Saturday, 11 March 2017

Imam mestilah perihatin terhadap keadaan Makmum

Imam mestilah perihatin terhadap keadaan Makmum

Sumber rujukan:
Bahrul mazi oleh Dr Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi 
Fathul Bari oleh Ibnu Hajar atsqolani.

Selain memiliki ciri-ciri seperti ilmu,memiliki bacaan yang elok,warak dan faktor umur, imam juga perlu perihatin akan keadaan makmum di belakangnya. Rasulullah saw telah menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kepada kita tentang keperihatiannya terhadap makmum menerusi sabda-sabda baginda,

إِنِّي لَأَقُومُ فِي الصَّلَاةِ أُرِيْدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلَاتِي كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ

Ertinya: “Aku pernah ingin memanjangkan solatku, tiba-tiba aku terdengar tangisan bayi lalu aku pendekkan solatku kerana bimbang si ibu merasa resah akan tangisan anaknya itu. Riwayat jamaah melainkan Abu Daud dan Nasa’ei

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّسِ فَالْيُخَفَّفْ فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيْفَ والسَّقِيْمَ وَالْكَبِيْرَ وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَالْيُطَوِّلْ مَاشَاءَ.

Ertinya:”Apabila seorang daripada kamu menjadi imam kepada orang ramai hendaklah dia meringankan solatnya kerana sebahagian daripada makmum itu ada yang lemah, sakit dan sudah lanjut usia.Namun apabila solat dia seorang diri maka panjangkanlah selama mana yang dia suka. Riwayat ramai kecuali Ibnu Majah.
Dari hadith di atas, maka jelaslah bahawa sifat perihatin imam kepada makmun yang di belakangnya adalah merupakan sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.
Begitujuga firman Allah swt.
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرانِ
Ertinya: Maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran. Muzammil:20
Diceritakan bahawa Mua’z bin Jabal pernah membaca surah yang panjang sehingga ada makmum yang mufarakah dari jamaah. Lalu Mua’z menuduh bahawa orang itu munafik,maka orang itu datang kepada Rasulullah saw. dan mengadukan hal tersebut, lalu Rasulullah saw. bersabda:

يَا مُعَاذُ أَفَتَّانٌ أَنْتَ أَوْ أَفَاتِنٌ؟  ثَلَاثَ مِرَارٍ. فَلَولَ صَلَّيْتَ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّ واشَّمسِ وَصُحَاهَا وَالَّيْلَ إِذَا يَغْشَى فَإِنَّهُ يُصَلَّي وَرَاءَكَ الْكَبِيْرُ وَالضَّعِيْفُ وَذُوالْحَاجَةِ.

Ertinya: “Wahai Mua’z, apakah kamu membuat fitnah? atau kata Baginda,’Apakah kamu mahu membuat fitnah? Baginda mengulangi kata tersebut sebanyak tiga kali. Mengapa kamu tidak membaca sahaja surah ‘sabbihisma rabbika’ atau ‘wassyamsi wa duhaha’ atau ‘Wallaili iza yaghshaha’? Kerana kemungkinan orang yang solat di belakangmu itu ada orang yang sudah lanjut usia,lemah atau ada keperluan. HR Bukhari  
 Mafhum daripada hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa memanjangkan bacaan dan tasbih bagi imam yang makmumnya tidak redha dengannya adalah dilarang dan boleh membawa kepada haram. Alangkah eloknya jika dicontohi cara solat Rasulullah saw. seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra.

عَنْ أَنَسِ بِنْ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النًبِيَّ صلى يُوجِزُ الصَّلَاةَ وَيُكْمِلُهَا

Ertinya: Dari Anas bin Malik, berkata: Nabi saw. solat dengan pendek dan sempurna. HR Bukhari
Di dalam kitab fiqah, terdapat dua istilah imam iaitu imam mahsurin(إمام محصورين) dan imam ghairu mahsurin(إمام  غير محصورين).

Imam mahsurin(إمام محصورين) ialah imam yang terpelihara(dilarang) daripada memanjangkan bacaan dan wirid di dalam solat disebabkan keadaan imam yang tidak mengizinkan ataupun kedudukan masjid yang selalu dikunjungi oleh orang bermusafir seperti masjid yang terletak di tepi jalan raya atau masjid yang terletak di dalam bandar ataupun disebabkan hal-hal lain yang tidak membolehkan imam memanjangkan bacaannya.


Imam ghairu mahsurin(إمام  غير محصورين) ialah apabila makmum redha dengan panjangnya bacaan atau zikir di dalam solatnya. Adalah perlu diketahui bahawa imam hanya dibenarkan tiga kali wirid dalam rukuk dan sujud.

Saturday, 4 March 2017

Hukum mencabut uban dan menjadikannya beruban

Hukum mencabut uban dan menjadikannya beruban

Sumber rujukan:
Hadith Riwayat Ahmad

Fuqaha bersepakat bahawa mencabut uban di bahagian kepala atau janggut hukumnya adalah makruh jika tiada keperluan untuk berbuat demikian. Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Amru ra.

لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ، فَإِنَّهُ نُوْرُ الْمُسْلِمِ، مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيْبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَا كُتِبَ لَهُ بِهَا حَسَنَةٌ، وَرُفِعَ بِهَا دَرَجَةً، أَوْ حُطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيْئَةٌ٠

Ertinya: “Janganlah kamu mencabut uban,sesungguhnya uban merupakan cahaya bagi orang Islam. Tidaklah seorang Muslim yang beruban dalam agama Islam ini kecuali ditulis baginya kebaikan, dan diangkat darjat, atau dihapuskan baginya kesalahan”. HR Ahmad

Walaupun begitu segelintir ulama yang mengharamkan mencabut uban seperti Ibnu Rif’ah.
Fuqaha dalam kalagan mazhab Hanafi mengharuskan mencabut uban kerana dengan tujuan menakutkan musuh.

Makruh hukumnya disisi mazhab Syafi’i mempercepatkan rambut menjadi uban dengan mengunakan rawatan seperti belerang dan sebagainya, kerana ianya ada unsur penipuan dan boleh memudharatkan badan.


Fuqaha juga mengharuskan menggunakan inai bagi rambut yang telah beruban tetapi tidak dibenarkan dengan menggunakan pewarna hitam, samaada bagi lelaki atau wanita. Kerana adanya unsur-unsur mengubah kejadian Allah Ta’ala dan juga ada unsur pembohongan, seperti agar kelihatan muda.

Hukum mencukur sebahagian kepala (الْقَزَعِ)

Hukum mencukur sebahagian kepala (الْقَزَعِ)

Hadith Riwayat Muslim
Syarh Sahih Muslim
Hadith Riwayat Abu Daud

Ulama bersepakat bahawa makruh hukumnya seseorang mencukur sebahagian kepalanya dan meninggalkan sebahagian yang lain baik bagi golongan lelaki mahupun wanita. Melainkan jika sebagai keperluan seperti untuk tujuan perubatan.

Perilaku ini dinamakan  الْقَزَعِ  iaitu perbuatan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain. Istilah الْقَزَعِ yang bermaksud sebahagian daripada awan, apabila seseorang mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain seperti rupa awan yang bertompok-tompok. Ini adalah berdasarkan keterangan Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim.

Tegahan berpandukan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar ra. Katanya:

أَنَ رسولِ صلى الله عليه نَهَى عَنْ الْقَزَعَ ، قَالَ: قُلْتُ لِنَافِعِ ٬ وَمَا الْقَزًع ُ؟ قَالَ: يُحْلَقُ بَعْضُ رَأْسِ الصَّبِيِّ وَيُتْرَكُ بَعْضٌ٠

Ertinya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang الْقَزَعِ. Ditanya kepada Nafi’, Apakah yang dimaksudkan الْقَزَعِ itu? Katanya, “Dicukur sebahagian kepala budak dan ditinggalkan sebahagian yang lain. HR Muslim

Hukum ini bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu “Umar ra.huma Katanya:

أَنَّ النَّبٍيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى صَبِيًّا قَدْ خُلِقَ بَعْضُ شَعْرِهِ وَتُرِكَ بَعْضُهُ، فَنَهَاهُم عَنْ ذَلٍكَ٬ وَقَالَ: إِحْلِقُوهُ كُلَّهُ، أَوِاتْرُكُوهُ كُلَّهُ

Ertinya: “Sesungguhnya Nabi saw. Melihat seorang budak(anak) yang sebahagian kepalanya telah dicukur, sedangkan sebahagian lainnya tidak. Maka Nabi saw. melarang mereka daripada melakukan sedemikian, dan bersabda,” Cukurlah kamu kesemuanya atau biarkan kesemuanya(tanpa dicukur). HR Abu Daud

Sebab tegahan mencukur sebahagian kepala

Pelbagai pendapat para ulama dalam menyatakan sebab tegahan daripada perbuatan tersebut, ini berdasarkan cara yang dilakukan:

1-      Mencukur di bahagian tepi dan meninggalkan bahagian tengah.
Hukumnya adalah makruh, kerana menyerupai golongan yang bodoh,ahli maksiat dan golongan penjahat atau tidak bermoral.
2-      Mencukur bahagian depan dan meninggalkan bahagian belakang.
Hukumnya makruh kerana perbuatan itu seperti menyeksa diri dan jiwa. Kerana perbuatan ini akan menarik perhatian orang dan menjadi tohmahan serta menjadi ejekan.Menjadikan rupa paras kelihatan hodoh.
3-      Mencukur bahagian tengah sahaja dan meninggalkan bahagian tepi.
Hukumnya makruh, kerana menyerupai perbuatan golongan ahli kitab dan kebanyakan golongan Yahudi,Nasrani termasuk golongan bawahannya.
4-      Mencukur di merata tempat di bahagian kepala.
   Hukumnya adalah makruh kerana ianya adalah perbuatan yang tidak adil terhadap diri sendiri, sedangkan Allah menyuruh agar berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri.



Thursday, 2 March 2017

Hukum mencukur rambut bagi lelaki

Hukum mencukur rambut bagi lelaki

Sumber rujukan:
Hadis riwayat Abu Daud.

Hukumnya adalah harus mencukur keseluruhan kepala sehingga botak ataupun dengan membiarkan rambut tanpa dicukur melainkan rambut yang dibiarkan panjang itu dalam keadaan tidak kemas dan kelihatan hodoh. Justeru itu mencukurnya adalah lebih elok dan lebih sesuai. Banyak hadis yang menyebutkan tentang keharusan mencukur kepala sehingga botak atau membiarkannya tanpa dicukur langsung. Keadaan ini adalah khusus bagi golongan lelaki samaada yang masih kecil atau sudah berumur.
Ibnu ‘Abd al-Bar mengatakan para ulama telah bersepakat dalam masaalah ini dan hujah mereka adalah berdasarkan dalil-dalil yang berikut:
Dari Ibnu ‘Umar ra.huma, katanya;
أَنَّ النَّبٍيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى صَبِيًّا قَدْ خُلِقَ بَعْضُ شَعْرِهِ وَتُرِكَ بَعْضُهُ، فَنَهَاهُم عَنْ ذَلٍكَ٬ وَقَالَ: إِحْلِقُوهُ كُلَّهُ، أَوِاتْرُكُوهُ كُلَّهُ
Ertinya: “Sesungguhnya Nabi saw. Melihat seorang budak(anak) yang sebahagian kepalanya telah dicukur, sedangkan sebahagian lainnya tidak. Maka Nabi saw. melarang mereka daripada melakukan sedemikian, dan bersabda,” Cukurlah kamu kesemuanya atau biarkan kesemuanya(tanpa dicukur). HR Abu Daud
Daripada Abdullah bin Ja’far ra. katanya;
أَنَّ النَّبٍيَّ صلى الله عليه وسلم أَمْهَلَ آلَ جَعْفَرٍثَلَاثًا أَنْ يَأْ تِيَهُمْ٬ ثُمَّ ٱَتَاهُمْ٬ فَقَال: لَاتَبْكُوا عَلَى  أَخِيْ بَعْدَ الْيَومِ،ثُمَّ قَالَ اُدْعُوْا لِي بَنِيْ أَخِيْ٬ فَجِيْءَ٬ بِنَا كَأَنَّا أَفْرُخٌ، فَقَالَ: ادْعُوا لِيْ الْحَلَّاقَ، فَأَمَرَهُ فَحَلَقَ رُءُوسَنَا
Ertinya:”Bahawasanya Nabi saw. menantikan keluarga Ja’far selama tiga hari- dan mereka itu dalam suasana berkabung kerana Ja’far meninggal dunia- kemudian Baginda saw. mendatangi mereka setelah itu, lalu bersabda, ‘Janganlah kamu menanggis lagi kepada saudaraku Ja’far itu selepas hari ini.’ Selanjutnya Baginda saw. bersabda pula, ‘Panggillah ke mari anak-anak saudaraku itu.’ Maka kami semua-yakni anak-anak Ja’far- datang dan kami semua adalah seolah-olah anak burung -yakni kami dalam keadaan masih kecil-. Baginda saw, bersabda, ‘Panggillah tukang cukur ke mari, ‘Tukang cukur itu diperintah untuk mencukur semua kepala kami.” HR Abu Daud
   أَتَيْتُوالنَّبٍيَّ صلى الله عليه وسلم وَلِيْ شَعْرٌ طَوِيْلٌ، فَلَمَّا رَآنِيْ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم قَالَ: ذُبَابٌ،ذُبَابٌ  ِ قَالَ: فَرَجًعْتُ فَجَزَزْتُهُ، ثُمَّ أَتَيْتُهُ مَن الْغَدِ، فَقالَ: إِنِِّ لَمْ أَعْنِكَ، وَهَذَا أَحْسَنُ٠

Ertinya: “Aku pergi kepada Nabi saw. Dan ketika itu aku berambut panjang. Ketika Rasulullah saw. Melihatku. Baginda bersabda, ‘Lalat-lalat.’Maka aku pulang dan lalu aku memotongnya, kemudian keesokannya aku datang menemuinya. Nabi saw. Bersabda, ‘’’Aku tidak melarang kamu,dan begini adalah lebih elok’ HR Abu Daud

Wednesday, 1 March 2017

Hukum mencukur rambut bagi wanita

Hukum mencukur rambut bagi wanita

Sumber rujukan:
Hadis Riwayat Muslim
Hadis Riwayat Tirmizi
Hadis Riwayat Abu Daud
Ibnu Qudamah

Fuqaha bersepakat bahawa mencukur rambut adalah tidak di syariatkan bagi wanita yang mengerjakan ibadah haji dan umrah,malahan hanya memadai dengan memendekan sahaja. Walaupun begitu fuqaha berselisih pendapat dalam perkara selain ibadah haji dan umrah kepada dua pendapat:

Pendapat pertama:
Fuqaha dalam kalngan mazhab Hanafi,Syafi’i dan Hanbali berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh bagi seorang wanita mencukurkan kepalanya tanpa sebarang hajat atau keperluan seperti tujuan perubatan dan seumpamanya. Bahkan menjadi haram jika bertujuan menyamai atau menyerupai kaum lelaki. Ini berdasarkan beberapa hadis:
Daripada ‘Aisyah rha,
أَنَّ النًبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ تَحْلِقَ المَرْأَةُ رَأْسَهَا٠
Ertinya:Bahawa Nabi Saw melarang wanita mencukur rambutnya. HR al-Tirmizi.
Al-Tirmizi berkata: Ahli ilmu bersepakat beramal dengan hadis ini,mereka tidak berpandangan  bahawa wanita boleh mencukur rambut malahan hanya memendekkannya sahaja.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Nabi Saw. Bersabda,
لَيْسَ عَلَى النِّسَاءِ الْحَلْقُ ، إِنَّمَا عَلَى النِّسَاءِ التَّقْصِيْرُ٠
Ertinya:Tidak dibolehkan bagi wanita bercukur tetapi bagi wanita boleh memendekkan rambutnya. HR Abu Daud
Daripada Abu Musa Asy’ari ra, katanya,

أَنَابَرِئٌ  مِمَّابَرِئَ مِنْهُ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، فَإِنَّ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بَرِئَ مِنَ الصَّا لِقَةِ وَالْحَالِقَةِ والشَّاقَّةِ٠

Ertinya:Aku berlepas diri daripada apa-apa yang Rasulullah Saw berlepas diri daripadanya. Sesunggunya Rasulullah Saw. Berlepad diri daripada tergolong daripada orang yang menjerit ketika ditimpa musibah,orang yang mencukur kepalanya dan orang yang mengoyak bajunya ketika ditimpa musibah. HR Muslim
Mazhab Hamballi menegaskan bahawa makruh bagi wanita mencukur rambutnya dan sebaliknya diharuskan jika ada keperluan baginya berbuat demikian.

Pendapat Kedua:
Fuqaha dari kalangan mazhab Maliki dan Zhahiri berpendapat bahawa hukumnya adalah haram bagi wanita mencukur kepalanya samaada dengan tujuan untuk mengubah kecantikan rupa paras ataupun menyerupai golongan lelaki. Mereka berhujan dengan hadis yang sama yang digunakan oleh golongan pertama dengan menyatakan bahawa hadis-hadis tersebut bersifat mutlak dengan bermaksud larangan-larangannya bersifat umum.

Pendapat yang rajih disisi ulama:
Berdasarkan pendapat mazhab Maliki dan Zhahiri adalah haram bagi wanita mencukur rambut,perbuatan ini dilarang kerana mengubah ciptaan asal yang menjadikan nilai kecantikan seseorang wanita malahan lebih-lebih lagi diharamkan jika bertujuan menyerupai golongan lelaki.
Oleh kerana itu haram bagi wanita mencukur kepalanya tanpa ada keperluan yang dibenarkan syarak. Samaada dalam bentuk pembalasan atau penyerupaan kaum lelaki atau tujuan pengubatan.
Dalilnya berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Sayidina Ali,

نَهَى رَسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ المَرْأَةُ رَأْسَهَا٠

Ertinya:Bahawa Rasulullah saw. melarang wanita mencukur rambutnya. HR Al-Nasa’i
Sebaliknya jika keadaan mendesak agar melakukanya, maka Allah swt. Telah menjelaskan berdasarkan firman-Nya,

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلاَّ مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ


Ertinya:Dan Allah swt. Telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkannya atas kamu,kecuali apa yang kamu terpaksa melakukannay. Surah al-An’am:119

Sunday, 26 February 2017

Cara memberi salam antara lelaki dan wanita

Cara memberi salam antara lelaki dan wanita

Sumber Rujukan:
Hadis riwayat Imam Tirmizi

Rasulullah sentiasa memberi salam kepada wanita dengan ucapan “السلام عليكم” serta memberi isyarat sebagai penghormatan dengan mengangkat tangan sahaja dan tidak bersalam dengan berjabat tangan. Perkara ini telah diceritakan oleh Asma’ binti Yazid melalui sepotong hadis:
أَنَ رسولِ صلى الله عليه وسلم مَرَّفِي المَسْجِدِ يَومًا وَعُصْيَةٌ مِنَ النِّسَاءِ قُعُودً فَأَلَوَّى بِيَدِهِ بِالتّسْلِيْمِ٠ سنن الترمذى
Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah melambai di perkarangan masjid pada suatu hari didapati sekumpulan kaum wanita sedang duduk di sisi masjid. Maka Rasulullah     صلى الله عليه وسلم  mengangkat tangannya sebagai tanda penghormatan dengan mengucapkan kalimah salam “السلام عليكم” HR Tirmizi

Demikianlah perbezaan amalan bersalaman antara lelaki dan perempuan namun ganjarannya adalah sama di sisi Allah dengan mendoakan semoga selamat sejahtera, asalkan salam yang diberi itu benar dan ikhlas, Allah jualah yang membalasnaya.

Saturday, 18 February 2017

Peranan bersalam(المصافحة) dalam kehidupan Muslim

Peranan bersalam(المصافحة) dalam kehidupan Muslim

Sumber rujukan:
Hadith Riwayat Thibrani
Hadith Riwayat Abu Daud

Bersalaman atau berjabat tangan dalam kehidupan seharian lebih menjurus kepada adat atau kebiasaan sahaja, namun kita tidak pernah mendalami hakikat sebenar melalui syariat Islam. Maka dijelaskan oleh hadis Rasulullah saw. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya serta jaminan ganjaran yang diberikan oleh Allah swt. terhadap dua saudara Islam bila bersalaman antara satu sama lain ketikamana mereka bersua dan di mana sahaja mereka berjumpa.

            Peranan bersalam boleh dikatakan sebagai satu penghormatan atau tanda kemesraan antara individu dengan yang lain ketika mana mereka bertemu. Maka eloklah kedua-duanya bersalaman atau berjabat tangan kerana perbuatan itu akan membuahkan kemesraan dan kasih sayang,perkenalan dan persahabatan serta mendapat ganjaraan pahala yang besar di sisi Allah swt. keatas hamba-Nya. Berdasarkan dalil yang ditegaskan oleh Rasulullah saw. dengan sabdanya:

إِنّ الْمُسْلِمَ إِذَلَقِىَ أَخَاهُ، فَأَخَذَ بِيَدِهً تَحَاتَتْ عَنْهُمَا ذُنُوبَهُمَا كَمَا يَتَحَاتُ الْوَرَقُ عَنَ الشَّجَرَةِ الْيَابِسَةِ فِيْ يَوْمِ رِيْحٍ عَاصِفِ، وَإِلاَّ غُفِرَلَهُمَا وَلَوْكًانَتْ ذُنُبُهُمَا مِثْلَ زَبَدِ الْبَ الْبَحْرِ٠
الترغيب والترهيب، الترغيب فى المصفحة، ولترهيب من الاشارة فى الاسلام: ٣٣٤/٣
Ertinya: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila bertemu saudaranya lalu bersalaman oleh kedua-duanya gugurlah dosa mereka sepertimana berguguran daun dari pokok yang kering ditiup angin kencang, melainkan kedua-duanya diampunkan segala dosa mereka walaupun banyak seperti buih di lautan. HR Thibrani

Begitu juga apabila tiba masanya seseorang sahabat dari perantuan disambut oleh ahli keluarga dan saudara-mara, sahabat handai, maka tidak mengapa sambutan itu dilakukan dengan saling bersalaman dan berpelukan sebagai tanda kegembiraan sepertimana hadis Rasulullah saw.:

كَانَ أَصْحَابُ رسولِ صلى الله عليه وسلم إِذَا تَلاَ قَوْا تَصَافَحُوا وَإِذَ قَدِمُوْا مِنْ سَفَرٍ تَعَانَقُوْا٠
Ertinya: Keadaan sahabat Rasulullah apabila mereka bertemu mereka bersalaman dengan tangan, dan apabila mereka menyambut kepulangan yang jauh mereka berpelukan. HR Abu Daud

Oleh yang demikian syariat tetap mengakui bahawa bersalaman atau berjabat tangan memainkan peranan penting ke arah pengukuhan ummah dengan jalinan silaturrahim antara satu sama lain. Dan juga adalah satu lambang kasih sayang sesama muslim.Sepertimana yang diterangkan dalam hadis lain.
عَنْ الْبرَءِ بْنِ عَازِبٍ رصي الله عنهُ قال: قال رسولِ صلى الله عليه وسلم : مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّاغُفِرَلَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرٍقًا٠
Ertinya: Daripada Al-Bara bin ‘Azib ra. Berkata: Rasulullah saw. Bersabda: “Tidak ada dua orang Muslim yang jumpa lalu keduanya berjabat tangan, melainkan diampuni bagi mereka berdua sebelum berpisah. HR Abu Daud

وعنِ ابْنِ عُمَرَ رصي الله عنهُمَا قِصَّةٌ قَالَ فِيهَا: فَدَنَوْنَا مِنَ  النَّبٍيِّ صلى الله عليه وَسَلَّمَ فَقَبَّلْنَا يَدَهُ٠
Ertinya: Daripada Abdullah bin Omar ra.huma, disebutkan kisah yang panjang...... Beliau berkata: “Lalu kami mendekati Rasulullah saw. Dan kami mencium tangannya. HR Abu Daud

Selain dari berjabat tangan, juga disunatkan mencium tangan orang yang lebih mulia dari kita,seperti kedua orang tua kita atau guru kita, yang demikian itu telah dilakukan oleh sahabat terhadap Rasulullah saw.
Dan Firman Allah swt:
وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Ertinya: Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah pengormatan itu(dengan serupa). Sesungguhnya Allah menghitungkan sesuatu. Al-Nisa: 86

Para ahli tafsir menafsirkan bahawa maksud penghormatan disini ucapan salam.Allah swt. memerintahkan apabila kita diucapkan salam agar menjawab salam dengan jawapan yang lebih baik atau yang sama dengannya.

Namun ayat ini tidak hanya berkaitan dengan salam sahaja. Malahan ianya merupakan salah satu konsep dasar dari Islam,yang mengajar umatnya agar membalas setiap kebaikan dengan kebaikan yang lebih baik. Termasuk juga dengan perihal berjabat tangan, maka lakukanlah dengan yang cara yang terbaik agar ia bertepatan dengan syariat Islam dan juga agar tidak menyinggung perasaan orang lain.


Monday, 13 February 2017

Hukum menjawab selawat Nabi SAW semasa khutbah sedang dibacakan

Hukum menjawab selawat Nabi SAW semasa khutbah sedang dibacakan

Sumber rujukan:
Q & A tentang bersuci dan solat oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Apakah boleh kita menjawab selawat Nabi SAW semasa khutbah sedang dibacakan?

Selawat kepada Rasulullah SAW menjadi rukun Khutbah disisi mazhab Syafie. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghomatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” al-Ahzab:56

Justeru itu, ia dibolehkan untuk berkata-kata seperti selawat ke atas Nabi SAW dan ia termasuk dalam hal yang dikecualikan dalam mazhab Syafie dan Hanbali antaranya ialah:
  • ·         Peringatan orang buta agar tidak terjatuh dalam telaga,
  • ·         Adanya binatang kala jengking yang hampir dengan seseorang.
  • ·         Menjawab orang bersin.
  • ·         Menjawab salam.
  • ·         Berselawat ke atas Nabi SAW ketika mendengar sebutan namanya.

Ia tidak termasuk dalam perbuatan sia-sia(lagha) seperti riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قَلتَ لٍصَا حِبِكَ أنْصِتْ يَومُ الجمَعةِ٬ والا مامُ يَخْطُب، فَقَدْ لَغَوتٌ
“Apabila kamu berkata kepada rakanmu diam pada hari Jumaat ketika Imam sedang berkhutbah maka kamu lagha. HR Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah SAW lagi
ومن قَلَ: صَهْ٬ فَقَدْ لَغَا وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِيْ جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْء
“Sesiapa berkata: “Diam! Maka laghalah, dan sesiapa lagha maka tiada baginya Jumaat sesuatupun”. HR Abu Daud


Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami berkata: “Para ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan di sini adalah tidak sempurna Jumaat sahaja kerana ijmak ulama mengatakan tidak diwajibkan Qada lagi.

Friday, 10 February 2017

Hukum berniat Zakat


Hukum berniat Zakat

Sumber rujukan:
Ahkam wa fatawa al-Zakah oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hukum berniat Zakat

Wajib berniat zakat ketika mengeluarkan zakat untuk membezakannya daripada kaffarah dan sedekah yang lain. Hal ini berdasarkan hadith yang mashyur.
إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu dengan niat”. HR al-Bukhari dan Muslim

            Sementara itu pemilik harta yang berwakil pula hendaklah berniat ketika menyerahkan kadar zakat tersebut kepada wakilnya dan wakil tidak wajib lagi berniat ketika mengagihkannya kepada golongan yang berhak.Adalah afdal sekiranya dia berniat ketika melakukan pembahagian tersebut. Sekiranya pemilik harta tidak berniat ketika menyerahkan zakat kepada wakilnya, maka niat wakil ketika melakukan pengagihan kepada penerima yang berhak tidak memadai.

Pemilik harta yang berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, niatnya itu memadai kerana pemerintah adalah wakil kepada golongan yang berhak. Oleh itu, berniat ketika menyerahkan harta zakat kepada pemerintah, seolah-olah berniat ketika menyerahkan harta tersebut kepada golongan yang berhak menerima.


Sementara pemilik harta yang tidak berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, maka niat oleh pemerintah sahaja tidak memadai. Justeru, harta yang diserahkan kepadanya tidak dikira zakat. Ini kerana pemerintah adalah pengganti kepada golongan yang berhak menerima dan bukan pengganti kepada pemilik harta, sebagaimana wakilnya. Oleh itu, niat pemerintah bagi pihak pemilik harta tidak diambil kira, sebagaimana niat wakil juga tidak memadai sekiranya pemilik harta tidak berniat ketika berwakil kepadanya.

Adakah harus memberi zakat kepada seorang sahaja?


Adakah harus memberi zakat kepada seorang sahaja?

Sumber rujukan:
Ahkam wa fatawa al-Zakah oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Adakah harus memberi zakat kepada seorang sahaja?

Ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:
  1.       Fuqaha’ Hanafi: Mengharuskan pembahagian walaupun seorang.
  2.       Fuqaha’ Maliki: Berpendapat tidak wajib diberikan kepada semua lapan golongan yang      berhak.
  3.       Fuqaha’ Hanbali: Harus dibahagi salah satu daripada lapan golongan ini.
  4.       Fuqaha’ Syafie: Wajib dibahagi keseluruhannya.


Abu Ubaid menyatakan bahawa jumlah zakat yang diberikan kepada orang yang memerlukan itu tidak dihadkan dengan jangka masa tertentu.

Thursday, 9 February 2017

Zakat Untuk Harta Kanak-Kanak

Zakat Untuk Harta Kanak-Kanak

Sumber rujukan: 
Fatawa Mua’sirah (Fatwa kontemporari) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Soalan:
Apakah zakat harta wajib ke atas harta kanak-kanak? Jikalau wajib, siapakah yang bertanggungjawab bagi menguruskan harta itu?
Jawapan:
Zakat untuk harta kanak-kanak adalah wajib seperti mana yang dipersetujui oleh
Zakat untuk harta kanak-kanak adalah wajib seperti mana yang dipersetujui oleh ketiga-tiga mazhab Maliki,Syafi’i dan Hanbali. Manakala Abu Hanifah pula berpendapat, ibadah hanya wajib untuk orang dewasa yang akil baligh (matang) dan berakal.
            Pendapat ketiga-tiga mazhab ini jelas kerana zakat adalah ibadah yang khusus. Ia adalah hak untuk harta sama ada kanak-kanak, orang dewasa,orang gila dan orang berakal. Perkara ini sudah dijelaskan oleh Al-Quran ,hadith dan athar yang menyatakan:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu bersihkan dan sucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteram jiwa bagi mereka.Dan Allah lagi Maha mendengar lagi Mengetahui. At-Taubah:103
وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian-bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta-minta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). Al-Maarij:24-25.
أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ
“Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat” HR Tirmizi, Dhaif
Maksud hadis“Sesungguhnya penjaga anak yatim boleh memperdagangkan harta anak itu supaya ia tidak habis membayar zakat”
Hadith ini diperolehi daripada Anas ra. Dan dipersetujui oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan selainnya,sepertimana hadith ini diperolehi daripada Umar ra. Maka hadith ini adalah benar.
Namun kita wajib memenuhi syarat-syarat kiraan wajib untuk zakat:
·        Harta itu hendaklah bebas daripada hutang.
·        Melebihi keperluan asas.
Manakala jikalau kanak-kanak ataupun anak yatim itu memerlukan harta itu untuk digunakan bagi membeli keperluan asas, keperluan pembelajaran, tidak melebihi daripada keinginannya terhadap sesuatu, tidak melebihi dari keperluan asasnya. Maka adalah harus mencukupkan keperluan asas itu terlebih dahulu.
Para ahli fiqh mengibaratkan situasi ini seperti air yang diperlukan untuk minum ataupun memasak. Maka, dibolehkan bertayamum walaupun masih mempunyai sedikit air, kerana air itu dihukumkan sama seperti tiada (air yang ada lebih utama diperuntukkan untuk keperluan yang lebih penting berbanding wuduk).

Manakala tanggungjawab bagi menguruskan pengeluaran zakat untuk kanak-kanak terletak kepada penjaga ataupun sesiapa yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan dan penjagaan harta itu.

Wednesday, 8 February 2017

Zakat Fitrah: Zakat fitrah untuk orang yang beraya di tempat lain

Zakat Fitrah: Zakat fitrah untuk orang yang beraya di tempat lain

Sumber rujukan: 
Fatawa Mua’sirah (Fatwa kontemporari) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Soalan:
Dalam masaalah zakat fitrah apabila seseorang itu sudah berpuasa sebanyak dua pertiga daripada bulan Ramadhan di sesebuah tempat(contohnya di sesebuah negeri) dan dia berniat bagi menyempurnakan puasanya itu di tempat lain dan beraya di sana. Maka di manakah dia wajib mengeluarkan zakat?
Jawapan:
Setiap Muslim perlu mengeluarkan zakat fitrah di negeri yang didiami pada malam pertama bulan Syawal. Ini kerana sebab pensyariatan zakat ini bukan disebabkan puasa. Tetapi disebabkan fitrah(hari berbuka puasa). Oleh sebab itu. Lafaz zakat ini disandarkan kepadanya, iaitu zakat fitrah.
            Dengan itu, sekiranya seseorang itu meninggal dunia sebelum maghrib pada hari terakhir Ramadhan, maka zakat itu tidak diwajibkan kepadanya. Hal ini berlaku meskipun dia sudah berpuasa selama sebulan.
            Sebaliknya jikalau seseorang anak dilahirkan selepas maghrib pada hari terakhir dibulan Ramadhan, iaitu malam pertama bulan Syawwal, maka diwajibkan zakat pada dirinya. Hal ini disepakati oleh para ulama. Ini kerana, zakat fitrah berhubung kait dengan hari raya dan keseronokan pada hari tersebut, apabila ia melibatkan golongan fakir dan miskin. Oleh sebab itu, sebuah hadith menyatakan;
أغنوهم عن الطواف في هذا اليوم

Cukuplah keperluan mereka pada hari ini,HR Malik

Tuesday, 7 February 2017

Zakat: Hukum memindahkan zakat.


Sumber rujukan: 
Fatawa Mua’sirah (Fatwa kontemporari) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Soalan: Bolehkah kita membayar zakat di tempat selain daripada tempat tinggal kita?
Zakat pada asalnya,jikalau zakat fitrah,zakat itu perlu ditunaikan di tempat tinggal seseorang. Manakala zakat harta ditunaikan berdasarkan di tempat dimana harta yang dimiliki oleh seseorang.
            Namun begitu seseorang Muslim itu boleh menyalahi hukum asal ini berdasarkan sebab-sebab yang tertentu. Contohnya, saudara-saudara kita yang berasal dari palestin yang bekerja di negara-negara teluk dan mereka mempunyai saudara mara yang berada di kem-kem pelarian dan memerlukan zakat. Maka,adalah lebih baik zakat diberikan kepada saudara-mara mereka yang memerlukannya.
            Memindahkan zakat ke tempat selain daripada tempat tinggal ataupun ke tempat selain daripada tempat seseorang itu memperolehi hartanya, adalah diharuskan sekiranya disebabkan faktor-faktor tadi.
            Sekiranya diwakilkan kepada seseorang bagi membayarkan zakatnya kepada orang yang berhak memperoleh zakat,juga dibolehkan.

Tiada halangan juga bagi sesiapa yang mahu mengeluarkan zakat kepada orang yang berhak di tempat tinggal sendiri, ia adalah hukum asal zakat.