Thursday 9 July 2015

Sudut Feqah: Apabila Hari Jumaat Bersamaan Dengan Hari Raya

Sumber Rujukan:
1-Fiqh Sunnah-Oleh Muhammad al-Sayyid Sabiq
2-Nailui Authar-Oleh Asy Syaukani

Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat,maka gugurlah kewajipan mengerjakan solat Jumaat bagi orang yang telah mengerjakan solat hari raya, berdasarkan hadis dari Zaid bin arqam, katanya yang bermaksud:
"Setelah Nabi SAW.mengerjakan solat Hari Raya, beliau memberi keringanan dalam mengerjakan solat Jumaat,dengan bersabda yang bermaksud: 'Sesiapa yang ingin mengerjakan solat Jumaat,maka kerjakanlah'." HR: Bukhari,Muslim,Abu Daud,al-Tirmizi,al-Nasaei dan disahihkan oleh Khuzaimah dan al-Hakim.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi SAW. ada bersabda yang bermaksud:
"Pada harimu sekarang ini(Jumaat), telah terhimpun dua Hari Raya, maka dia dibolehkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. Tetapi kami tetap mengerjakan solat Jumaat. HR: Abu Daud, Ibnu Majah,
(Pentahqiq al-Zawa'id berkata:"Sanad hadis ini sahih,manakala perawinya pula adalah tsiqah. al-Bushiri dalam Mishbah al-Zujajah, berkata: Sanad hadis ini sahih, manakala perawinya pula tsiqah)

Imam tetap disunatkan mengerjakan solat Jumaat agar diikuti oleh orang yang ingin menghadirinya atau oleh orang-orang yang pagi harinya tidak sempat mengikuti solat hari Raya. Dalilnya adalah sabda Nabi SAW. yang bermaksud "Tetapi kami tetap mengerjakan solat Jumaat". Menurut mazhab Hambali, seseorang yang tidak mengerjakan solat Jumaat disebabkan telah mengerjakan solat hari Raya itu, masih tetap berkewajipan mengerjakan solat Zohor. Tetapi pendapat yang lebih kuat ialah tidak diwajibkan mengerjakan mengerjakan solat Zohor sama sekali. Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari al-Zubair, katanya yang bermaksud:
"Dua hari raya telah berhimpun dalam satu hari. Maka Nabi SAW. mengumpulkan keduanya dengan mengerjakan solat dua rakaat di pagi harinya dan beliau tidak mengerjakan solat lagi hingga tiba waktu solat Asar". HR:Abu Daud

No comments:

Post a Comment