Friday, 23 June 2017

Orang yang rugi : Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

Orang yang rugi : Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (HR Tirmizi No: 3464) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Sahih

2.  Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Puasa di siang hari, ibadat solat terawih, baca quraan,  iktikaf wirid zikir istighfar dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan menjadi instrument penghapus dosa.

Rugi kita jika tidak berusaha melakukan ibadat puasa bersungguh-sungguh sehingga ibadat puasa menjadi penghapus dosa yang lalu.

Rugi kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat terawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, bersahur dan berdoa diwaktu sahur – sebagai instrumen pengampunan dosa yang lalu.

Apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu?.

Jika ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan sebagainya yang berkaitan dengan orang lain - mohonlah kemaafan. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.
Marilah kita merenung Sabda Rasul (s.a.w)yang diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) berkata Nabi (s.a.w):
" رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ ، وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ "

Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.Hadith ini menunjukkan ada orang yang Solat tetapi  hanya mendapat bilangan rakaat dan penat dan orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga. Ini kerana solat dan puasa mereka tidak mampu merubah seseorang kepada manusia yang mencegah dirinya dari kemungkaran dan mencapai tahap ketaqwaan yang sebenarnya.


3.  Memuliakan kedua orang tua berarti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka.

4. Di penghujung Ramadan ini marilah kita muhasabah  diri. Adakah ibadat puasa yang telah kita lalui menyebabkan kita merasai kemanisan beribadat? Adakah ibadat solat yang kita tunaikan sama ada yang sunat atau fardu, solat terawih, solat tahajjud dan lain-lain, adakah kita merasai kelazatannya? Berbagai bentuk ibadah yang kita lakukan, sedekah dan infaq yang kita berikan, zakat yang kita keluarkan, bantuan dan sumbangan yang kita berikan sepanjang ramadhan, adakah kita merasai nikmat dan khusyuk dari segala bentuk ibadah yang telah kita lakukan sepanjang ramadan? Inilah ibadat yang sepatutnya kita lakukan bukannya kita beribadat kerana mengikut kebiasaan. Orang berpuasa kita berpuasa…orang mengadakan majlis khatam al-Qur’an, maka kita pun membaca al-Qur’an, orang pergi solat terawih maka kita pun ke masjid untuk berterawih tetapi semua ibadat ini kosong dari kekhusyukan, kosong dari kemanisan dan keseronokan beribadat. Inilah roh kepada setiap ibadat yang kita lakukan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi (s.a.w):

أنْ تَعْبُدَ الله كَأَنَّك تَراهُ فَإن لَم تَكنْ تَراهُ فَإنَّه يَراكَ

“ Kamu menyembah Allah (s.w.t) seolah-olah kamu melihatnya, dan tentunya kamu tidak dapat melihat Allah Allah (s.w.t)  tetap melihat kamu.” HR Muslim

Kelazatan ini yang inilah yang dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Sabda Rasulullah (s.a.w): 
وَجُعِلَت قُرَّةُ عِينِي فِي الصَّلاةِ  maksudnya dijadikan penyejuk mataku dalam ibadat solat. Merasai kelazatan beribadah yang melahirkan tenaga dan kekuatan dalaman. Rasulullah (s.a.w), para sahabat dan generasi awal menjadikan ibadat khusus solat, puasa, zakat, tahajjud sebagai kekuatan dalaman untuk menegakkan agama Allah (s.w.t), bukan sahaja untuk menentang hawa nafsu tetapi untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan.  Inilah kekuatan yang perlu kita cari dari ibadat yang dilakukan

5. Idul fitri hampir tiba dan ramadhan hampir ke penghujungnya. Persoalannya sejauh manakah kita mampu menjadi manusia bertaqwa setelah kita berpuasa selama sebulan. Adakah Hari raya disambut dengan menghabiskan masa membaca al-Qur’an sebagai penerusan dari ibadat bulan Ramadan atau ia disambut di hadapan televisyen berjam-jam menonton drama-drama, kisah-kisah cinta, filem-filem yang diimport dari timur dan barat yang jelas bertentangan dan Islam dan tidak memberi manfaat dan melupakan tanggungjawab melayan tetamu. Amalan ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia bertentangan dengan taqwa yang ingin dicapai dari ibadat puasa dan bertentangan dengan roh sambutan Aidul Fitri yang sebenar iaitu kembali  kepada fitrah, kemurnian, kesucian dan kemuliaan sebagai makhluk Allah swt.

Adakah kita ingin merosakkan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini dengan membiarkan isteri kita, anak-anak perempuan kita, wanita-wanita Islam disekitar kita membuka tudung mereka. Tudung yang dipakai dengan cantik selama sebulan hanya disimpan di dalam almari. Adakah kita ingin meninggalkan al-Qur’an yang kita baca sepanjang ramadan dengan menyimpannya di atas rak buku? Apakah patut kita meninggalkan ramadan dengan mengulangi kembali dosa-dosa dan kesalahan yang telah kita sesali, setelah kita bertaubat kepada Allah (s.w.t)? Marilah sama-sama kita memerangi hasutan dan godaan syaitan yang akan dibebaskan beberapa ketika lagi. Semoga kita keluar dari bulan Ramadan sebagai golongan yang dibebaskan daripada api neraka. Semoga Allah (s.w.t) memanjangkan umur kita sehingga kita bertemu dengan ramadan yang akan datang.  Semoga kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa yang Allah sediakan untuk mereka syurga. Firman  Allah (s.w.t):

وَسِيۡقَ الَّذِيۡنَ اتَّقَوۡا رَبَّهُمۡ اِلَى الۡجَـنَّةِ زُمَرًا​ؕ حَتّٰٓى اِذَا جَآءُوۡهَا وَفُتِحَتۡ اَبۡوَابُهَا وَقَالَ لَهُمۡ خَزَنَتُهَا سَلٰمٌ عَلَيۡكُمۡ طِبۡتُمۡ فَادۡخُلُوۡهَا خٰلِدِيۡنَ‏ ﴿73﴾ وَقَالُوا الۡحَمۡدُ لِلّٰهِ الَّذِىۡ صَدَقَنَا وَعۡدَهٗ وَاَوۡرَثَنَا الۡاَرۡضَ نَتَبَوَّاُ مِنَ الۡجَـنَّةِ حَيۡثُ نَشَآءُ ​ۚ فَنِعۡمَ اَجۡرُ الۡعٰمِلِيۡنَ‏ ﴿74


Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (Mereka pun masuk) – Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami, dan yang menjadikan Kami mewarisi bumi syurga ini Dengan sebebas-bebasnya, Kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja Kami sukai; maka pemberian Yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang Yang beramal”. Surah al-Zumar Ayat 73-74.

No comments:

Post a Comment