Friday 8 June 2018

Fidyah Puasa

Fidyah Puasa

Fidyah ialah kadar tertentu daripada makanan asasi setempat yang wajib dikeluarkan oleh orang tertentu sebagai ganti kepada puasa yang ditinggalkan

Dalil dari firman Allah Subhanahuwata'ala,

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Al-Baqarah,184

Dalil dari hadith,

أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَعِيلَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ قَالَ أَنْبَأَنَا وَرْقَاءُ عَنْ عَمْرِو بْنِ دِينَارٍ عَنْ عَطَاءٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ
فِي قَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ
{ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ }
يُطِيقُونَهُ يُكَلَّفُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ وَاحِدٍ
{ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا }
طَعَامُ مِسْكِينٍ آخَرَ لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ
{ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ }
لَا يُرَخَّصُ فِي هَذَا إِلَّا لِلَّذِي لَا يُطِيقُ الصِّيَامَ أَوْ مَرِيضٍ لَا يُشْفَى

Telah mengkhabarkan kepada kami Muhammad bin Isma'il bin Ibrahim dia berkata; telah menceritakan kepada kami Yazid dia berkata; telah memberitakan kepada kami Warqa' dari 'Amr bin Dinar dari 'Atha dari Ibnu 'Abbas tentang firman Allah Azza wa Jalla: "Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin." Berat menjalankannya ertinya: dibebani membayar fidyah, memberi makan satu orang miskin."Barangsiapa yang dengan kerelaan mengerjakan kebajikan." Memberi makan seorang miskin yang lain, bukanlah ayat yang mansukh, "tapi itulah yang baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu" dalam hal ini tidak diberikan keringanan kecuali bagi orang yang tidak mampu berpuasa atau sakit yang tidak diharapkan sembuhnya." Al-Nasai, 2278.

Orang yang meninggalkan puasa dilihat dari sudut tanggungan yang mesti dipikulnya terdapat dalam beberapa keadaan,

Fidyah sahaja,

1- Orang tua yang tidak berpuasa kerana tua dan tidak mampu berpuasa. Ia tidak wajib lagi qada puasa dan hendaklah mengganti dengan membayar fidyah.

2- Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh lagi, yakni sakit berpanjangan dan tidak mampu lagi berpuasa buat selamanya, tidak dituntut lagi mengqada puasa, akan tetapi hendaklah menggantikan puasanya dengan membayar fidyah.

Qada dan fidyah:

1- Wanita mengandung yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

2- Wanita menyusui anaknya yang berbuka puasa kerana anaknya.Ini adalah menurut mazhab Syafi'i dan Hambali adapun menurut mazhab Hanafi ia hanya wajib qada sahaja. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah,kitab al-Shiyam.

3- Terpaksa berbuka kerana menyelamatkan orang lain, seperti menyelamatkan orang yang sedang lemas. Al-Iqna' fi Halli Al-Fazh Abi Syuja', jil. 1 hlm. 352.

4- Orang yang melewat-lewatkan qada puasa dengan sengaja, hingga masuk Ramadhan yang baharu. Maka ia wajib membayar fidyah di samping mengqada puasanya. Semakin banyak tahun yang dilangkaui, makin banyaklah fidyah yang perlu dikeluarkan.

5- Orang yang mati meninggalkan puasa; ahli-ahli warisnya boleh memilih antara menggantikan puasa untuknya atau membayar fidyah.

Kadar fidyah:

Menurut Imam Syafie dan Ahmad, kadar fidyah bagi sehari yang ditinggalkan adalah satu mudd(satu cupak) iaitu 1/4 gantang atau suku gantang. Menurut ukuran hari ini ,satu cupak menyamai 650gram beras. Menurut Hanafi, kadar fidyah adalah setengah gantang.

Menurut mazhab Hanafi, fidyah harus dibayar dengan wang yang senilai dengan kadar fidyah tadi. Malah harus dengan memberi makan orang miskin, yakni menjemput orang miskin menikmatinya. Adapun mengikut mazhab al-Syafie, fidyah tidak harus dibayar degan wang dan tidak harus dengan menjemput orang miskin makan, yakni mesti dikeluarkan dengan beras (atau makanan asasi sesetengah tempat). Fiqh 'Ibadah. Syeikh Hasan Ayyub,hlm. 449.

Kepada siapa yang hendak diberi fidyah?

Fidyah hendaklah diberikan kepada orang miskin sebagaimana dinyatakan oleh ayat diatas يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ Dan tidak harus diberikan kepada orang lain. Satu fidyah hanya harus diberikan kepada seorang fakir miskin. Namun jika fidyah itu banyak, harus jika hendak diberikan kepada seorang atau beberapa orang fakir miskin dengan syarat bilangan mereka tidak boleh melebihi bilangan fidyah (supaya tidak berlaku satu fidyah diagihkan kepada lebih daripada seorang fakir miskin)

Bila fidyah boleh mula dikeluarkan?

Orang-orang yang harus berbuka puasa dan dikenakan fidyah tadi (iaitu orang sakit yang tiada harapan sembuh, orang tua yang tiada upaya lagi untuk berpuasa, wanita hamil dan wanita menyusu), harus mereka mendahulukan membayar fidyah sebelum berbuka, akan tetapi untuk fidyah bagi satu hari sahaja. Harus mereka mengeluarkan fidyah selepas fajar hari tersebut atau sebelum fajar (termasuk pada malamnya). Adapun ingin menyegerakan fidyah untuk dua hari (yakni untuk hari ini dan juga untuk besoknya), hukumnya tidak harus. Rujuk: al-Majmuk, juzuk 6, Kitab al-Zakah dan kitab al-Shiyam, Mughni al-Muhtaj,kitab al-Shiyam.

Rampaian:

1- Orang yang mengeluarkan zakat kerana merasakan sakitnya tidak akan sembuh lagi dan tidak mampu berpuasa, tiba-tiba dengan kehendak Allah sakitnya sembuh dan mampu berpuasa semula, maka ia wajib qada puasanya dan adapun fidyah yang dikeluarkan itu dikira sebagai sedekah.

2- Adapun orang yang tidak mampu membayar fidyah kerana dia miskin, maka fidyah itu tertanggung atas dirinya sehingga ia mampu membayarnya, yakni tidak gugur fidyahnya semata-mata kerana miskin. Jika ia berterusan miskin hingga akhir umurnya dan mati tanpa meninggalkan harta, ketika itu barulah fidyahnya gugur. Mughni al-Muhtaj,kitab al-Shaum,jil 1,hlm. 643.

No comments:

Post a Comment