Tuesday 12 June 2018

Mati sebelum Qada puasa

Mati sebelum Qada puasa

Jika ditakdirkan seseorang itu mati sebelum sempat menggantikan puasanya yang tertinggal, hukumnya tertakluk kepada perincian di bawah:

1- Jika sebelum kematiannya ia tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan untuk menggantikan puasa yang tertinggal kerana ditimpa sakit yang berterusan atau sebagainya, ia tidaklah berdosa dan gugurlah tuntutan ganti itu daripadanya kerana kegagalan mengganti itu bukanlah daripada kelalaiannya.

2- Namun jika sebelum kematiannya ia mempunyai cukup masa dan kemampuan untuk menggantikan puasa yang tertinggal itu tetapi ia tidak menggantinya kerana lalai atau menangguh-nangguhnya, maka dalam hal ini disunatkan ahli keluarganya berpuasa bagi pihaknya. Sabda Nabi Sallalahu'alaihiwassalam

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ.

Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwassalam bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya". HR Bukhari dan Muslim

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ ,أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا ؟ فقال: " لَو كَانَ على أَمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا؟ 
قَالَ: نَعَمْ قَالَ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Sallalahu'alaihiwassalam lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang belum digantinya). Adakah saya perlu membayar (mengqada) puasanya?" Lalu Rasulullah bertanya kembali kepadanya, "Jika ibu kamu ada menanggung hutang daripada orang laun,apakah kamu akan membayarnya bagi pihak ibumu? "Jawab lelaki itu, Sudah tentu ya Rasulullah." Lalu Rasulullah berkata kepadanya, "Hutang Allahlah yang paling berhak kamu membayarnya".HR Bukhari

Dan harus orang lain (yang bukan ahli keluarga nya) seperti kawannya untuk berpuasa bagi pihaknya dengan syarat mendapat izin daripada ahli keluarganya atau dengan wasiat daripadanya sebelum kematiannya. Rujuk: al-Majmu',jil. 6 hlm. 394.
Jika kawannya itu berpuasa bagi pihaknya tanpa izin daripada ahli keluarganya atau tanpa wasiat daripadanya, maka tidak diterima oleh syarat puasa tersebut sebagai ganti baginya.

Jika tidak ada yang berpuasa bagi pihaknya, hendaklah dikeluarkan fidyah yang diambil daripada harta peninggalannya. Fidyah termasuk hutang dengan Allah kerana itu hendaklah ditolak sebelum pembahagian harta, puasa dibuat kepada para waris. Jikavia tidak meninggalkan harta l, harus dikeluarkan oleh orang lain yang bersimpati denganya. Rujuk: Mughni al-Muhtaj,juz. 1, hlm 647

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا. (رواه الترمذي)

Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi Sallalahu'alaihiwassalam, sabdanya: Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa bulan Ramadhan, maka hendaklah pihak warisnya (mengeluarkan fidyah untuknya dari harta peninggalannya iaitu) memberi makan seorang miskin (satu cupak) bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya."HR Tirmizi

ٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ إِذَا مَرِضَ الرَّجُلُ فِي رَمَضَانَ ثُمَّ مَاتَ وَلَمْ يَصُمْ أُطْعِمَ عَنْهُ وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ نَذْرٌ قَضَى عَنْهُ وَلِيُّهُ

Dari Ibnu Abbas, ia berkata; apabila seseorang sakit pada Bulan Ramadhan kemudian meninggal dan belum melakukan puasa maka diberikan makan untuknya dan ia tidak berkewajiban untuk mengqadha`, dan apabila ia memiliki kewajiban nadzar maka walinya yang mengqadha` untuknya. HR Abu Daud,2401.

Rampaian:

1- Hukum bagi puasa nazar dan kafarah adalah sama seperti puasa Ramadhan iaitu wajib ditunaikan. Justeru itu, jika seseorang yang mati meninggalkan puasa nazar atau puasa kafarah, walinya boleh memilih sama ada membayar fidyah daripada harta peninggalanya atau berpuasa bagi pihaknya. Rujuk: al-Majmu', jil 6. hlm.394

2- Jika seseorang masih hidup tetapi lemah berpuasa, maka tidak harus sesiapa pun berpuasa untuknya sama ada ia lemah iaitu tidak berdaya berpuasa atau kuat, iaitu mampu berpuasa. Rujuk: al-Majmu' jil. 6, hlm. 394.

3-Orang yang mati dengan menangung solat (belum diqadanya), tidak boleh ahli keluarganya atu sesiapa sahaja melakukan solat itu untuknya. Begitu juga fidyah tidak akan menggugurkan solat yang ditanggung atas dirinya itu. Dalam hal ini solat tidal sama dengan puasa. Inilah pendapat yang mashyur dalam mazhab al-Syafi'i. Selain solat, iktikaf juga mempunyai hukum sama iaitu tidak boleh diganti dengan orang lain. Rujuk: al-Majmu' jil. 6, hlm. 394.

No comments:

Post a Comment