Friday 8 June 2018

Kafarah Puasa

Kafarah Puasa

Kafarah bermaksud denda yang dikenakan ke atas seseorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh pada siang hari dalam bulan Ramadhan dengan sengaja.

Bagaimana mengeluarkan mani tanpa bersetubuh dan adakah kena kafarah?

Terdapat khilaf dalam perkara ini:
Menurut mazhab Hanafi dan Syafi'e, tidak dikenakan kafarah. Ini bermaksud, kafarah hanya dikenakan ke atas orang yang membatalkan puasa Ramadhan dengan bersetubuh sahaja. Menurut mazhab Maliki; seorang yang mengeluarkan mani dengan cara yang kebiasaannya mengeluarkan mani seperti mencium, berkhayal, menggauli isteri (istimta' tanpa bersetubuh) dan sebagainya, dikenakan kafarah ke atasnya apabila keluar mani. Rujuk: al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

Erti persetubuhan yang mewajibkan kafarah (apabila cukup syarat-syaratnya) adalah:

1- Menyetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat). Ini menurut jumhur (Imam Malik,al-Syafi'e, Ahmad dan Imam Abu Hanifah, menurut satu riwayat daripadanya; persetubuhan di dubur sama seperti faraj. Namun menurut satu riwayat lain daripada Abu Hanifah, persetubuhan difaraj tidak dikenakan kafarah. Rujuk: al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

2- Persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid (pernikahan yang tidak sah kerana tidak melengkapi rukun dan syarat). Samaada menyetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang (ini pandangan yang ashah (kuat) dalam mazhab al-Syafi'e dan juga pandangan mazhab Maliki. Namun menurut mazhab Hambali, sebahagian ulama mazhab al-Syafi'e dan satu pendapat daripada Imam Abu Hanifah; menyetubuhi binatang tidak dikenakan kafarah. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

Ada lima syarat persetubuhan yang mewajibkan kafarah:

1- Mengingati bahawa ia sedang berpuasa. Jika ia terlupa (semasa sedang melakukan persetubuhan itu) bahawa ia sedang berpuasa,tidaklah batal puasa dan tidak wajib atasnya kafarah. Ini berdalilkan kepada keumuman firman Allah :

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَآإِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا

“(Mereka berdoa): “Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah”. Al Baqarah : 286

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

“Sesungguhnya Allah mengampuni dari umatku, kesalahan, kelupaan dan keterpaksaan”. HR Ibnu Majah

Juga dengan hadith :

مَنْ أَفْطَرَ فِيْ شَهْرِ رَمَضَانَ نَاسِيًا فَلاَ قَضَاء عَلَيْهِ وَلاَ كَفَّارَة

“Siapa yang berbuka di bulan Ramadhan kerana lupa, maka tidak ada kewajipan mengqada dan tidak ada kewajipan kafarat”. HR Ibnu Hibban; Ad Daraquthni, 2/178 dan Ibnu Khuzaimah dalam Sahih-nya, no. 1990.

Menurut Ibnu Hajar, sebagian ulama Syafi’iyah berpendapat tidak wajibnya mengqada bagi orang yang berjimak. ini diambil dari keumuman sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebahagian riwayat hadith berbunyi: مَنْ أَفْطَرَ فِيْ شَهْرِ رَمَضَانَ , kerana berbuka lebih umum dari sekedar makan, minum atau jima’ saja. Fathul Bari (4/156).

Serta qiyas (analogi) pada hukum orang yang lupa makan dan minum pada siang Ramadhan. Sebagaimana pandangan Ibnu Al Mulaqin. Menurutnya, jimak (berhubungan suami isteri) pada siang hari pada bulan Ramadhan karena lupa, sama seperti makan kerana lupa. Ini adalah pendapat para sahabat kami (madzhab Syafi’iyah)

2- Mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah haram bagi orang yang sedang berpuasa.

3- Persetubuhan itu bukan berlaku kerana paksaan.

4- Puasa Ramadhan. Puasa yang dibatalkan itu ialah puasa Ramadhan. Jika puasa yang dibatalkan itu puasa qada, puasa nazar atau puasa kafarah, tidaklah dikenakan kafarah kerana hadith Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallamhanya menghkhususkan puasa Ramadhan dengan kewajipan kafarah tersebut, bukan puasa-puasa yang lain.

5- Tidak berada dalam musafir. Maka orang yang mendapat rukhsah kerana musafir yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, tidak wajib kafarah ke atasnya kerana syarak memberi keharusan kepada musafir untuk berbuka.

Dalil bagi kafarah:

أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ وَ فِيْ رِوَايَةٍ أَصَبْتُ أَهْلِيْ فِيْ رَمَضَانَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ- وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ- قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ عَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا -يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ -أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datanglah seseorang sambil berkata: “Wahai, Rasulullah, celaka !” Beliau menjawab,”Ada apa denganmu?” Dia berkata,”Aku berhubungan dengan isteriku, padahal aku sedang berpuasa.” (Dalam riwayat lain berbunyi : aku berhubungan dengan isteriku di bulan Ramadhan). Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata,”Apakah kamu mempunyai budak untuk dimerdekakan?” Dia menjawab,”Tidak!” Lalu Beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata lagi,”Mampukah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Dia menjawab,”Ttidak.” Lalu Beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya lagi : “Mampukah kamu memberi makan enam puluh orang miskin?” Dia menjawab,”Tidak.” Lalu Rasulullah diam sebentar. Dalam keadaan seperti ini, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam diberi satu ‘irq berisi kurma –Al irq adalah alat takaran- (maka) Beliau berkata: “Mana orang yang bertanya tadi?” Dia menjawab,”Saya orangnya.” Beliau berkata lagi: “Ambillah ini dan bersedekahlah dengannya!” Kemudian orang tersebut berkata: “Apakah kepada orang yang lebih fakir dariku, wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada di dua ujung kota Madinah satu keluarga yang lebih fakir dari keluargaku”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tertawa sampai tampak gigi taringnya, kemudian (Beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam) berkata: “Berilah makan keluargamu!” HR Bukhari dan Muslim; Bulugh al-Maram no 630.

Keterangan (kosa kata):
1. رَجُلٌ : Seorang lelaki namanya Salamah atau Sulaiman bin Shakhr Al Bayadhi
2. وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي: Aku menggauli istriku.
3. أَصَبْتُ أَهْلِيْ فِيْ رَمَضَانَ : Aku menggauli istriku (di siang) bulan Ramadhan.
4. وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ : Al araq adalah alat ukur (ini merupakan penafsiran dari perawi hadits).
5. الْعَرَقُ : Satu keranjang yang dapat menampung 15 sha’ sehingga sama dengan 60 mud.

Keterangan bagi hadith diatas:

Berdasarkan hadith di atas, orang yang sengaja melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Rsmadhan di samping ia wajib menggantikan puasanya yang terbatal itu, ia juga dikenakan kafarah seperti di bawah:

1- Membebaskan hamba Mukmin, samaada lelaki atau wanita.

2- Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa berselang). Oleh itu jika terputus turutan sekalipun kerana uzur seperti sakit, musafir, terlupa niat atau sebagainya,maka hendaklah dimulai senula puasa dari awal. Dikecualikan jika sebab putus itu kerana haid, nifas, gila dan pengsan yang masanya tidak lebih dari satu hari, kerana semua perkara ini menyebabkan puasa tidak sah dan lagipun terjadinya tanpa keinginan.

3- Jika tidak mampu, hendaklah diberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Contoh, bagi penduduk Malaysia adalah beras. Menurut ulama, seorang yang diwajibkan keatasnya kafarah dengan memberi makan (apabila ia tidak mampu melakukan dua yang sebelumnya) tidak harus ia memberikan makanan tersebut kepada ahli keluarganya sekalipun mereka miskin. Adapun yang tertera dalam hadith di atas tadi, ia merupakan kes khusus bagi lelaki dalam hadith itu sahaja. Lihat penjelasan ini dalam; al Fiqh al-Manhaji, jil. 2 hlm. 96.

4- Jika ia tidak mampu menunaikan mana-mana satu daripada tiga urutan di atas, kafarah tersebut kekal sebagai tanggungan atas dirinya hingga ia menunaikannya.

Menurut jumhur ulama (merangkumi mazhab Hanafi, al-Syafi'e dan Hambali), kafarah di atas bukanlah pilihan akan tetapi wajib mengikut urutan. Yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang pertama, maka itulah yang wajib atasnya. Jika ia tidak mampu yang pertama, barulah pergi yang kedua dan seterusnya yang ketiga.
Mamun menurut mazhab Imam Malik, kafarah tersebut ialah pilihan yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib adalah melakukan salah satu daripada tiga perkara tersebut.

Kepada siapakah dikenakan kafarah?

Menurut mazhab al-Syafi'i dan Ahmad, kafarah kerana persetubuhan hanya diwajibkan ke atas lelaki sahaja(suami) kerana dalam hadith di atas tadi, Rasulullah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruh lelaki itu sahaja membayar kafarah(tidak wajib kafarah ke atas isteri atau wanita yang disetubuhi walaupun ia juga sedang berpuasa kerana jenayah lelaki yang menyetubuhi itu lebih besar,maka munasabahlah hanya dia yang dikenakan kafarah. Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji, kitab al-Shiyam. Namun menurut Imam Malik dan Abu Hanifah, wanita(isteri) juga diwajibkan kafarah jika ia rela dengan persetubuhan itu, ketana ia juga turut bersetubuh, maka diwajibkan kafarah sebagaimana lelaki. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, kitab al-Shiyam.

Membatalkan puasa dengan makan atau minum,setelah itu barulah ia bersetubuh. Adakah diwajibkan kafarah ke atasnya?

Menurut mazhab al-Syafi'e, tidak wajib kafarah kerana kafarah hanya duwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jimak(persetubuhan).
Namun menurut jumhur (merangkumi Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad dan sebagainya), ia tetap dikenakan kafarah kerana melakukan persetubuhan ketika kewajipan puasa Ramadhan masih terbelenggu ke atas dirinya. Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa keuzuran,walaupun puasanya batal namun kewajipan puasa tetap tidak gugur daripadanya. Oleh itu, apabila ia bersetubuh, persetubuhan itu berlaku ketika kewajipan puasa atas dirinya masih berjalan(iaitu tidak gugur kewajipan puasa ke atas dirinya).

Pandangan yang rajih(kuat) bagi masaalah ini ialah pandangan jumhur kerana ia menutup pintu helah kepada orang-orang yang ingin melanggar hukum syariat. Jika tidak dikenakan kafarah, nescaya orang yang ingin melakukan persetubuhan pada siang hari dalam bulan Ramadhan akan makan atau minum terlebih dahulu sebelum melakukan persetubuhan. Justeru itu, tidak ada makna syariat mewajibkan kafarah jika sedikit helah sahaja sudah dapat menidakkannya

No comments:

Post a Comment