Saturday 16 June 2018

Puasa Enam hari didalam bulan Syawal

Puasa Enam hari didalam bulan Syawal

عَنْ عُمَرَ بْنِ ثَابِتِ بْنِ الْحَارِثِ الْخَزْرَجِيِّ عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ حَدَّثَهُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Dari Umar bin Tsabit bin Harits Al Khazraji dari Abu Ayyub Al Anshari radliallahu 'anhu, bahwa ia telah menceritakan kepadanya bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawwal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa selama setahun(sepanjang masa)." HR Muslim,1164.

Imam Asy-Syirazi rahimahullah menyatakan bahawa disunnahkan bagi yang menjalankan ibadah puasa Ramadan, hendaknya mengikutkan dengan puasa enam hari di bulan Syawal. (Al-Muhadzdzab, 2: 626)

Imam al-Nawawi rahimahullah menyatakan bahawa dalil ini adalah dalil yang sahih lagi tegas (sorih). Beliau mengatakan bahawa ini dijadikan dalil dalam madzhab Syafi’i, Ahmad dan Daud serta yang sejalan dengan mereka tentang disunnahkan puasa enam hari di bulan Syawal. Rujuk: Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, 8: 51.

Imam al-Nawawi rahimahullah dalam Minhaj Ath-Thalibin (1: 440) menyatakan, “Disunnahkan melakukan puasa Syawal, lebih afdal dilakukan berturut-turut.” Hal yang sama dinyatakan pula oleh Imam Ar-Rafi’i Al-Qazwini dalam Al-Muharrar (1: 389).

Imam Ibrahim Al-Baijuri menyebutkan, “Yang lebih afdal, puasa Syawal dilakukan muttashil, langsung setelah sehari setelah solat Idul Fitri (2 Syawal). Puasa tersebut juga afdalnya dilakukan mutatabi’ah, iaitu berturut-turut. Walaupun jika puasa tersebut dilakukan tidak dari 2 Syawal (tidak muttashil), juga tidak dilakukan berturut-turut (tidak mutatabi’ah), tetap dapat ganjaran puasa setahun. Termasuk juga tetap dapat ganjaran puasa Syawal walau tidak berpuasa Ramadan (misalnya kerana didalam bulan Ramadan uzur sakit), hal ini dikatakan oleh ulama muta’akhirin (ulama belakangan).” (Hasyiyah Asy-Syaikh Ibrahim Al-Baijuri, 1: 579-580)

Dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (8: 51) disebutkan bahwa yang afdal adalah melakukan puasa Syawal berturutan selepas Idul Fitri. Jika puasa tersebut terpisah-pisah (tidak beturutan) atau ia akhirkan dari awal Syawal atau mengerjakan di akhir-akhir Syawal, masih boleh kerana yang penting dilakukan setelah puasa Ramadhan dan masih di bulan Syawal. Ini bermaksud harus diselang-selikan asalkan dalam bulan syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdal) adalah melakukannya berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulainya dari dua syawal.

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ
{ مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا }

Dari Tsauban pelayan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, Bahwasanya beliau bersabda: "Barangsiapa berpuasa enam hari setelah hari raya Idul Fitri, maka seakan ia berpuasa setahun secara sempurna. Dan barangsiapa berbuat satu kebaikan maka ia akan mendapat sepuluh pahala yang semisal. " HR Ibn Majah,1715. Sahih.

Berdasarkan hadith di atas:
Imam Ibrahim Al-Baijuri rahimahullah memberikan alasan kenapa puasa enam hari Syawal mendapatkan pahala puasa setahun, “Ini kerana puasa satu bulan Ramadan sama dengan berpuasa selama sepuluh bulan. Sedangkan puasa enam hari di bulan Syawal, itu sama dengan puasa selama dua bulan. Sehingga jumlahnya adalah berpuasa selama setahun seperti puasa fardu. Jika tidak, maka tidak ada kekhususan untuk hal itu. Kerana dimaklumi satu kebaikan diberi ganjaran dengan sepuluh kebaikan yang semisal.”

Haruskah orang yang mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadanya, berpuasa enam sebelum menqada puasanya?

Hukumnya adalah harus, kerana puasa qada Ramadan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya,adapun puasa enam hari pada bulan Syawal waktunya adalah terhad. Ini berdasarkan dalil berikut(Aisyah r.aha melambatkan qadha puasanya sehingga masuk bulan sya'ban):

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَمِعْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ قَالَ يَحْيَى الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Dari Abu Salamah berkata; Aku mendengar 'Aisyah radliallahu 'anha berkata: "Aku berhutang puasa Ramadhan dan aku tidak boleh mengqadanya kecuali pada bulan Sya'ban". Yahya berkata: "Kerana dia sibuk atau kerana bersama Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam ". HR Bukhari,1814. Muslim,1146

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari (4/191): “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa bolehnya mengakhirkan (melewatkan) qada Ramadhan secara mutlak, sama ada kerana uzur atau pun tidak.”

Namun, diketahui dengan jelas bahawa bersegera dalam mengqada adalah lebih baik daripada mengakhirkannya (melewatkannya), kerana ia termasuk dalam keumuman dalil yang menunjukkan untuk bersegera dalam berbuat baik dan tidak mendunda-nunda, hal ini adalah berdasarkan ayat dalam al-Qur-an:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, ali-Imran:133

Haruskah meniatkan qada puasa beserta puasa enam?

Syaikh Muhammad Az-Zuhaili hafizahullah(rahimahullah), pakar Syafi’iyah di zaman ini menyatakan, “Jika seseorang melaksanakan puasa di bulan Syawal dengan niat qada puasa, menunaikan nazar puasa atau lainnya, maka ia mendapatkan sunnahnya. Namun ia tidak mendapatkan pahala yang disebutkan dalam hadits (puasa setahun penuh). Terkhusus yang luput dari puasa Ramadan (qada) dan ia melakukan puasa Syawal, maka ia tidak mendapatkan pahala puasa setahun seperti yang disebut dalam hadits.” (Al-Mu’tamad, 2: 209)

1 comment:

  1. Lucky Club Casino Site Review 2021 - Lucky Club
    Lucky Club is a luckyclub.live modern and stylish casino. They offer a wide variety of exciting games, such as blackjack, roulette, video poker,

    ReplyDelete