Wednesday 8 July 2015

Sudut Feqah: Hukum dan Kelebihan Ucapan Aamin(آمِينَ) Sesudah Bacaan Fatihah

Sumber Rujukan: Mustika Hadis Jilid Kedua

Maksud Hadis
"Daripada Wail bin Hujr ra. katanya aku mendengar Nabi SAW. membaca (surah al-Fatihah, dan sehabis baginda mengajar bacaan dengan menyebut): غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu ia mengucap آمِينَ  serta ia panjangkan bunyinya(dengan nyaring). HR; Tirmizi(Hasan)

Ditegaskan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berikut,maksudnya:
"Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: Apabila imam mengucap آمِينَ  maka hendaklah kamu mengucap bersama,kerana sesiapa yang ucapan آمِينَ  nya serentak dengan ucapan  آمِينَ  Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. HR: Bukhari dan Lain-lainnya

Kedua-dua hadis ini menjadi dalil tentang sunatnya mengucap آمِينَ

Mengucapkan آمِينَ selepas membaca al-Fatihah, lebih-lebih lagi diucapkan oleh imam sembahyang sangat besar tujuannya,kerana al-Fatihah itu mengandungi berbagai-bagai perkara, diantaranya ialah:
-Memohon petunjuk dari Allah Ta'ala kejalan yang benar.
-Memohon perlindungan dari(menurut) jalan orang yang dimurkai dan sesat (iaitu perkara-perkara yang tak dapat dinilai dan tidak ada sesiapapun yang dapat memberinya selain dari Allah Ta'ala.

Perkataan آمِينَ  itu pula maksudnya memohon keredhaan Alla Subhanahu wa Ta'ala: Mudah-mudahan segala permohonan yang terkandung dalam surah al-Fatihah itu diQabulkan.
     Dengan sebab tujuan yang besar itu, maka ucapan آمِينَ  diucapkan juga oleh Malaikat dilangit, dan dengan yang demikian, menjadikan sangat ucapan آمِينَ itu sesuatu yang sangat mulia, sangat terbuka pintu keampunan Allah Ta'ala kepada hamba-hambanya yang tertentu.

Oleh itu amat baiknya bagi makmum mengucap   آمِينَ  itu serentak dengan آمِينَ imamnya, demikian juga bila ia seorang diri membaca Fatihah, supaya menepati sangat ucapan آمِينَ  dari Malaikat, dan dengan itu termasuklah ia dalam golongan orang-orang yang beroleh keampunan Allah(yang melimpah-limpah rahmatnya)

Sebutan “AMIN” yang betul ketika mengaminkan doa atau selepas al-fatihah :

AA-MIIIIIIN - (A: panjang 2 harakat (mad badal), MIN: panjang 4–6 harakat (mad ‘aridh lis sukun) ertinya YA ALLAH, KABULKANLAH DOA KAMI.

No comments:

Post a Comment