HIKMAT POLIGAMI
Menurut Dr. Yusof al-Qadhawi,
bahawa sesungguhnya Islam adalah kalimah Allah yang terakhir di mana dengannya
merupakan penutup segala risalah nabi-nabi sebelumnya. Oleh itu syariat Islam
didatangkan secara menyeluruh dan abadi untuk seluruh manusia di pelusuk dunia.
Ia tidak disyariatkan hanya untuk orang yang bertamadun sahaja dengan melupakan
orang-orang kampung, atau untuk negara yang beriklim sejuk dengan melupakan
yang beriklim panas, atau khusus untuk satu abad tertentu dengan meninggalkan
abad dan jenarasi yang lain.
Sesungguhnya syariat Islam amat
bersesuaian dengan setiap individu atau kumpulan, serta mampu memenuhi kehendak
dan keperluan mereka semua.
Sebahagian dari manusia
mempunyai keinginan yang kuat untuk memperoleh anak tetapi dia telah
dikurniakan dengan seorang isteri yang tidak mampu melahirkan, kerana sakit
atau sebagainya. Jadi, apakah bukan suatu kemuliaan bagi isteri dan suatu
kebaikan bagi suami seandainya dia berkahwin dengan seorang wanita lain yang
mampu melahirkan dengan mengekalkan isteri pertama serta diberi jaminan
terhadap hak-haknya?
Sebahagian lelaki pula
mempunyai keinginan syahwat seks yang terlalu kuat, tetapi dia telah
dikurniakan dengan seorang isteri yang rendah keinginannya terhadap lelaki,
samada kerana sakit atau mempunyai tempoh haidh yang agak lama. Dalam masalah
ini lelaki tidak dapat menahan kesabarannya terhadap wanita. Dalam keadaan
begini salahkah jika dia mengahwini seorang lagi perempuan secara halal sebagai
ganti dari perempuan yang disimpannya secara haram?
Begitu juga, kadangkala
bilangan wanita melebihi bilangan lelaki, lebih-lebih lagi ketika berlakunya
peperangan yang banyak meragut nyawa kaum lelaki. Di sinilah maslahat sosial
dan maslahat wanita itu sendiri perlu di dahulukan agar mereka tidak hidup
sepanjang hayat dalam keadaan membujang tersisih dari satu kehidupan
berumahtangga, di mana di dalamnya terdapat ketenteraman, kasih sayang, nikmat
keibuan dan memenuhi seruan naluri yang sentiasa memanggilnya.
Dalam menghadapi masalah
bilangan wanita berlebihan dari lelaki, terdapat tiga jalan penyelesaiannya,
iaitu:
1. Wanita-wanita tersebut
menghabiskan usianya dalam kepahitan kerana tidak memenuhi kehendak nalurinya.
2. Mereka memenuhi kehendak
jiwa dengan mendampingi lelaki-lelaki secara haram.
3. Membenarkan mereka mengahwini
lelaki-lelaki yang telah berumahtangga yang mampu memberi nafkah dan kasih
sayang.
Tidak syak lagi, bahawa jalan
terakhir ini adalah cara yang halal dan adil.
Dr. Wahbah al-Zuhaili pula
ketika membicarakan mengenai hikmat berpoligami telah membahagikan sebab
pengharusan syariat ini kepada dua, iaitu:
1. Sebab Umum, iaitu mengatasi
masalah bilangan perempuan yang melebihi bilangan lelaki. Rentetan dari masalah
ini timbul pula masalah lain, iaitu perlunya penambahan rakyat sesebuah negara
untuk pelbagai tugas termasuk dalam bidang peperangan, pertanian dan
perindustrian.
2. Sebab khusus, iaitu yang
datangnya dari pihak perempuan seperti kemandulan, sakit dan sebagainya, atau
dari pihak lelaki seperti mempunyai nafsu seks yang terlalu kuat dan seumpamanya.
Syed Sabiq pula telah
menyatakan tentang hikmat berpoligami dengan panjang lebar. Antara yang di
perkatakan oleh beliau ialah:
1. Merupakan rahmat dari Allah
Taala.
2. Memperbanyakkan rakyat agar
negara menjadi kuat dengan ramainya tenaga pakar dalam pelbagai teknologi.
Dengan kekuatan ini, maka risalah Islam dapat disebarkan kepada seluruh
manusia.
3. Melindungi janda-janda yang
kematian suami ketika mempertahankan negara.
4. Sebagai jalan penyelesaian
ketika menghadapi masalah kekurangan lelaki.
5. Mengatasi masalah wanita
tidak dapat melakukan hubungan jenis ketika berada dalam tempoh haidh selama
seminggu, tempoh melahirkan serta nifas selama 40 hari dan selepas usia putus
haidh iaitu sekitar 45 atau 50 tahun. Sedangkan lelaki sentiasa dalam keadaan
terbuka untuk melakukan hubungan seks sejak usia baligh sehingga mencecah usia
tuanya.
6. Pengambilan syariat poligami
dalam negara-negara Islam merupakan satu kebaikan yang amat besar di dalam
mengekalkan bersihnya imej negara dari gejala-gejala keruntuhan nilai sosial
dan hilangnya akhlak genarasi. Dapat dilihat bagaimana kesannya terhadapa
masyarakat yang telah mengharamkan poligami:
i. Tersebarnya kefasikan dan
kerosakan, sehingga bilangan pelacur lebih ramai dari bilangan mereka yang
bersuami.
ii. Hasil dari masalah ini,
ramailah lahir anak-anak haram. Di Amerika Syarikat setiap tahun seramai 100
ribu anak haram dilahirkan.
iii. Hasil dari perhubungan
yang keji ini maka menularlah pelbagai penyakit fizikal dan mental.
iv. Mengalir unsur-unsur kelemahan
dan ketidakupayaan di dalam jiwa.
v. Renggangnya hubungan suami
isteri serta porak peranda institusi keluarga.
vi. Luput nasab yang sah,
sehingga seorang suami tidak dapat memastikan dengan tepat apakah anak yang
dibela itu adalah dari benihnya.
Buku-buku Rujukan
1-Perkahwinan dan penceraian dalam Islam
oleh Haji Mohd Saleh Haji Ahmad
2-400 Soal Jawab Nikah Kahwin oleh Haji
Said Haji Ibrahim(Bekas Mufti Negeri Sabah)
3-Fiqh Sunnah Oleh Muhammad As-Sayyid Sabiq
4-Fiqah Manhaji oleh Dr. Mustofa Al-Khin,
Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali As-Syarbaji.
5-Tafsir Pimpinan Ar-Rahman oleh Syeikh ‘Abdullah Basmeih.
6-Al-Halal wal Haram fi Islam- Dr Yusof
Al-Qardawi
7-Al-Feqh al-Islami Oleh Dr
Wahbah al-Zuhaili
8-Bahrul Mazi(syarah bagi Sunan Al-Tirmidzi)
oleh syeikh Abdul Rauf al-Marbawi
No comments:
Post a Comment