ta’ala yang dilakukan dengan keikhlasan dan ketulusan hati akan mampu mengundang rahmat dan menerima limpahan kurnia Robbnya.
Pada hari Arafah banyakkan doa, makbulkan.Setiap orang mengangkat wajahnya kelangit dan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas dengan penuh khusyuk dan ikhlas. Mereka tidak peduli dengan udara hari itu yang sedang membakar dengan teriknya, atau sedang membeku dinginnya. Semua berdiri khusyuk. Semua pasrah menyerah dan merendah diri kepada Allah Rabbul ‘Alamin.

            Di Padang Arafah Allah Ta’ala menurunkan rahmat-Nya kepada Jemaah Arafah.Allah Ta’aala juga melimpahkan maghfirah-NYa kepada mereka yang ikhlas den sesuai dengan bimbingan rasul-NYa, memohon keampunan. Kalau anda sudah bertekad wuquf di Arafah untuk itu semua dan selama Allah sudah berkenan melimpahkan berbagai maghfirah dan rahmat-Nya, maka selayaknyalah sepulangannya anda dari Arafah, anda tidak berkata-kata dan berbuat sesuatu yang boleh mendatangkan murka Allah Ta’ala.
Manfaatkanlah kesempatan menunaikan ibadah haji kerana ia juga untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa. Janganlah  anda tergelincir oleh bisikan syaitan sedikit pun. Rahmat-Nya sudah memenangkan anda atas tipu daya syaitan. Meskipun adakalanya ia berhasil menggelincirkan anda iaitu saat anda lemah.

Sedarlah selalu bahawa syaitan tidak akan membiarkan anda  sekejappun. Setiap kali iman anda meningkat, maka setiap itu pula kegiatan syaitan menggoda dan menjerumuskan semakin meningkat. Mereka terus berusaha supaya anda terpedaya dan melakukan maksiat terhadap Allah.
            Anak cucu iblis terdiri daripada syaitan-syaitan daripada bangsa jin dan manusia. Mereka menggelincirkan orang dengan berbagai dosa yang lebih rendah daripada keimanan. Mereka menghasut manusia agar melakukan dosa-dosa lain dengan janji kenikmatan dan kejayaan yang hampa, misalnya dalam perbutan zina, rasuah, minum minuman keras,judi,makan riba , dan sebagainya. Itulah tugas tetap anak cucu iblis setiap hari. Sedangkan iblis sendiri menggerogoti keimanan kaum mukmin pada puncak aqidahnya kepada Allah Ta’ala. Ia berusaha menimbulkan keraguan anda pada kewujudan Allah, pada wahdaniyah dan kemahakuasaan-Nya, kepada kebenaraan Al-Qur’an Karim, dan pada kebenaran risalah yang dibawa Muhammad SAW. Ia sentiasa menimbulkan was-was dan ragu-ragu dalam hati dan fikiran manusia, sehingga manusia merasa ragu-ragu menyandang imannya dan rela tidak beriman, bahkan tidak keberatan menjadi kafir. Naudzu billah min dzalik

Friday, 4 September 2015

Sudut Feqah: Hadyu(Qurban Binatang Ternak yang dihadiahkan Kepada tanah suci)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

Dalam bahasa Arab, Hadyu ertinya sesuatu yang dihadiahkan(dikirim dan dipindahkan).
Dalam istilah syariat, Hadyu adalah haiwan ternak (unta,lembu dan kambing) yang dihadiahkan ke Tanah Haram(Tanah Suci) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.

Membawa al-Hadyu (haiwan qurban) adalah sunnah bagi orang yang hendak berihram haji atau umrah.

Dalil
Dalilnya berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Hajj:36-37

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.

Bahagian-bahagian Hadyu
Al-Hadyu terbahagi kepada dua jenis:

Pertama: Sunat. Adalah hadyu bagi seseorang yang melakuakan haji secara Ifrad dan Umrah secara Ifrad.
Kedua: Wajib. Adalah terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

1-Diwajibkan ke atas orang yang melakukan haji secara Qiran
2-Diwajibkan ke atas orang yang melakukan haji secara Tamattu’
3-Diwajibkan ke atas seseorang yang meninggalkan salah satu daripada wajib haji, seperti melontar jumrah,tidak berihram dari miqat, menggabungkan antara malam dan siang ketika wuquf di Arafah, menginap di Muzdalifah atau Mina atau meninggalkan Tawaf wada’
4-Diwajibkan keatas seseorang yang melanggar salah satu daripada larangan ihram kecuali menjima’ isteri, misalnya memotong rambut dan berharum-harum.
5-Diwajibkan kerana menceroboh kesucian tanah suci, seperti menangkap binatang buruannya, atau memotong kayu-kayunya. Semua ini dihuraikan pada bahagian masing-masing(dalam bab Dam)
Haiwan-haiwan Hadyu dan yang lebih afdhal untuk diqurbankan

            Para ulama berijma’ bahawa haiwan hadyu adalah haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing. Terkadang dipakai istilah dam atau nusuk untuk menyebut hadyu.(Yang di maksud dengan dam atau nusuk adalah haiwan yang disembelih: yaitu kambing, kerana kaum muslimin berijma’ bahawa kambing sah sebagai fidyah mencukur rambut,memotong kuku, dan sejenisnya- rujuk: bab dam bagi haji atau umrah). Ulama juga berijma’ bahawa  yang afdhal ialah unta,kemudian, lembu, kemudian kambing.dan mengikut susunan haiwan ini.Sebab, unta lebih besar munafaatnya bagi fakir miskin, begitu juga lembu lebih munafaat berbanding kambing.Namun ulama berselisih pendapat mengenai manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang ingin berkorban, apakah memberikan sepertujuh unta, sepertujuh lembu atau seekor kambing? Pada zahirnya, apa yang perlu diambil kira adalah berdasarkan pertimbangan yang lebih banyak munafaatnya bagi fakitr miskin.
Syarat-syarat al-Hadyu
Terdapat beberapa syarat dalam melakukan ai-hadyu,iaitu:
1-Hendaklah haiwan tersebut sudah besar.Maka al-Jadza’ atau yang lebih besar daripadanya sudah dianggap memadai. Al-Jadza’ ialah kambing yang telah mencapai umur enam bulan dan gemuk badanya. Seekor unta dikatakan besar apabila telah berumur dua tahun;  kambing apabila telah berumur cukup setahun. Apabila haiwan-haiwan ini telah mencapai umur yang disebutkan tadi, maka ia boleh dijadikan haiwan qurban.
2-Hendaklah sihat dan tidak cacat. Oleh yang demikain, tidak dibolehkan berkorban dengan haiwan yang pincang, buta sebelah,berkurap atau kurus.

            Dari al-Hasan, bahawa menurut pendapat mereka, jika seseorang membeli unta atau haiwan qurban yang lain dan ketika itu telah pun memenuhi syarat, kemudian menjadi pincang, juling sebelah atau kurus kering sebelum hari qurban, maka hendaklah diteruskan untuk menyembelihnya, kerana yang demikian itu sudah dianggap memadai.(Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur).  Ibnu Abdul Barr berkata: “Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Juraij, Habib al-Mua’lim dan lain-lain dari Atha’”, Katanya: “Setiap al-Hadyu yang sampai ketanah suci lu di sembelih, maka itu sudah memadai.” Rujuk al-Istizkar, jil: 12hlm: 286
Sunat memilih al-Hadyu

            Diriwayatkan oleh Malik dari Hisyam bin Urwah dari bapanya, bahawa bapanya pernah mengamanahkan kepada anak-anaknya dengan berkata: “Wahai anak-anakku! Jangan ada antara kamu yang memberikan haiwan qurban bagi Allah, sedang dia sendirinya  malu memberikan haiwan tersebut untuk orang yang dihurmatinya. Allah adalah yang paling terhormat antara yang berhormat, dan lebih layak untuk mendapat barang pilihan”.
Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur bahawa Ibnu Umar ra. berjalan sekitar Makkah sambil mengendarai seekor unta betina. Dia berkata’”Alangkah bagusnya unta ini!” Unta ini sangat disenanginya. Lantas dia pun turun dan memadai haiwan itu lalu menghadiahkan untuk dijadikan sebagi Qurban. Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah dengan lafaz; yang bermaksud“ Umar telah menghadiahkan seekor unta bertina”. Al-mushannaf, jil 4. Hlm

Waktu penyembelihan
            Para ulama berbeza pendapat mengenai waktu penyembelihan al-Hadyu. Menurut al-Syafei, waktu penyembelihan ialah pada hari-hari tasyriq. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW. yang bermaksud:
“Seluruh hari tasyrik merupakan waktu penyembelihan”. HR Ahmad(Musnad Ahmad)
Jika tidak sempat menyembelih pada waktu tersebut, maka al-hadyu wajib mesti disembelih secara qadha’. Menurut Malik dan Ahmad, waktu penyembelihan al-hadyu, samaada al-hadyu wajib mahupun al-hadyu sunat, ialah pada hari qurban. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi bagi al-hadyu tamattu’ dan qiran. Tetapi jika ia merupakan haiwan nazar, kifarat atau sunat, maka boleh disembelih pada bila-bila masa. Diceritakan dari Abu Salmah bin Abdur Rahman dan an-Nakha’i mengenai waktu penyembelihan adalah bermula dari hari qurban hingga akhir  bulah Zulhijjah.
Tempat penyembelihan al-Hadyu

            Al-Hadyu sama ada wajib mahupun sunat tidak boleh disembelih kecuali di tanah Suci. Seseorang yang berkenaan dibolehkan memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk menyembelih al-Hadyu tersebut . Dari Jabir ra., bahawa Rasulullah SAW. bersabda,yang bermaksud:
“Seluruh Mina merupakan tempat penyembelihan, seluruh Muzdalifah merupakan tempat wuquf, dan seluruh celah-celah bukit di Kota Makkah merupakan jalan dan tempat penyembelihan”. HR Abu Daud dan Ibnu Majah
Namun seseorang yang menunaikan haji diutamakan menyembelihnya di Mina, sedang  seseorang yang berumrah diutamakan menyembelihnya di Marwah.Sebab, kedua-dua tempat ini merupakan tempat bertahallul bagi setiap haji dan umrah.Dari Malik katanya yang bermaksud,
“Dia mendapat berita bahawa Nabi SAW. bersabda sewaktu berada di Mina: ‘Ini adalah tempat penyembelihan,dan seluruh Mina merupakan tempat penyembelihan’. Ketika berumrah, beliau bersabda: ‘Ini iaitu al-Marwah adalah tempat penyembelihan, dan seluruh celah-celah Makkah dan jalan-jalannya merupakan tempat penyembelihan’.Muwattha’ Malik
Tukang sembelih tidak boleh menerima upah kerana sembelihan al-Hadyu

            Tukang sembelih tidak dibolehkan menerima upah dari menyembelih al-Hadyu, tetapi tidak mengapa apabila seseorang bersedekah kepadanya.Hal ini bedasarkan keterangan Ali ra.,katanya yang bermaksud;
“Aku diperintahkan Rasulullah SAW. untuk menguruskan penyembelihan unta-untanya, mengagihkan kulit dan dagingnya dan aku diperintahkan agar tidak memberikan sesuatu pun daripadanya kepada tukang senbelih.Ulasnya lagi: ‘Kami memberinya imbalan dari harta kami sendiri’. Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama hadis
Hadis ini menegaskan bahawa dibolehkan mencari wakil sebagai pengganti diri seseorang yang berkorban untuk menguruskan penyembelihan qurban dan mengagihkan daging, kulit dan lemaknuya. Ia juga menegaskan bahawa tidak boleh sedikitpun diberikan kepada tukang sembelih sebagai upah, walaupun upahnya itu tetap harus dibayar berdasarkan katanya:’Kami memberinya imbalan dari harta kami sendiri.(diriwayatkaan oleh Bukhari). Diriwayatkan oleh al-Hasan bahawa dia pernah mengatakan: “Tidak mengapa apabila tukang sembelih itu diberi kulitnya. HR  dari Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair dan berkata: “Hadis ini tidak bermasaalah”. Al-Mushannaf oleh Ibnu Abu Syaibah, jil 4,hlm 298

Memakan daging al-Hadyu
Allah ta’ala berfirman dalam surah al-Hajj 28,

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
…Maka makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah pula orang yang malang lagi miskin.
Perintah ini pada zahirnya merangkumi al-Hadyu wajib dan al-Hadyu sunat. Dalam masaalah ini terjadi perbezaan pendapat di kalangan ulama. Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat bahawa dibolehkan memakan al-Hadyu dari denda tamattu’, denda qiran dan al-Hadyu sunat, namun tidak dibolehkan memakan al-Hadyu selain daripada itu.Malik berkata;”seseorang dibolehkan memakan daging al-Hadyu yang disembelih disebabkan batalnya atau rosaknya ibadah haji, al-Hadyu tamatthu’ dan al-Hadyu yang lain, kecuali bayaran fidyah kerana berbuat kerosakan, fidyah berburu, bayaran nazar untuk orang miskin, dan al-Hadyu sunat apabila mendapat kecelakan sebelum waktu penyembelihan.

            Menurut Syafie’, tidak dibolehkan memakan al-Hadyu wajib seperti bayaran dam kerana berburu,merosakan ibadah haji, al-Hadyu kerana tamatthu’ dan qiran serta nazar yang diakui sebagai kewajipannya. Bagaimanapun, al-Hadyu sunat boleh dimakan, dihadiahkan dan disedekahkan

 

Monday, 31 August 2015

Sudut Feqah: Sunat dan Adab-adab Ibadat Udhiyah(Qurban)

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)

2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

Pertama: Apabila masuk 10 Zulhijjah dan dia berazam melakukan ibadah qurban, dia disunatkan untuk tidak menghilangkan bulu atau memotong kukunya. Oleh itu, dia hendaklah menjaga kedua-duanya dengan baik. Imam Muslim (1977) meriwayatkan daripada Nabi SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin melakukan ibadat qurban, maka hendaklah dia menyimpan bulu dan kukunya”.
Kedua: Disunatkan kepada orang yang berqurban menyembelih binatang qurbannya sendiri. Sekiranya dia tidak boleh melakukannya kerana uzur atau lain-lain, maka dia hendaklah hadir bersama menyaksikan penyembelihan yang dilakukan. Al-Hakim(4/222) meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa  Rasulullah SAW. bersabda kepada Fatimah yang bermaksud:

“Bangunlah kepada qurbanmu dan saksilah ia kerana sesungguhnya (dengan tertitisnya) titisan darah yang pertama maka akan diampunkan dosamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah, ini adalah untuk kita Ahlil Bait sahaja atau untuk kita dan orang-orang Islam seluruhnya? Rasulullha menjawab: Bahkan untuk kita dan untuk orang-orang Islam seluruhnya”.
Ketiga: Sunat bagi hakim(pemerintah) orang-orang Islam atau pemimpin mereka untuk berqurban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam.Sesungguhnya diriwayatkan daripada Muslim(1967) yang bermaksud:

“Rasulullah SAW. telah korbankan seekor kibasy.Dan baginda mengucapkan semasa sembelih: Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan  umat Muhammad. Baginda menyembelih di tempat solat, di mana orang ramai berkumpul untuk solat. Dan Baginda menyembelih binatang tersebut dengan tangan Baginda sendiri.
Al-Bukhari meriwayatkan didalam sahihnya(5232) daripada Ibnu Umar ra. katanya yang bemaksud:

“Rasuluillah  SAW. menyembelih(binatang qurbannya) di tempat didirikan solat”.

Sudut Feqah: Apa Yang Dibuat Dengan Udhiyah(Qurban) Selepas Disembelih

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

            Sekiranya korban itu wajib: sama ada dengan nazar atau ditentukan sebagaimana yang telah dijelaskan, maka tidak harus bagi orang yang melakukan qurban dan mereka yang di bawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya  salah seorang daripada mereka memakan sedikit daripadanya, maka hendaklah diganti dengan daging yang lain  atau dibayar dengan nilaian (sekadar daging yang dimakan)
            Sekiranya qurban itu sunat, harus baginya makan mengikut kadar yang dikehendaki dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripadanya.Yang paling adhal ialah makan sedikt untuk keberkatan dan bakinya disedekahkan.Harus baginya  makan satu pertiga, dan satu pertiga disedekahkan kepada fakir dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-sahabat dan jiran-jiran sekalipun mereka adalah orang kaya.
            Walaubagaimanapun, apa yang diberikan kepada  orang kaya adalah hadiah untuk dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya.Dan apa yang diberikan kepada orang fakir adalah untuk dimiliki. Oleh itu dia bebas, sama ada hendak memakannya atau menjualkannya. Dalilnya firman Allah SWT. dalam surah Al-Haj 36:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Perkataan unta (الْبُدْنَ) yang terdapat di dalam al-Quran iaitu binatang unta yang disembelih oleh orang yang berihram haji untuk dihadiahkan kepada fakir miskin. Dan diqiaskan binatang-binatang qurban yang lain dengannya.

            Bagi orang yang berqurban, dia boleh sedekahkan kulit binatang qurbannya atau dimanafaatkan untuk dirinya.Tetapi tidak boleh dijual atau diberi kepada penyembelih binatang qurban sebagai upah kepada penyembelihannya. Ini kerana perbuatan tersebut  boleh menyebabkan kekurangan pada binatang qurban dan merosakkan ibadah qurbannya. Al-Baihaqi (9/294) meriwayatkan daripada Nabi SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menjual kulit binatang qurbannya maka tidak ada qurban baginya”.

 

 

Sunday, 30 August 2015

Sudut Feqah: Waktu Qurban (Udhiyah)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
            Waktunya bermula selepas terbit matahari hari raya haji sekadar sempat di tunaikan dua rakaat solat dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat hari raya. Disebut dalam hadis riwayat al-Bukhari (5225) dan Muslim (1961) yang bermaksud:

“Perkata pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami bersolat. Kemudian kami pulang dan menyembelih qurban. Oleh itu sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melakukan sunnah kami.Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah qurban sedikitpun”.
Makna perkataan: ‘Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu’ ialah sebelum masuk  waktu solat hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar sempat didirikan sembahyang.

Ibnu Hibban (1008) meriwayatkan daripada Jabir bin Mut’im ra. katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:

“Setiap hari Tasyriq adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih)”

Sudut Feqah: Binatang yang Disyariatkan Untuk Udhiyah (Qurban)

Sumber Rujukan:

1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)

2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

            Tidak sah qurban kecuali dengan unta atau lembu atau kambing.Ini berdasarkan firman Allah ta’ala dalam surah al-Haj 34:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.

            Perkataan binatang ternak (الْأَنْعَامِ ) sebagaimana dalam ayat di atas bermaksud tidak terkeluar daripada tiga jenis binatang ternakan iaitu unta, lembu dan kambing.
Juga berdasarkan bahawa tidak dinaqalkan/diriwayatkan daripada Nabi SAW. dan para sahabat bahawa mereka berqurban dengan binatang lain.
Yang paling afdhal ialah unta,kemudian lembu, kemudian kambing.
Harus qurban dengan satu bahagian daripada tujuh bahagian unta dan lembu (seekor unta atau lembu boleh dibahagi kepada tujuh bahagian). Diriwayatkan daripada Muslim(1318), daripada Jubir ra. katanya yanng bermaksud,
“Kami melakukan qurban bersama Rasulullah SAW. Pada tahun Hudaibiyah dengan dibahagikan seekor unta kepada tujuh bahagian dan seekor lembu juga dibahagikan kepada tujuh bahagian”.
Kalimah unta disini adalah termasuk unta jantan dan betina.
Syarat-syarat Binatang Qurban
1-Umur: Syarat unta mestilah umurnya sudah memasuki tahun keenam dan syarat bagi lembu dan kambing (al-Maiz) mestilah umurnya sudah memasuki tahun ketiga.
            Manakala syarat bagi kambing biri-biri (al-Dho’nu), mestilah umur sudah masuk tahun kedua atau gigi hadapannya telah gugur(kerana bersalin) walaupun belum sampai satu tahun. Ini berdasarkan hadis riwayat Ahmad(2/245) daripada Abu Hurairah ra. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik binatanng qurban ialah kambing biri-biri yang berusia dua tahun”
2-selamat (tidak cacat).Ketiga-tiga jenis binatang ternakan di atas mestilah tidak mempunyai kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Oleh itu kambing yang telah tiada otaknya disebabkan terlalu kurus, adalah tidak memadai untuk diqurbankan. Begitu juga binatang yang nyata tempangnya atau yang buta sebelah mata atau sakit atau yang terpotong sebahagian telingannya. Semua keadaan tersebut tidak memadai dan tidak sah untuk dibuat qurban.
Al-Tirmizi(497) dan Abu daud(2800) meriwayatkan daripada al-Barra’ bin Azib daripada Rasulullah SAW. sabdanya yang bermaksud:
“Empat perkara yang menyebabkan binatang qurban tidak memadai(tidak sah) untuk diqurbankan. Yang jelas matanya buta sebelah, yang jelas sakitnya, yang jelas tempangnya dan yang telalu kurus hingga tidak berotak.”
           Keaiban yang disebutkan diatas diqiaskan kepada semua jenis keaiban yang seumpamanya yang boleh menyebabkannya kurus dan kurang daging.

 

Sudut Feqah: Udhiyah(Qurban)

Sumber Rujukan:
 
1- Fiqh Manhaji(Fiqh Mazhab Syafi’e)
2- Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah al-Zuhaily

3- Fiqh Sunnah oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq

Pengertian
            Korban ialah binatang yang disembelih yang terdiri daripada unta,lembu atau kambing untuk mendekatkan diri kepada Allah pada hari raya.
Dalil Disyariatkan
Dalil disyariatkannya ialah firman Allah SWT. dalam surah al-Kauthar 2

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Al_Bukhari(5245) dan Muslim(1966) meriwayatkan dengan maksudnya:
Nabi SAW. telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut Nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.
Hikmat Disyariatkan

            Seharusnya diketahui bahawa korban merupakan satu ibadah kepada Allah Ta’ala, dan hikmah serta faedah bagi sesuatu ibadah(selain dari hikmahnya untuk menyatakan pengabdian diri dan tunduk kepada Allah), merupakan satu perkara yang pasti ada pada setiap ibadat-ibadat yang disyariatkan.
Diantara hikmat yang paling unggul dan jelas yang berkait dengan ibadat Qurban ialah menghidupkan erti pengorbanan yang besar yang telah dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim as. ketika Allah mengujinya dengan perintah supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah menebusnya dengan suatau penyembelihan yang agung iaitu seekor kibasy yang diturunkan oleh Allah dan memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelihnya sebagai tebusan kepada anaknya). Semuanya berlaku setelah nabi Ibrahim dan anaknya Ismail as. berusaha melaksanakan perintah Allah dengan keimanan yang benar dan yakin.

            Selain daripada hikmat tersebut, ibadat korban juga mengandungi pengertian pertolongan kepada orang-orang fakir dan orang yang memerlukan pertolongan.Serta menambah rasa gembira kepada mereka. ahli keluarga dan tanggungan pada hari raya.Dengan itu, akan lahirlah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dalam masyarakat Islam dan dapat menanam semangat hidup  bermasyarakat dan rasa kasih sayang ke dalam hati mereka.
Hukum Korban

            Hukumnya: Sunat Muakkad dan boleh menjadi wajib dengan dua sebab:
1-Apabila seseorang mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk qurban, seperti dia menyatakan: “Ini korbanku” atau “Aku akan qurbankan kambing ini”, ketika itu qurban menjadi wajib keatasnya.
2-Apabila dia mewajibkan keatas dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan qurban. Seperti dia berkayta: “Wajib ke atasku qurban kerana Allah”, Ketika itu, qurban menjadi wajib ke atasnya sebagaimana jika dia mewajibkan mana-mana ibadat lain keatas dirinya kerana perbuatan tersebut merupakan nazar yang wajib ditunaikan.

Siapakah yang dituntut supaya berkorban
            Sesungguhnya qurban disunatkan kepada sesiapa yang memenuhi syarat-syarat berikut:
1-Islam: Oleh itu ia tidak ditujukan kepada bukan Islam
2-Baligh dan beraqal: Oleh itu orang yang belum baligh dan tidak beraqal, gugur taklif tersebut daripadanya.
3-Berkemampuan: Dengan memiliki harta yang lebih untuk qurban iaitu melebihi daripada nafkah untuk dirinya dan mereka yang dibawah tanggungannya sama ada makanan, pakaian dan tempat tinggal, pada hari raya dan hari-hari Tasyrik